GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
AL-FIQH

1. Sekiranya ketika membasuh najis mughallazah, air basuhan itu memercik ke tempat lain, adakah tempat itu perlu disamak?

Jika air yang digunakan untuk membasuh najis mughallazah itu terkena pada tempat lain, tempat itu perlu dibasuh dengan air tanah sekiranya tempat yang terkena air basuhan najis itu tidak bertanah.

Tetapi jika yang terkena air basuhan najis itu sudah ada tanah, memadailah dengan hanya dijirus air padanya sahaja.

Sekiranya yang terpercik itu adalah basuhan air kali yang ketujuh, tidak menjadi najis tempat yang terkena percikan itu.

Sebaliknya, jika percikan itu bukan daripada basuhan kali yang ketujuh, tempat yang terkena percikan itu diikuti membasuhnya baki bilangan yang tertinggal.

Jika terkena percikan basuhan kali yang ketiga, dia dikehendaki membasuhnya empat kali lagi bagi mencukupkan tujuh kali basuhan. Begitulah seterusnya.

2. Seseorang yang dalam keadaan berjunub kesuntukan masa untuk mandi, jika dia mandi juga waktu solat akan luput.

Apakah dalam keadaan itu, dia mesti mandi juga dan solat di luar waktunya? Atau dia bertayamum ganti mandi dan solat dalam waktunya, selepas itu baru dia mandi dan mengulangi solatnya.

Sekiranya seseorang itu mendapati ada air dan tidak ada sesuatu yang menghalangnya daripada menggunakan air, maka tidak sah dia bertayamum, bahkan hendaklah menggunakan air untuk mandi walaupun luput waktunya.

Tidak kira sama ada ketika dia bermukim atau ketika bermusafir.

3. Bolehkah seseorang melakukan solat Jumaat dan diikuti dengan solat Zuhur dengan hanya satu kali tayamum sahaja?

Harus seseorang mengerjakan solat Jumaat dan solat Zuhur dengan hanya satu kali tayamum sahaja. Itu adalah kerana apabila dia mengerjakan solat Jumaat, maka gugurlah kewajipan solat Zuhurnya.

Maknanya, solat Zuhur tidak lagi wajib ke atasnya, bahkan hanya sunat sahaja. Oleh sebab itu, harus bagi seseorang mengerjakan satu solat fardu dan satu solat sunat bagi satu kali tayamum.

4. Seorang yang mengalami luka pada tangannya dan tidak ada sebarang balutan, apabila dia hendak mengambil wuduk, dia hanya membasuh anggota yang tidak luka dan bertayamum bagi lukanya.

Dia hendaklah bertayamum bagi sakit yang tidak dapat diratakan air padanya walaupun tidak dihalangi sebarang balutan.

>>Sumber: Furu al-Masa’il wa Usul al-Wasa’il oleh Maulana al-Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani dan disusun Datuk Abu Hasan Din al-Hafiz

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 November 2019 @ 8:12 AM