PETUGAS barisan hadapan sanggup berkorban masa, tenaga dan nyawa untuk kesejahteraan orang lain.
PETUGAS barisan hadapan sanggup berkorban masa, tenaga dan nyawa untuk kesejahteraan orang lain.
Mohd Shahrizal Nasir

Sudah lebih setahun kita berdepan ujian pandemik Covid-19. Ramai dalam kalangan kita terkesan dengan ujian melibatkan nyawa dan kehidupan. Ada orang yang bertarung nyawa di hospital untuk melawan wabak selama berminggu-minggu. Tidak kurang juga yang tewas dan ditakdirkan pergi meninggalkan dunia yang sememangnya tempat kehidupan sementara. Tempoh setahun lebih berada dalam keadaan yang tidak menentu ini bukanlah satu tempoh yang singkat.

Di sebalik tabir perjalanan negara mendepani wabak Covid-19, ada insan yang berkorban masa, tenaga malah nyawa mereka bagi memastikan orang lain terselamat daripada jangkitan wabak. Frontliner atau petugas barisan hadapan adalah insan berhati mulia yang sanggup memberi perkhidmatan terbaik untuk orang lain.

Frontliner juga mempunyai kehidupan mereka sendiri yang turut memerlukan mereka menyesuaikan diri dengan norma baharu. Mereka mempunyai keluarga yang perlu diberi perhatian dan diuruskan seperti keluarga lain. Mereka mempunyai anak yang terpaksa duduk di rumah atau mungkin terpaksa diletakkan di tempat jagaan kerana diri perlu menunaikan tanggungjawab membantu mangsa yang dijangkiti Covid-19.

Bagaimana agaknya anak mereka terpaksa mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) tanpa ibu bapa di sisi? Anak petugas barisan hadapan terpaksa mengurus kehidupan mereka secara lebih berdikari, tidak seperti rakan mereka yang ibu bapanya bekerja dari rumah (BDR).

Sesungguhnya perjalanan kehidupan barisan hadapan menunjukkan mereka dan ahli keluarga sedang berkorban untuk orang lain. Mereka memanfaatkan kehidupan untuk membantu orang lain. Memang selayaknya mereka tergolong dalam kalangan orang yang terbaik. Tidak semua orang sanggup berkorban masa, tenaga dan nyawa untuk kesejahteraan orang lain.

Rasulullah SAW bersabda dalam hadisnya bermaksud: "Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi manusia lain." (Hadis Riwayat at-Tabrani). Tidak ada yang lebih murni daripada usaha menjaga nyawa orang lain, sedangkan diri dan nyawa sendiri juga terdedah dengan kemungkinan dijangkiti Covid-19.

Baru-baru ini Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) mengesahkan seramai 204 petugas di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Ideal Convention Centre (IDCC), Shah Alam dijangkiti wabak Covid-19. Mereka yang terlibat termasuk golongan barisan hadapan yang berusaha memastikan orang lain dijauhi daripada wabak, namun mereka sendiri terpaksa berdepan ujian dijangkiti wabak berkenaan.

Situasi ini satu bukti jelas pengorbanan golongan itu yang sanggup menghadapi risiko dijangkiti wabak. Bak kata pepatah Melayu: "Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul." Pengorbanan petugas barisan hadapan perlu dihargai dengan orang awam berusaha melancarkan urusan dan jangan sesekali ingkar terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan ketika berurusan dengan mereka.

Sempena Aidiladha yang sinonim dengan pengorbanan, kita perlu bersama-sama menghargai pengorbanan petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus memberikan perkhidmatan terbaik di pelbagai sektor perkhidmatan.

Ketika berurusan untuk mendapatkan suntikan vaksin di PPV, patuhilah segala peraturan yang ditetapkan. Jangan pentingkan diri sendiri dengan memberikan maklumat tidak tepat berkenaan tahap kesihatan diri. Pastikan diri sentiasa patuh terhadap SOP kesihatan yang ditetapkan. Inilah antara cara kita menghargai pengorbanan mereka. Jika petugas barisan hadapan sentiasa berada dalam keadaan sihat, mereka dapat membantu lebih ramai orang yang ingin mendapatkan suntikan vaksin.

