ISLAM mengajar umatnya supaya mendoakan kebaikan untuk orang lain.
ISLAM mengajar umatnya supaya mendoakan kebaikan untuk orang lain.
Mohd Shahrizal Nasir

SETIAP manusia pasti akan berdepan dengan ujian kehidupan. Bagi orang Islam  yang meyakini kekuasaan Allah SWT, doa permohonan akan dipanjatkan kepada Allah SWT lebih-lebih lagi apabila berada dalam kesusahan. Begitu fitrah manusia yang akan mengingati Allah SWT tatkala ditimpa ujian. Ada kalanya ujian kehidupan berjaya diselesaikan dengan mudah, namun ada juga manusia yang akan berputus asa kerana ujian yang dihadapinya.

Sekarang kita berdepan ujian apabila Covid-19 menular dalam kehidupan. Ramai orang berada dalam kesusahan kerana kehidupan tidak berlangsung seperti biasa. Ketika ini kita benar-benar mengharapkan pertolongan Allah SWT. Sesungguhnya hanya kepada Allah SWT dipanjatkan doa supaya wabak Covid-19 segera lenyap dan semua orang dikurniakan kesihatan terbaik.

Meskipun pelbagai langkah sudah diambil bagi mengekang penularan wabak Covid-19, umat Islam tidak boleh lupa memohon pertolongan Allah SWT. Doa yang dimohon kepada Allah SWT boleh menjadi kekuatan dalam diri supaya tidak sesekali berputus asa untuk memohon perlindungan dan pertolongan daripada-Nya.

Allah SWT menjelaskan bahawa Dia tidak akan sesekali menghampakan permohonan dan harapan setiap hamba-Nya. Selagi seseorang insan itu mengakui bahawa hanya Allah SWT selayaknya diimani, maka selagi itu pintu rahmat Allah SWT terbuka luas untuknya. Janji ini dirakamkan oleh Allah SWT pada surah Ghafir ayat 60, yang bermaksud: "Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonanmu."

Kita sering menadah tangan memohon pelbagai jenis hajat untuk diri sendiri. Semua orang biasa memohon supaya dikurniakan kesihatan yang baik, keberkatan hidup, keselamatan daripada sebarang musibah, kebahagiaan dalam kehidupan berkeluarga dan sebagainya. Sehingga kini, banyak doa yang sudah pun dipohon kepada Allah SWT dan pastinya ada yang dimakbulkan oleh-Nya.

Cuba hayati bacaan dalam solat ketika duduk antara dua sujud yang bermaksud: "Wahai Tuhanku, ampunilah aku, rahmatilah aku, cukupkanlah aku, angkatlah darjatku, kurniakan rezeki kepadaku, berilah petunjuk kepadaku, sihatkanlah aku dan ampuniah segala kesalahanku." Banyak permohonan untuk diri sendiri yang kita ungkapkan saban hari, malah ia diulang-ulang dalam setiap solat.

Sebenarnya Islam tidak hanya mengajar kita supaya berdoa untuk diri sendiri sahaja. Dalam banyak keadaan, Islam menganjurkan supaya umat Islam saling mendoakan antara satu sama lain. Islam turut mengajar diri umatnya supaya mendoakan kebaikan untuk orang lain.

Contoh paling mudah galakan supaya umat Islam saling menyebarkan salam. Ungkapan salam yang ditujukan kepada orang lain mengandungi doa kesejahteraan yang istimewa. Malah, orang yang menerima ucapan salam diwajibkan membalas ucapan salam dengan doa seumpamanya atau lebih baik lagi.

Firman Allah SWT bermaksud: "Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi salam), maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu." (Surah an-Nisa', ayat 86)

Selain itu, kita juga disaran supaya mendoakan orang yang bersin. Meskipun hal ini nampak kecil, namun ia sebenarnya memberi impak besar dalam menjadikan kehidupan bermasyarakat lebih harmoni. Orang yang mendoakan orang lain tanda dia memiliki hati yang bersih kerana menyayangi saudaranya sendiri.

