Kakitangan Hospital Pakar KPJ Tawakkal Kuala Lumpur  kelihatan keletihan selepas membuat  rawatan ujian saringan Covid-19 kepada orang ramai pada PKP 2.0. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI
Kakitangan Hospital Pakar KPJ Tawakkal Kuala Lumpur kelihatan keletihan selepas membuat rawatan ujian saringan Covid-19 kepada orang ramai pada PKP 2.0. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI
Mohd Ajib Ismail

Seluruh  negara  kini  kembali  berada  di  dalam  tempoh  Perintah Kawalan  Pergerakan (PKP)  kecuali  Sarawak  sebagai mana  yang  diumumkan  oleh  kerajaan.  Kejayaan  kita  semua  di  dalam  memerangi  penularan  wabak  Covid-19  amat bergantung  kepada  sikap  dan  kepatuhan  seluruh  masyarakat  terhadap  langkah  pencegahan  yang   ditetapkan.  Pengorbanan,  keringat  dan  lelah    petugas  barisan  hadapan  tidak  bermakna  tanpa  kerjasama  padu  kita  semua.

Titah  Kebawah  Duli  Yang  Maha  Mulia  Seri  Paduka  Baginda Yang di-Pertuan  Agong baru-baru  ini  turut  menzahirkan  rasa  duka cita  terhadap  rakyat  yang  masih  tidak  peka dalam  tindak-tanduk  harian  mereka,  khususnya  terhadap  pematuhan  disiplin  amalan kebiasaan  baharu  dan  kawalan  kendiri  bagi  mengekang  penularan  wabak  ini.  Baginda  menyeru  seluruh  rakyat  untuk  menzahirkan  solidariti  dan  sokongan  padu kepada   petugas  barisan  hadapan  dengan  bersama  berganding  bahu  berdisiplin mematuhi  semua perintah  yang  ditetapkan kerajaan  dan  prosedur operasi standard (SOP).

Dalam  menzahirkan  kata-kata  semangat  kepada  semua  petugas  barisan hadapan,  baginda  amat  memahami  cabaran  besar  yang  diharungi  oleh  mereka  pada  ketika  ini susulan  kenaikan  mendadak  kes  positif  Covid-19  harian  yang   mencecah kepada  empat  angka  secara  berterusan.  Baginda  amat  menyanjung  tinggi pengorbanan  yang  dicurahkan  oleh   petugas  barisan  hadapan  demi  keselamatan  rakyat  dalam  memikul  tanggungjawab  membendung  wabak  Covid-19  dan  merawat  pesakit  yang  boleh  meragut  nyawa  serta  menyifatkan  petugas barisan  hadapan  sebagai  benteng  utama  negara  sejak  bermulanya  penularan  wabak Covid-19.  Baginda  juga  mahu  semua  rakyat  jelata  terus  menghargai  segala  jasa  dan sumbangan  yang  diberikan  oleh  golongan  itu.

Di  dalam  ajaran  Islam,  golongan  yang  menjaga  keselamatan  nyawa  insan  lain  dimuliakan  kedudukannya  seperti  dinyatakan  di  dalam  al-Quran surah al-Maidah  ayat  32 yang  bermaksud:  "Dengan  sebab  (kisah  pembunuhan  kejam) yang  demikian  itu  kami  tetapkan  atas  Bani  Israil,  bahawasanya  sesiapa  yang  membunuh seorang  manusia  dengan  tiada  alasan  yang  membolehkan  membunuh  orang  itu  atau  (kerana)  melakukan  kerosakan  di  muka  bumi,  maka  seolah-olah  dia  telah membunuh  manusia semuanya dan  sesiapa  yang  menjaga  keselamatan  hidup seorang  manusia,  maka  seolah-olah  dia  telah  menjaga  keselamatan  hidup  manusia semuanya. Dan demi  sesungguhnya,  telah  datang  kepada  mereka  Rasul-rasul  kami  dengan  membawa  keterangan  yang  cukup  terang  kemudian,  sesungguhnya kebanyakan  dari pada mereka  sesudah  itu,  sungguh-sungguh  menjadi  orang-orang yang  melampaui  batas  (melakukan  kerosakan) di  muka  bumi."

