FAHAMAN menetapkan jihhah bagi Allah disifatkan sebagai bidaah dan sesat.
FAHAMAN menetapkan jihhah bagi Allah disifatkan sebagai bidaah dan sesat.
Dr Zamihan Mat Zin

PADA minggu ini, perbincangan berhubung Imam Ibnu Taimiyyah disambung dengan penulis ingin menukilkan penerangan  Syeikh Yusuf an-Nabhani ketika memberi komentar tentang perkataan Ibn Taimiyyah ini berkata:  "Ungkapan ini jelas menunjukkan akidah beliau (Ibn Taimiyyah) dalam menetapkan lafaz jihhah (sudut atau posisi) bagi Allah. Sedangkan Salafus Soleh tidak pernah mengucapkannya." (Syawahid Al-Haq: m/s 154)

Bagi saya, jika kita meneliti keterangan yang sahih daripada Salafus Soleh, mereka menafikan secara mutlak jihhah (sudut) bagi Allah. Antaranya ungkapan Imam at-Tohawi dan ungkapan Imam al-Razi. Cukuplah kita nukilkan perkataan Imam at-Tohawi dalam menafikan jihhah ini bagi menolak fahaman Ibn Taimiyyah:  "Dia (Allah) tidak tertakluk dalam mana-mana jihhah (sudut) yang enam (tidak bertempat) sebagaimana benda-benda yang baharu." (Matan Akidah Tohawiyah).Imam Al-Muhaddith Muhammad al-Arabi bin at-Tabbani al-Hasani dalam kitab beliau Bara'ah al-Asy'ariyyin ketika mengkritik beberapa perkataan Ibn Taimiyyah (ms 69 / Juzuk 2) berkata:  "Perkataan Ibn Taimiyyah: "Bagi orang yang bercakap tentang jihhah (sudut, posisi atau kedudukan tempat), maka ada tiga golongan manusia."

Imam at-Tabbani berkata: "Ini suatu perkataan dusta. Dalam bab ini, hanya ada dua golongan manusia iaitu sama ada golongan yang menetapkannya (jihhah) yang merupakan golongan minoriti dan golongan kedua yang menafikannya secara mutlak dan mereka adalah golongan majoriti (As-Sawad al-A'zhom). Adapun golongan ketiga iaitu yang memperincikan masalah tersebut hanyalah Ibn Taimiyyah seorang sahaja."

Imam at-Tabbani berkata lagi setelah itu:  "Saya mencabar setiap orang yang terpukau dan meminati insan ini (iaitu Ibn Taimiyyah) untuk menaqalkan buat kami barang satu nukilan pun tentang perincian menetapkan jihhah (posisi, sudut dan kedudukan) daripada salah seorang pun dari kalangan salaf."

Tambahan pula, jika diteliti pandangan Syeikh Ibn Taimiyyah kita mendapati bahawa Ibn Taimiyyah menganggap beliau memahami jihhah dengan makna yang sahih dan sesuai dengan Allah seperti yang beliau jelaskan dalam kitab Minhaj as-Sunnah dan Bayan Muwafaqah Shorih al-Ma'qul li Shorih al-Manqul m/s: 180.

Persoalannya bagaimana beliau begitu yakin menetapkan sudut dan posisi tertentu bagi Allah  tanpa bersandarkan kepada dalil-dalil dan fakta yang jelas?

Lantaran itu tidak hairanlah jika Imam Yusuf an-Nabhani juga menolak alasan Ibn Taimiyyah itu kerana dua sebab.

Pertama: Salafus Soleh tidak pernah menetapkan lafaz jihhah bagi Allah  (bahkan ada yang menafikannya).

Kedua: Perkataan jihhah boleh membawa kepada fahaman Tajsim dan Tasybih. (Syawahid al-Haq: ms 155)

Perlu diketahui bahawa Syeikh Yusuf an-Nabhani seorang yang warak, terlalu bersederhana dan terbuka dalam mengkritik Ibn Taimiyyah dan fahamannya. Namun, beliau turut memberi kritikan yang keras terhadap Ibn Taimiyyah dengan berkata:  "Ungkapan Ibn Taimiyyah jelas berlepas daripada fahaman Tajsim dan Tasybih bagi hak Allah. Tetapi fahamannya yang menetapkan jihhah bagi Allah  secara yakin dan jelas dalam kitab Minhaj as-Sunnah merupakan fahaman bidaah dan sesat walaupun tidak mengiringi fahaman Tajsim. Bahkan sebahagian ulama menghukum kafir orang yang berpegang dengan fahaman tersebut (menetapkan jihhah bagi Allah). Ia jelas dikatakan oleh Imam an-Nawawi dan Imam Ibn Abi Jamrah al-Maliki bahawa orang yang berfahaman begitu (menetapkan jihhah atau sudut dan tempat bagi Allah) adalah kafir jika dia bukan dari kalangan orang awam." (Syawahid Al-Haq: m/s 156)

Syeikh Ibn Taimiyyah turut menetapkan had dan batasan bagi Allah  yang seterusnya dikembangkan oleh pengikut fahaman beliau yang dikenali sebagai Taimiyyun.

