ORANG ramai menunaikan solat sunat ketika sambutan Hari Raya Aidiladha di perkarangan Masjid Al-Zakirin, Taman Wilayah Selatan. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
ORANG ramai menunaikan solat sunat ketika sambutan Hari Raya Aidiladha di perkarangan Masjid Al-Zakirin, Taman Wilayah Selatan. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Mohd Ajib Ismail

KEDATANGAN Zulhijah amat besar maknanya di dalam kalendar tahunan umat Islam. Sepuluh hari pertama dalam bulan Zulhijah adalah hari yang paling istimewa. Dalam sebuah hadis daripada Ibnu Abbas RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “"Tidak ada hari yang amal solehnya lebih dikasihi Allah selain daripada hari yang 10 ini.” Sahabat bertanya: Walaupun berjihad di jalan Allah? Rasulullah bersabda: “Walaupun berjihad di jalan Allah kecuali lelaki yang keluar (berjihad) membawa diri dan hartanya serta tidak kembali lagi selepas itu (syahid).”" (Riwayat Ahmad dan At-Tirmizi)

Ketika Rasulullah SAW tiba di Madinah, penduduk Madinah sudah menyambut dua hari raya. Maka Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Sesungguhnya Allah sudah menggantikan kepada kamu dua hari yang terbaik iaitu Aidilfitri dan Aidiladha." (Riwayat Imam Ahmad). Aidiladha atau lebih dikenali dengan Hari Raya Korban ditetapkan pada hari kesepuluh Zulhijah iaitu bulan terakhir dalam kalendar Hijrah Islam.

Ibadah korban dan haji yang juga ibadah utama dalam bulan Zulhijah pada tahun ini disambut dalam keadaan negara masih berhadapan dengan ujian wabak Covid-19 yang melanda. Walaupun negara sedang melalui fasa pemulihan namun prosedur operasi standard (SOP) khusus ditetapkan oleh kerajaan dalam meraikan Hari Raya Korban termasuk pelaksanaan ibadah korban yang lazimnya dilaksanakan oleh umat Islam khususnya di masjid dan surau.

Dalam konteks Wilayah Persekutuan, Garis Panduan Pelaksanaan Ibadah Korban dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) disediakan bagi panduan masyarakat berhubung kaedah dan cara melaksanakan ibadah korban di Zon Hijau dan Zon Kuning. SOP pelaksanaan ibadah korban disediakan demi memastikan maslahah awam terpelihara pada masa yang sama umat Islam masih berpeluang menunaikan ibadah berkenaan dengan sempurna.

Bagi ibadah haji, kerajaan sudah membuat keputusan penangguhan haji bagi jemaah dari Malaysia sebagaimana kenyataan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri. Walaupun beliau mengakui keputusan berkenaan berat untuk dilakukan namun ia dibuat demi memastikan keselamatan dan kesihatan para jemaah terpelihara.

Menurut beliau lagi, ibadat haji yang juga Rukun Islam kelima berkait rapat dengan syarat istito’ah iaitu berkemampuan menunaikan haji daripada aspek kesihatan, keselamatan, keizinan melakukan perjalanan ke Tanah Suci dan kewangan.

Tanpa keupayaan atau kemampuan dalam perkara berkenaan, maka menurut hukum syariah syarat istito’ah tidak dicapai untuk mewajibkan kita menunaikan haji. Setiap kali tibanya Aidiladha, umat Islam dituntut melaksanakan ibadat korban bagi memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim AS yang sanggup melaksanakan perintah menyembelih anaknya, Nabi Ismail kerana ketaatannya kepada Allah S.WT. Firman Allah SWT di dalam al-Quran yang bermaksud: "“Maka ketika anaknya itu sampai ke peringkat umur yang membolehkan dia berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim sudah bermimpi apabila dalam mimpinya Allah sudah memerintahkannya untuk menyembelih anaknya bernama Ismail. Nabi Ibrahim berkata kepada anaknya: "Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpiku bahawa aku akan menyembelihmu. Apakah pendapatmu?" Anaknya menjawab: "Wahai ayah, lakukanlah apa yang diperintahkan kepadamu. Insya- Allah, ayah akan mendapati aku termasuk orang yang sabar."” (Surah as-Saffat, ayat 102)

Saban tahun kita diingatkan dengan kisah pengorbanan Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS serta berusaha menterjemahkan pengorbanan berkenaan di dalam kehidupan seharian. Antara hikmah disyariatkan ibadah korban adalah bagi meneladani perjuangan, pengorbanan dan ketaatan Nabi Ibrahim AS serta keluarganya terhadap perintah Allah SWT.