Justeru , kami  ingin  menitipkan  pesanan  buat  petugas  barisan  hadapan  dengan sifat-sifat  nabi  dalam  mengharungi  ujian  getir  perjuangan  melalui  penghayatan terhadap  keimanan  yang  kukuh,  kesabaran  yang  tinggi,  amanah  dalam melaksanakan  tugas  dan  kebergantungan  penuh  kepada  Allah SWT.

Keimanan  yang  kukuh  adalah  paksi  kepada  keteguhan  hati  seorang  Muslim.  Firman Allah SWT  di  dalam  surah al-Baqarah  ayat  155-157 yang  bermaksud : "Demi  sesungguhnya! Kami  akan  menguji  kamu  dengan  sedikit  perasaan  takut  (kepada musuh)  dan  (dengan  merasai)  kelaparan  dan  (dengan  berlakunya)  kekurangan  daripada harta  benda  dan  jiwa  serta  hasil  tanaman. Dan  berilah  khabar  gembira  kepada orang-orang yang  sabar:  (Iaitu) orang-orang yang  apabila  mereka  ditimpa  oleh sesuatu  kesusahan,  mereka  berkata: 'Sesungguhnya  kami  adalah  kepunyaan  Allah  dan  kepada  Allah  jualah  kami  kembali. Mereka  itu ialah  orang-orang yang  dilimpahi dengan  berbagai-bagai  kebaikan  dari pada Tuhan  mereka  serta  rahmat-Nya  dan  mereka itulah  orang-orang yang  dapat  petunjuk  hidayah-Nya.'"

Bagi  orang yang  beriman,  segala  kesulitan,  kesedihan  serta  kesusahan  yang  dialami dalam  kehidupan  hanya  mampu  diharungi  dengan  kepercayaan  dan  keyakinan bahawa  Allah  SWT  yang  menetapkan  segala  ujian  kehidupan  dan  Allah  SWT  jualah yang  mampu  menghilangkan  kesukaran  yang  dialami.

Selain  itu,  tekad  dan  keteguhan  hati  rasul  yang  digelar  Ulul  Azmi dengan disertai  kesabaran  dan  ketabahan  hati  yang  luar  biasa  dalam  menghadapi  segala bentuk  rintangan  dalam  berdakwah  juga  amat  wajar  diteladani  sebagai mana  firman Allah SWT di  dalam  al-Quran  surah al-Ahqaf  ayat  35  yang  bermaksud: "(Jika demikian  akibat  orang-orang  kafir  yang  menentang mu  wahai  Muhammad)  maka bersabarlah  engkau  sebagai mana  sabarnya  rasul-rasul  Ulul-Azmi (yang  mempunyai  keazaman  dan  ketabahan  hati)  daripada  kalangan  rasul-rasul  (yang  terdahulu  daripadamu)  dan  janganlah  engkau  meminta  disegerakan  azab  untuk mereka  (yang  menentangmu  itu).  Sesungguhnya  keadaan  mereka  semasa  melihat azab  yang  dijanjikan  kepada  mereka,  merasai  seolah-olah  mereka  tidak  tinggal  (di  dunia)  melainkan  sekadar  satu  saat  sahaja  dari  siang  hari. (Penerangan  yang  demikian)  cukuplah  menjadi  pelajaran  (bagi  orang-orang yang  mahu  insaf).  Maka (ingatlah)  tidak  dibinasakan  melainkan  kaum  yang  fasik   derhaka."

Muslim yang  baik  juga  tidak  harus  hilang  pengharapan  dan  berputus  asa dari pada rahmat Allah SWT.  Firman  Allah  dalam  al-Quran surah  Yusof  ayat  87 yang  bermaksud: "Wahai anak-anakku!  Pergilah  dan  intiplah  khabar  berita  mengenai  Yusuf  dan saudaranya  (Bunyamin)  dan  janganlah  kamu  berputus  asa  dari pada rahmat  serta pertolongan  Allah.  Sesungguhnya  tidak  berputus  asa  dari pada rahmat  dan  pertolongan Allah  itu  melainkan  kaum   kafir."