Begitu juga barisan hadapan yang berada di hospital termasuk doktor, jururawat juga pihak pengurusan lain seperti kumpulan yang menguruskan pengebumian jenazah mangsa Covid-19. Tersebar banyak gambar yang menunjukkan mereka keletihan kerana jumlah mangsa yang terkorban akibat Covid-19 meningkat dari sehari ke sehari. Pengorbanan mereka sukar dibalas oleh kita semua kerana terlalu besar.

Doakanlah mereka agar Allah SWT mengurniakan kebaikan yang banyak untuk barisan hadapan negara kita itu. Sesungguhnya hanya Allah SWT sahajalah yang berkuasa mengurniakan kebaikan atas pengorbanan yang mereka lakukan. Jika berpeluang untuk menemui petugas yang membantu menguruskan pengebumian ahli keluarga atau kenalan, ucapkanlah doa agar mereka dikurniakan kebaikan oleh Allah SWT.

Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Barang siapa yang dibuatkan kebaikan kepadanya (ada orang yang berbuat baik kepadanya), lalu dia (orang yang diberi kebaikan itu) mengucapkan kepada orang yang berbuat baik itu: "Jazakallahu khairan" (Semoga Allah mengurniakan kamu kebaikan) maka bererti dia telah berterima kasih kepadanya dengan memujinya. (Hadis Riwayat at-Tirmidzi)

Berterima kasih dengan lisan juga perlu disertakan dengan tindakan sebagai tanda penghargaan. Bagi melancarkan tugas golongan barisan hadapan di bahagian keselamatan dan penguatkuasaan, kita perlu akur terhadap peraturan yang ditetapkan. Jangan sewenang-wenangnya pergi ke tempat yang dilarang sekiranya tidak ada hal yang mustahak. Jika benar-benar ada urusan, gunakanlah saluran yang ditetapkan bagi melancarkan keadaan melibatkan semua pihak.

Petugas barisan hadapan adalah manusia yang juga tidak sempurna. Mungkin ada keadaan yang memperlihatkan mereka melakukan perkara yang tidak tepat. Usahlah jadikan media sosial sebagai tempat untuk melepaskan geram dengan menulis kata-kata yang tidak sepatutnya. Sebaik-baiknya gunakanlah saluran yang betul dengan mengamalkan jalan perbincangan harmoni.

Inilah antara cara yang boleh dilakukan sebagai usaha menghargai pengorbanan orang lain khususnya barisan hadapan. Allah SWT pasti mengurniakan ganjaran yang besar terhadap orang yang melakukan kebaikan apatah lagi bagi mereka yang berkorban untuk orang lain. Asalkan barisan hadapan beriman kepada Allah SWT dan melaksanakan tugas dengan ikhlas, usaha mereka pasti tidak akan menjadi sia-sia.

Firman Allah SWT dalam al-Quran bermaksud: "Sesiapa yang beramal soleh daripada lelaki atau perempuan, sedang dia beriman, sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik dan sesungguhnya Kami akan membalas mereka dengan memberikan pahala yang lebih daripada apa yang mereka kerjakan." (Surah an-Nahl, ayat 97)

Mudah-mudahan dengan memperingati peristiwa pengorbanan Nabi Ibrahim dan anaknya, Nabi Ismail, ia menyuntik semangat kepada petugas barisan hadapan dan kita semua untuk melakukan pengorbanan mengikut kapasiti masing-masing. Kita semua mempunyai tanggungjawab melakukan kebaikan untuk diri sendiri dan orang lain. Pastinya semua kebaikan itu faedahnya akan kembali dinikmati oleh diri sendiri di akhirat nanti.

"Sesiapa yang mengerjakan amal soleh maka faedahnya akan terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang berbuat kejahatan maka bahayanya akan menimpa dirinya sendiri dan Tuhanmu tidak sekali-kali berlaku zalim kepada hamba-Nya." (Surah Fussilat, ayat 46). Demikianlah peringatan dan janji Allah SWT kepada kita semua.


Penulis pensyarah Pusat Pengajian Bahasa Arab, Fakulti Bahasa Dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Julai 2021 @ 12:03 PM