Rasulullah SAW bersabda mafhumnya: "Apabila salah seorang daripada kamu bersin, maka hendaklah dia menyebut Alhamdulillah (Segala puji hanya bagi Allah). Dan menjawab bagi saudara atau sahabatnya:  Yarhamukallah (Semoga Allah sentiasa merahmatimu). Apabila seseorang menyebut kepadanya (orang yang bersin)  ungkapan yarhamukallah,  maka hendaklah dia menyebut  Yahdikumullah wa yuslih balakum (semoga Allah sentiasa memberi petunjuk kepadamu dan memperbaiki keadaanmu)." (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Selain itu, antara rukun khutbah yang sering didengari umat Islam pada hari Jumaat ialah mendoakan keampunan untuk orang Mukmin. Ini bermakna khutbah yang disampaikan boleh jadi tidak sempurna apabila khatib tidak memohon doa untuk orang Islam. Ini menunjukkan kepentingan doa yang mesti dipohon untuk kebaikan orang lain.

Bukan setakat mendoakan orang lain yang masih hidup, Islam juga mengajar umatnya supaya mendoakan orang yang sudah meninggal dunia. Apatah lagi apabila antara perkara yang menyebabkan seseorang akan terus menerima hasanat (kebaikan) meskipun sudah meninggal dunia ialah doa daripada anak yang soleh.

Allah SWT berfirman yang maksudnya: "Dan orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka (berdoa dengan) berkata: Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara kami yang mendahului kami dalam iman dan janganlah Engkau jadikan dalam hati perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau amat melimpah belas kasihan dan rahmat-Mu." (Surah al-Hasyr, ayat 10)

Menyedari hakikat semua ini, kita perlu berdoa untuk kebaikan orang lain. Selain berdoa supaya diri dikurniakan kesihatan yang baik serta dijauhkan daripada Covid-19, doa yang sama juga perlu dipohon untuk orang lain. Cuba bayangkan sekiranya kita hanya berdoa untuk diri sendiri, maka jika orang di sekeliling kita dijangkiti wabak Covid-19, bukankah kita juga terdedah kepada bahaya yang sama?

Oleh itu, mendoakan kesejahteraan orang lain perlu diusahakan supaya diri sendiri juga terselamat daripada sebarang musibah. Tidak salah untuk kita berdoa supaya Allah SWT mengurniakan kesihatan dan perlindungan daripada wabak Covid-19 untuk semua orang yang akan berurusan dengan kita. Sebenarnya keberkatan doa yang dipohon untuk orang di sekeliling kita juga akan membuatkan diri sendiri turut dikurniakan keselamatan dan perlindungan.

Mungkin ada orang yang hanya berdoa memohon kesejahteraan untuk dirinya, sedangkan sepatutnya doa yang sama turut dipohon untuk ahli keluarganya, jiran tetangga, rakan sekerja dan sesiapa sahaja yang berurusan dengannya. Sering kita dengar doa yang diungkapkan dalam bahasa Arab yang berbunyi: Wa li jami'il muslimina wal muslimat yang bermaksud - "Dan (doa juga) untuk sekalian orang Islam lelaki dan perempuan". Kita turut mendoakan kesejahteraan untuk orang lain yang juga saudara seagama sendiri.

Mendoakan orang lain dalam keadaan orang yang didoakan tidak mengetahuinya akan menatijahkan ganjaran yang istimewa. Malaikat akan turut mendoakan orang yang berusaha mendoakan orang lain. Ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Tidak ada seorang hamba yang Muslim apabila berdoa untuk saudaranya (tanpa pengetahuannya), melainkan ada malaikat berkata kepadanya: Dan bagi kamu juga sepertinya (seperti yang didoakan)." (Hadis Riwayat Muslim)

Penulis  Pusat Pengajian Bahasa Arab,  Fakulti Bahasa Dan Komunikasi,  Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Jun 2021 @ 5:59 AM