AL-Azhar adalah institusi Ahli Sunah Waljamaah  yang terulung.
AL-Azhar adalah institusi Ahli Sunah Waljamaah yang terulung.
Abd Rahman Tajuddin

Manhaj Al-Azhar berakidah tanzih Al-Asyairah yang mensucikan Allah daripada sifat kekurangan selaras dengan Jalal Keagungan, Jamal Keindahan, Kamal Kesempurnaan dan Jabbar Keperkasaan Allah SWT.

Manhaj Al-Azhar bermazhab dalam mempelajari ilmu Fiqh dan Usul Fiqh, sama ada mazhab Syafie, Maliki, Hanafi dan Hanbali dari mazhab Ahli Sunah Waljamaah yang Muktabar, yang sampai kepada kita dengan rantaian sanad yang bersambung sehingga Rasulullah SAW.

Malah, Manhaj Al-Azhar juga mengutamakan konsep tasawuf yang mengukuhkan Rukun Ihsan. Universiti Al-Azhar membawa mahasiswanya untuk menuju martabat 'Ihsan' yang mengutamakan aspek akhlak, moral dan etika serta estetika insani.

Manhaj Al-Azhar mengutamakan ilmu kalam dalam mengukuhkan akidah dan menolak fahaman songsang. Aspek ketuhanan Uluhiyyah, konsep kenabian Nubuwwah serta konsep Samiyyat Alam Ghaib dibicarakan dalam silibus Al-Azhar. Maka dengan sebab itu ia berupaya menghadapi cabaran terkini dengan fakta dan argumentasi bernas.

Al-Azhar sudah menjawab pelbagai persoalan yang membingungkan umat manusia di timur dan barat sejak zaman-berzaman. Hal ini kerana Universiti Al-Azhar sudah menggabungkan antara 'Al Ma'qul' (logik) dan 'Al Manqul' (wahyu) secara bersepadu.

Alumni Al-Azhar Sabah menyambut baik kenyataan Perdana Menteri Malaysia di atas nikmat dan rahmat yang dikurniakan Allah ke atas umat ini. Hal ini kerana Manhaj Al-Azhar memiliki rantaian sanad yang bersambung dengan ulama silam zaman-berzaman.

Alumni Al-Azhar Sabah juga menyatakan kesyukuran dan penghargaan yang sangat tinggi kerana Malaysia di bawah pemerintahan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sudah menobatkan Manhaj Al-Azhar sebagai Manhaj Wasatiyyah yang sangat sesuai digunakan dalam konsep Keluarga Malaysia dalam menjaga keamanan negara.

Konsep Al-Wasatiyyah sangat didukung oleh Universiti Al-Azhar dalam mendepani pemikiran radikalisme dan ekstremisme agama yang dibawa oleh fahaman yang bukan Ahli Sunah Waljamaah.

Alumni Al-Azhar Sabah sangat menyambut baik kenyataan Perdana Menteri apabila beliau menyatakan konsep Manhaj Al-Azhat selari dengan konsep Keluarga Malaysia, yang bersifat inklusif dan merentasi sempadan agama, bangsa dan kaum.

Malah, pengiktirafan kepada Universiti Al-Azhar sebagai model Wasatiyyah terbaik dunia juga sangat dialu-alukan. Hal ini institusi keilmuan Islam di dunia terbina khususnya di Malaysia, hakikatnya adalah kerana menggunakan kurikulum pendidikan yang diasaskan oleh Manhaj Universiti Al-Azhar terdahulu yang ke hadapan dalam arena pendidikan atau Tarbiyyah Islamiah yang sangat prolifik.

Alumni Al-Azhar Sabah yang mendukung Ahli Sunnah Wal Jamaah juga sangat mengalu-alukan pengistiharan Perdana Menteri ini yang sangat cintakan keamanan negara. Hal ini kerana Manhaj Wasatiyyah Al-Azhar dapat menjaga akidah umat Islam supaya tidak terpengaruh dengan pelbagai fahaman Khawarij, Muktazilah, Syiah, Salafi, Zahiriyyah, Batiniyyah, Takfiriyyah, Liberalisme, Pluralisme dan beberapa fahaman yang muncul Pasca-Modenisme kini.