Kebergantungan  kita  semua  di  dalam  mengharungi  ujian  kehidupan  hanyalah disandarkan  kepada  Allah  SWT  sebagai mana  firman-Nya  di  dalam  surah al-Baqarah ayat  186  yang  bermaksud : "Dan  apabila  hamba-hambaKu  bertanya  kepadamu mengenai  Aku  maka  (beritahu  kepada  mereka):  Sesungguhnya  Aku  (Allah)  sentiasa hampir  (kepada  mereka),  Aku  perkenankan  permohonan  orang yang  berdoa  apabila ia  berdoa  kepada-Ku.  Maka  hendaklah  mereka  menyahut  seruan-Ku  (dengan mematuhi  perintah-Ku)  dan  hendaklah  mereka  beriman  kepada-Ku  supaya  mereka menjadi  baik  serta  betul."

Tiada  sebarang  kebaikan  mahupun  keburukan  yang  berlaku  dalam  kehidupan  tanpa keizinan  daripada  Allah  SWT.  Rasulullah  SAW  bersabda  yang  maksudnya:  "Mahukah kamu  aku  tunjukkan  satu  ucapan  yang  merupakan  salah  satu  perbendaharaan syurga? atau  baginda  bersabda,  satu  perbendaharaan  daripada  perbendaharaan syurga?  Maka  aku  menjawab, "Tentu."  Baginda  bersabda,  ucapan  La  hawla wala Quwwata illa billah.'"  (Sahih  Muslim, no. Hadis 6862).  Menurut  Imam al-Nawawi,  ucapan  hawqalah adalah  satu  ucapan  berbentuk  penyerahan  dan  pengakuan kepada  Allah SWT  yang  digunakan  untuk menyerah  diri  dan  menyatakan  bahawa manusia tidak  mempunyai  hak  untuk  memiliki  sesuatu  urusan.  Ia  juga adalah satu  bentuk  pengakuan  yang  menyatakan  bahawa  seseorang  hamba tiada  upaya  untuk  menolak  sesuatu  kejahatan  (kemudaratan)  dan  tiada  kekuatan untuk  mendatangkan  kebaikan  kepada  dirinya  melainkan  dengan  kudrat  iradat  Allah  SWT.

Laksanakanlah  semua  tugasan  berdasarkan  prosedur  yang  betul  dan  tepat  kerana ia  melibatkan  kemaslahatan  umat  manusia sejagat.  Kegagalan  kita  beramanah  di  dalam melaksanakan tugasan  bukan  hanya  akan  membahayakan  diri  sendiri , tetapi  juga nyawa  dan  keselamatan  orang  lain.

Pemergian  ke rahmatullah  seorang  doktor  petugas  barisan  hadapan  Kementerian Kesihatan  Malaysia  baru-baru  ini  amat  menyentuh  hati  dan  sanubari  kita  semua rakyat  Malaysia.  Kepada  semua  petugas  barisan  hadapan  termasuk  petugas yang  terlibat  dalam  misi  bantuan  kemanusiaan  dan  pasukan  pengurusan  jenazah orang Islam,  kami  kirimkan  doa  agar  dikurniakan  ketabahan  dan  dipertingkatkan darjat  ketakwaan.  Renungilah  firman  Allah SWT  di  dalam  al-Quran surah al-Talaq ayat  2  yang  bermaksud : "…dan  sesiapa  yang  bertakwa  kepada  Allah (dengan mengerjakan  suruhan-Nya  dan  meninggalkan  larangan-Nya),  nescaya  Allah  akan mengadakan  baginya  jalan  keluar  (daripada  segala  perkara  yang  menyusahkannya)."

Penulis Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi)

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 January 2021 @ 6:00 AM