Ketaatan Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS dalam melaksanakan perintah Allah jelas menunjukkan betapa teguhnya keimanan mereka terhadap Allah SWT. Peristiwa pengorbanan yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail memberi makna yang amat besar kepada seluruh umat Islam dan ia memperlihatkan secara jelas sifat ketakwaan serta ketaatan seorang hamba Allah yang sanggup melakukan apa saja di dalam menegakkan syiar Islam.

Ketika Aidiladha, umat Islam menyembelih binatang korban dan mengagihkan kepada orang ramai terutamanya golongan yang kurang bernasib baik serta fakir miskin. Penyembelihan binatang korban adalah ibadah sunat yang sangat dituntut di dalam Islam dan perlu dilaksanakan oleh mereka yang mampu sebagaimana dinyatakan dalam firman Allah SWT dalam surah al-Kautsar, ayat 1-2 yang bermaksud: "Sesungguhnya Kami mengurniakan kepadamu (wahai Muhammad) kebaikan yang banyak (di dunia dan di akhirat). Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur)."

Ibadah korban adalah sunah yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim AS dan Nabi Muhammad SAW. Sesungguhnya Allah mensyariatkan ke atas Nabi Ibrahim ketika Allah menebus anak Nabi Ibrahim dengan seekor binatang sembelihan yang besar. Dalam hadis riwayat Zaid bin Arqam, dikatakan kepada Rasulullah SAW maksudnya: "Apa itu korban?" Baginda bersabda, "Ia sunah bapa kamu iaitu Nabi Ibrahim." Beliau bertanya lagi, "Apakah padanya kebaikan kepada kami wahai Rasulullah?" Baginda bersabda, "Setiap helai rambut adalah pahala." Katanya lagi, "Bagaimana pula dengan bulunya?" Baginda bersabda, "Setiap helaian rambut daripada bulunya ialah pahala." Riwayat Imam Ahmad (19283), al-Baihaqi (19489) di dalam Sunan al-Kubra,Ibnu Majah (3217)

Pelaksanaan ibadah korban adalah untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT dan sebagai tanda kesyukuran di atas segala nikmat kurniaan-Nya. Selain itu, ibadah korban juga dapat melatih umat Islam agar dapat menghakis sifat tamak dan bakhil dalam mengeluarkan harta. Ia juga melahirkan sifat pemurah untuk membelanjakan harta ke jalan Allah SWT demi membela dan membantu golongan yang lebih memerlukan seperti golongan fakir serta miskin.

Rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang menunjukkan soladariti yang tinggi dan berkorban dalam mengharungi tempoh getir negara berhadapan wabak Covid-19. Segenap lapisan masyarakat sama ada petugas barisan hadapan dan orang awam memainkan peranan penting dalam memerangi pandemik yang melanda dunia. Oleh itu, gambaran negatif seperti yang dilaporkan oleh segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab amat wajar disangkal kerana hanya menggugat kesatuan dan memberikan gambaran yang salah tentang kesungguhan dan komitmen seluruh rakyat Malaysia.

Agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)  melalui misi Musaadah Covid19 dan inisiatif Wilayah Cakna sudah memberikan sumbangan dalam pelbagai bentuk kepada masyarakat yang terkesan dengan wabak Covid-19 tanpa mengira latar belakang agama, bangsa dan budaya. Kesediaan pelbagai pihak berkorban masa, tenaga, dan harta adalah lambang penghayatan yang sebenar di sebalik falsafah ibadah korban yang disyariatkan. Semoga nilai murni yang tercerna ini dapat diteruskan dan semua pihak menghargai pengorbanan yang sudah dilakukan serta tidak alpa dan leka sehingga menjadikan segala pengorbanan sudah dilakukan menjadi sia-sia.

Penulis adalah Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi)

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Julai 2020 @ 9:19 AM