Maka pendekatan Wasatiyyah Al-Azhar mampu menghadapi cabaran pemikiran Pasca-Modenisme ini dengan ilmu Turath yang diwarisi dari zaman-berzaman. Antara ilmu terbabit adalah Ilmu Mantiq, Qaedah Bahast, Ilmu Usul serta pelbagai ilmu yang dipelajari di Universiti Al-Azhar. Kaedah ilmiah terbabit sangat mantap dan mampu menghadapi pelbagai aliran pemikiran isme yang sesat dan songsang.

Manhaj Al-Azhar juga menolak Manhaj Takfiri iaitu aliran mudah mengkafir umat Islam. Manhaj Takfiri ini sama sekali ditolak oleh Universiti Al-Azhar sejak zaman-berzaman. Maka oleh yang demikian Manhaj Al-Azhar mampu menjaga keamanan beragama di Malaysia dengan konsep Keluarga Malaysia yang tidak mengkafirkan ahli kiblat.

Sesungguhnya peranan Al-Azhar memperomosikan keamanan dan Wasatiyyah sangat terbukti berkesan dalam menjaga keamanan global khususnya di Malaysia. Sesungguhnya institusi Islam terbesar iaitu Universiti Al-Azhar ini terbukti sudah menjaga fikrah keamanan sejagat.

Al-Azhar adalah institusi Ahli Sunah Waljamaah yang terulung. Dunia mengiktiraf peranan Al-Azhar untuk mengekang ekstremisme. Manhaj Al-Azhar berupaya dan mampu dalam melestarikan keamanan sejagat.

Universiti Al-Azhar sudah membentuk kader bertahun-tahun lamanya yang menyumbang untuk pembangunan tanah air dan meneruskan dakwah keamanan dan Wasatiyyah dengan begitu meluas di serata dunia termasuk bumi Malaysia.

Sistem pendidikan Universiti Al-Azhar yang menggunakan sistem Tradisi Talaqqi sudah menjaga keaslian warisan ulama silam yang bersambung sanadnya kepada Rasulullah SAW disampaikan kepada generasi seterusnya.

Kekuatan Manhaj Al-Azhar mampu mempengaruhi dunia kerana ia mengekalkan elemen yang disusun oleh ulama silam. Antara elemen terbabit adalah menjaga silsilah Sanad Ilmiah secara riwayah, dirayah dan tazkiyah.

Malah, Al-Azhar memberi penekanan kepada penguasaan ilmu alat iaitu ilmu bahasa, ilmu mantiq dan metodologi berfikir termasuk ilmu kalam, ilmu usul fiqh dan ilmu tariqah. Manhaj Al-Azhar memiliki landskap sempurna dan menyeluruh terhadap Maqasid Syariah yang menjaga agama, akal, nyawa, keturunan dan harta benda seluruh dunia. Manhaj Al-Azhar mengadaptasi al-Quran tepat pada tempatnya serta mentanzimkan Hubbun Nabiy Muhammad SAW.

Maka dengan sebab ini Manhaj Al-Azhar sudah terbukti menyelamatkan akidah umat Islam sejagat dan menyebarkan ilmu kepada masyarakat. Malah, Universiti Oxford, Universiti Paris, Universiti Cambridge dan Universiti Stamford meniru sistem universiti Al-Azhar yang memegang rekod universiti tertua di dunia dalam penyebaran ilmu kepada masyarakat dunia.

Alumni Al-Azhar Sabah juga sangat mendukung Perdana Menteri dalam menjayakan Manhaj Wasatiyyah terbabit dalam ucapannya dalam Hari Sedunia Al-Azhar, Asy-Syarif, serta ulang tahun Rabitah Antarabangsa Alumni Al-Azhar Malaysia (WOAG Malaysia) ke-10, yang diadakan di Masjid Wilayah Persekutuan. Kami sangat menyanjung tinggi kenyataan PM yang kami sayangi ini.

Penulis Sekretariat Alumni Al-Azhar Sabah

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 April 2022 @ 10:13 AM