GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Dr Zamihan Mat Zin al-Ghani

FAHAMAN Tajsim merupakan fahaman yang menyeleweng dan dianuti golongan sesat. Golongan Ahli Kitab yang menyeleweng merupakan golongan terawal menjisimkan Allah. Kemudian diteruskan pula oleh golongan Mujassimah, seterusnya dipelopori oleh golongan Hasyawiyah dan terkini diteruskan oleh pengikut fanatik Ibn Taimiyyah dan golongan al-Wahhabiyyah yang mengaku Salafi.

Akan tetapi dalam perbahasan ini, penulis sekadar memetik beberapa contoh ungkapan Tajsim dalam penulisan sesetengah tokoh sahaja. Penulis tidak membincangkan perbahasan ini secara mendalam kerana ingin mempersingkatkan perbahasan. Hal ini dilakukan kerana penulis ingin memberi fokus kepada beberapa intisari penting berkaitan Tajsim khususnya definisi, kaedah dan kronologi fahaman Tajsim.

Penjelasan Imam Abu al-Hasan al-Asy'ari tentang ungkapan Mujassimah yang mengandungi makna Tajsim:

Imam Al-Hujjah Abu al-Hasan al-Asy'ari berkata dalam kitab beliau Maqalat al-Islamiyyin wa Ikhtilaf al-Musollin: "Sekarang kita akan menjelaskan perkataan Mujassimah dan perbezaan pendirian mereka terhadap fahaman Tajsim.

Hisham bin al-Hakam berkata: "Allah itu suatu jisim yang mempunyai batasan dan mempunyai ukuran lebar, dalam dan ketinggian."

Kemudian diriwayatkan daripada Ibn al-Ruwandi bahawa: "Allah itu menyerupai satu sudut daripada sudut-sudut jisim yang diciptakannya."

Diriwayatkan daripada sebahagian Mujassimah bahawa mereka berkata: "Allah itu bertempat dengan sesuatu tempat dan tidak bertempat dengan suatu tempat yang lain, bergerak-gerak pada waktu diciptakan makhluk-Nya."

Berkata juga (sebahagian) Mujassimah: "Sesungguhnya Allah itu suatu jisim." Namun, mereka mengingkari Allah bersifat dengan berwarna, mempunyai rasa, mempunyai bau, mempunyai (kelaziman) jisim seperti yang ditetapkan oleh Hisyam, tetapi mereka berkata "Allah itu berada di atas Arasy dan bersentuhan dengan Arasy."

Sebahagian Mujassimah berkata: "Kadar ukuran Allah (had Allah) itu hanya diketahui oleh Allah."

Imam al-Asy'ari berkata lagi: Antara fahaman Tajsim lagi mereka berkata bahawa: "Allah menempatkan Nabi bersama-sama dengan-Nya di atas Arasy."

Imam al-Asy'ari berkata lagi: "Telah berkata Daud al-Jawaribi dan Muqatil bin Sulaiman (kedua-duanya adalah pemuka Mujassimah): "Sesungguhnya Allah itu suatu jisim dan mempunyai rupa seperti manusia yang mempunyai daging, darah, rambut dan tulang. Dia juga memiliki anggota, bahagian tubuh iaitu tangan, kaki, lidah, kepala dan dua mata."

Walau bagaimanapun dengan tuduhan memiliki kesemuanya itu (anggota seperti tangan, kaki dan lain-lain) jelas bagi Allah tidak menyerupai makhluk dan makhluk yang lain tidak menyerupai-Nya sama sekali."

Imam al-Asy'ari berkata lagi: "Sebahagian manusia (Mujassimah) berkata: "Istiwa itu maksudnya duduk dan menetap."

Mujassimah berkata lagi: "Allah memiliki tangan, kaki, wajah, dua mata dan lain-lain. Mereka menetapkan keanggotaan bagi Allah." (ibid).

Penjelasan Imam Abu al-Hasan al-Asy'ari yang merupakan tokoh ulama salaf (lebih salaf daripada pengaku Salafi hari ini) merupakan satu bukti kukuh kepada kita bahawa fahaman Tajsim yang wujud sejak zaman salaf lagi mempercayai bahawa Allah mempunyai tangan, kaki, kepala dan lain-lain.

  Walaupun dakwaan mereka bahawa tangan, kaki dan kepala Allah tidak sama seperti tangan, kaki dan kepala makhluk-Nya ia tetap Tajsim kerana mensabitkan anggota badan bagi Allah secara juzuk atau komponen.

Ini merupakan contoh fahaman Tajsim yang amat popular zaman ini yang dikembangkan oleh sebahagian golongan yang jahil atau taksub kepada fahaman Syaz (samar-samar).

Mereka cuba mengembangkan fahaman Tajsim kepada orang awam dan penuntut ilmu yang tiada asas ilmu akidah. Maka berhati-hatilah pembaca.

 Tajsim dalam kitab Samawi

Di dalam kitab Taurat yang diubah, ajaran Tajsim diajar secara meluas. Antaranya: Diriwayatkan dalam Safr at-Tasniyyah (kitab 9): "Tuhanku berikan kepadaku dua batu yang tertulis dengan jemari Tuhan."

Dalam Mazamir Daud (kitab 9): "Tuhan duduk di atas Kursi."

Disebut dalam Armiya: "Tuhan menghulurkan tangan-Nya lalu menyentuh mulutku."

Terdapat tokoh tertentu cuba menghidupkan fahaman Tajsim.