Beliau begitu bersungguh-sungguh cuba menetapkan had dan batasan bagi Allah. Buktinya beliau berkata:  "Dan Allah itu ada had (batasan) bagi-Nya yang tidak diketahui mengenainya (batasan-Nya) kecuali diri-Nya sendiri. Seseorang tidak boleh mengkhayalkan bahawa batasan diri-Nya ialah sempadan bagi diri-Nya sendiri. Tetapi dia perlulah beriman dengan batasan (Allah) dan menyerahkan ilmu tentang batasan tersebut kepada Allah  dan beriman bahawa bagi tempat-Nya juga ada batasannya, itulah Arasy-Nya yang berada di atas langit-Nya. Inilah dua had (bagi-Nya)." (Muwafaqah Shorih al-Manqul Juz2- m/s 29)

Syeikh Ibn Taimiyyah juga berkata:  "Sesungguhnya Muhammad Rasulullah didudukkan oleh Tuhannya di atas Arasy bersama-Nya." (Majmu' al-Fatawa: Juz 4 - m/s 374)

Bukan itu sahaja, Ibn Taimiyyah juga didapati menetapkan Tasalsul makhluk sejak azali. Iaitu jenis makhluk yang sentiasa wujud sejak azali tanpa makhluk yang lain. Ini adalah sesuatu yang mustahil kerana ia menetapkan kelaziman jisim bagi Allah  yang bersifat Maha Pencipta.

Fahaman ini adalah fahaman Qidam Na'u Makhluk (jenis makhluk itu tiada permulaan). Fahaman ini disepakati oleh ulama Ahli Sunah Waljamaah sebagai fahaman yang batil.

Imam al-Subki dalam kitab beliau as-Saif as-Saqil ketika menceritakan tentang tiga golongan manusia, maka beliau berkata:  "Golongan ketiga adalah golongan Hasyawiyah yang mendakwa sebagai pengikut Imam Ahmad padahal Imam Ahmad berlepas diri daripada mereka.

"Kemudian datang pada akhir tujuh ratus Hijrah, seorang pemuda yang mempunyai kelebihan kepandaian iaitu (Ibn Taimiyyah) yang dia tidak mendapati seorang syeikh yang dapat memberi tunjuk ajar kepadanya. Dan dia berada atas mazhab mereka (Hasyawiyah) yang dia mempunyai pandangan tersendiri pada memperjuangkan mazhabnya yang a didapati daripada pandangan-pandangan tersebut ada yang terpesong jauh (dari kebenaran). Antara pandangan tersebut seperti katanya: "Berdirinya yang baharu pada zat Allah. Iaitu bahawa Allah  sentiasa Maha Pencipta dan kesenantiasaan (tasalsul) (bagi yang baharu) tidak mustahil dari sudut masa lampau (sejak azali)." (rujuk juga Syawahid Al-Haq: m/s152).

Fahaman makhluk yang baharu tidak ada permulaan (Tasalsul Fi al-Madhi) adalah fahaman yang bercanggah dengan nas hadis riwayat Imam Muslim, kitab Zikr dan doa berbunyi : "Ya Allah Dikaulah Yang Awal dan tiada sesuatupun sebelum-Mu. Dikaulah Yang Akhir dan tiada sesuatupun selepas-Mu.

"Dikaulah Yang Zahir dan tiada sesuatu pun di atas-Mu. Diakaulah Yang Batin dan tiada sesuatu pun selain-Mu."

Ibn Taimiyyah juga cuba menetapkan mafhum lafaz-lafaz mutasyabihat yang zahirnya membawa kepada makna kejisiman. Ibn Taimiyyah berkata dalam kitabnya Risalah at-Tadammuriyyah:  "Begitu juga tatkala Allah menyifatkan diri-Nya bahawa Dia menciptakan Adam dengan dua tangan-Nya (ini yang dimaksudkan oleh Ibn Taimiyyah dari lafaz yadain jika dinisbahkan kepada Allah), tidak membawa kepada zahirnya tidak dimaksudkan kerana mafhum ia (lafaz tangan) pada Allah  samalah seperti mafhumnya (lafaz tangan tersebut) pada kita."

Penulis Penolong Pengarah Kanan Bahagian Penerbitan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah (Aswaja)

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Jun 2022 @ 10:35 AM