UNIVERSITI Al-Azhar. FOTO Reuters
UNIVERSITI Al-Azhar. FOTO Reuters
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Konsep Al-Wasatiyyah atau kesederhanaan yang didukung Universiti Al-Azhar Asy-Syarif terbukti berjaya mendepani cabaran pemikiran ekstremisme dan keganasan yang mampu meruntuhkan negara serta merugikan umat Islam.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, konsep ini selari dengan seruan al-Quran untuk melahirkan masyarakat yang terbuka dan bertoleransi antara satu sama lain khususnya di Malaysia yang mempunyai masyarakat majmuk.

Beliau berkata, amalan kesederhanaan ini juga selaras dengan konsep Keluarga Malaysia yang bersifat inklusif merentasi sempadan agama, bangsa dan kaum.

"Sesungguhnya pengaruh Al-Azhar dalam sejarah peradaban manusia memberi kesan kepada pembentukan institusi keilmuan pada hari ini.

"Kewujudan institusi keilmuan Islam di dunia khususnya di Malaysia adalah hasil kurikulum pendidikan yang diasaskan oleh manhaj Universiti Al-Azhar terdahulu yang jauh ke hadapan dalam arena pendidikan atau Tarbiyyah Islamiah.

"Manhaj Al-Azhar terbukti dapat mempertahankan akidah Ahli Sunah Waljamaah daripada beberapa fahaman seperti Khawarij, Muktazilah, Syiah, Salafi, Zahiriyyah, Batiniyyah, Takfiriyyah, liberalisme, pluralisme dan beberapa fahaman yang muncul pada zaman moden ini," katanya dalam kenyataan sempena Hari Sedunia Al-Azhar Asy-Syarif susulan ulang tahun ke 1,082 tertubuhnya Universiti Al-Azhar, Mesir yang disambut pada setiap 7 Ramadan, hari ini.

Ismail Sabri berkata, Al-Azhar menolak sama sekali aliran kafir-mengkafirkan yang dianggap menjadi punca berlaku pecah belah sesama Islam yang sekali gus menyekat pembangunan ummah.

"Kecemerlangan Al-Azhar termasuk para guru yang hebat ilmunya, kurikulum pendidikan yang bersepadu dan manhaj Wasatiyyah, sewajarnya dimanfaatkan oleh umat Islam di Malaysia dalam membina sebuah generasi berilmu yang bukan hanya cemerlang di dunia tetapi juga di akhirat.

"Saya difahamkan kira-kira 7,000 pelajar Malaysia sedang menuntut di Universiti Al Azhar Al-Syarif, sekali gus menjadikannya bilangan pelajar antarabangsa yang paling ramai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 April 2022 @ 7:03 PM