 Tajsim dalam kitab klasik

  Kitab 1. As-Sunnah karangan Ibn Abi 'Ashim

Kitab ini ditulis oleh Abu Bakr bin Abi 'Ashim Ahmad as-Syaibani yang menetap di Basrah (287 H). Beliau seorang yang berpegang dengan zahir bagi nas al-Quran dan Hadith sebagaimana disebutkan Imam al-Zahabi dalam Siyar A'lam an-Nubala' (13/430).

Kitab di atas mengandungi pelbagai bentuk Tajsim dan Tasybih antaranya: "Allah SWT menciptakan Adam AS dengan rupa paras Allah, Malaikat terasa berat memikul Arasy dan Allah SWT meletakkan Rasulullah SAW bersebelahan dengan-Nya di atas Arasy."

Kitab 2. As-Sunnah: Nisbah kepada Abdullah bin Imam Ahmad bin Hanbal

Kitab As-Sunnah mengandungi beberapa riwayat Tajsim secara jelas (1/305, 1/294, 2/461). Lantaran itu ulama tahkik menjelaskan bahawa kitab ini merupakan pendustaan yang dinisbahkan sesetengah pihak kepada Imam Ahmad bin Hanbal RA.

  Ataupun ia dinisbahkan kepada anaknya Abdullah bin Ahmad bin Hanbal. Hakikatnya, apa yang terkandung di dalam As-Sunnah tidak sedikit pun mencerminkan akidah sebenar Imam Ahmad RA.

Realiti ini terbongkar apabila di dalamnya mengandungi ungkapan penulis kitab ini mengkafirkan dan menyesatkan Imam Abu Hanifah (rujuk kitab As-Sunnah 1/184-210). Tidak mungkin Imam Ahmad bin Hanbal mengkafirkan Imam Abu Hanifah yang merupakan ulama Ahlus-Sunnah yang agung. Situasi ini jelas menunjukkan bahawa kitab As-Sunnah mustahil dinisbahkan kepada Imam Ahmad bin Hanbal dan kepada anaknya Abdullah bin Imam Ahmad.

Jika diperhatikan secara mendalam banyak peringatan di dalam kitab As-Sunnah diriwayatkan secara majhul (terdapat ramai perawi yang tidak dikenali) dan dengan sanad yang terputus. Oleh itu, situasi ini meragukan ketulenan nisbah kitab ini kepada Abdullah bin Imam Ahmad bin Hanbal.

Syeikh Dr Shuhaib menerusi risalah PhD beliau bertajuk At-Tajsim fi al-Fikr al-Islami berkata: "Syeikh Abu Isma'il al-Harawi meriwayatkannya (As-Sunnah) daripada Abi Ya'qub Ishaq bin Ibrahim al-Harawi daripada Syeikh yang tidak dikenali, daripada Syeikh yang tidak dikenali daripada penulisnya (Abdullah bin
Ahmad bin Hanbal)."

  Berdasarkan keterangan di atas jelaslah bahawa agak mustahil Imam Ahmad meriwayatkan periwayatan majhul dalam isu akidah. Sedangkan beliau begitu terkenal sebagai tokoh hadis terpenting umat Islam.

Antara unsur Tajsim dalam kitab tersebut ialah seperti: "Allah duduk di atas Arasy, Allah SWT ada dada dan dua bahu, Allah SWT duduk di atas kerusi yang diperbuat daripada emas dan lain-lain."

Pendek kata, sesiapa sahaja yang merujuk kitab tersebut pasti akan melihat sendiri betapa banyaknya riwayat-riwayat yang ganjil dan lemah sanadnya direkodkan dalam kitab berkenaaan. Justeru, bagaimana kitab seperti ini hendak dinisbahkan kepada Imam Ahmad dan ingin dijadikan rujukan dalam ilmu akidah dan hadis!

 Kitab 3. As-Sunnah karangan Al-Khallal:

Ia dikarang oleh Abu Bakar Ahmad bin Muhammad bin Harun al-Baghdadi al-Khallal (311 H). Syeikh Dr Shuhaib menjelaskan bahawa kitab As-Sunnah al-Khallal menceritakan secara terperinci tentang Allah SWT meletakkan Rasulullah SAW di atas Arasy bersebelahan dengan-Nya. Begitu juga peristiwa Allah SWT mendekati Nabi Daud AS. (At-Tajsim fi al-Fikr al-Islami m/s 113-114)

Kitab 4. At-Tauhid karangan Ibn Khuzaimah:

Beliau ialah Abu Bakr bin Ishaq bin Khuzaimah (311 H). Beliau merupakan penyusun kitab As-Shahih yang terkenal. Namun, para ulama membidas beliau dalam bidang akidah. Semua ini berlaku kerana beliau mendalami ilmu kalam terlarang sehingga mengeluarkan banyak pendapat yang pelik dalam isu ketuhanan.

Imam Al-Baihaqi meriwayatkan bahawa Ibn Khuzaimah sudah kembali kepada manhaj Salaf Soleh dan bertaubat daripada kesalahannya yang terlalu ghairah membicarakan masalah akidah (sifat Allah SWT). (Al-Asma' wa as-Sifat m/s 342)

Selain itu, terdapat banyak riwayat dha'if dan sangat lemah dalam kitab At-Tauhid beliau. Di dalamnya ada menceritakan: "Al-Kursi adalah tempat letak kaki Allah, Allah bertempat di atas Arasy, Rasulullah SAW melihat Allah yang di bawah-Nya terdapat katil emas yang dipikul empat malaikat dan lain-lain."

Penulis Penolong Pengarah Kanan Bahagian Penerbitan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah (Aswaja)

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Mei 2022 @ 5:59 AM