Sumber: Furu’ Al-Masa’il Wa Usul Al-Wasa’il oleh Maulana Al-Syeikh Daud Abdullah Al-Fathani dan disusun Datuk Abu Hasan Din Al-Hafiz

1. Seseorang mencedok air daripada bekas berisi air yang sedikit dengan menggunakan gayung kecil bertujuan untuk mengangkat hadas besar.

Selepas berniat mengangkat hadas, salah satu anak jarinya terendam ke dalam air dalam gayung berkenaan.

Adakah air di dalam gayung itu dikira sebagai air mustakmal ataupun tidak?

Oleh kerana niat asal untuk memindahkan air daripada tempat berisi air untuk digunakan sebagai mandi mengangkat hadas, ia menjadi mustakmal disebabkan jari tangannya masuk ke dalam bekas itu selepas dia berniat untuk mengangkat hadas.

Samalah hukumnya seperti niat untuk mencedok air.

2. Apabila seorang mencedok air untuk mengambil air sembahyang, adakah dia dikehendaki berniat wuduk selepas membasuh muka kali pertama atau berniat sebelum membasuh muka?

Untuk mandi mengangkat hadas besar pula, adakah dia dikehendaki berniat ketika mencedok air atau selepasnya?

Masa untuk berniat bagi mandi janabat ialah apabila air sampai ke bahagian badan buat kali pertama jika dia berhasrat untuk membasuh sekali saja.

Tetapi kalau sudah menjadi kebiasaannya setiap kali dia mengambil air sembahyang, dia akan membasuh mukanya sebanyak tiga kali, dia dibolehkan berniat pada basuhan kali kedua atau ketiga.

Masa untuk berniat bagi mandi janabat ialah apabila air sampai ke bahagian badan buat kali pertama ketika dia mencedok air dari tempat yang kurang daripada dua qullah.

Selepas niat, segera mandi mengangkat hadas janabatnya.

3. Sudah menjadi kebiasaan setiap kali membasuh muka, seseorang lelaki membasuh sebanyak tiga kali.

Bagaimanakah sekiranya pernah berlaku sebaik saja seorang lelaki selesai membasuh mukanya untuk kali pertama, dia memasukkan tangannya ke dalam bekas air yang sedikit dan bukan bertujuan untuk mencedok airnya.

Apakah kebiasaan melakukan tiga kali basuhan pada setiap anggota wuduk yang diamalkan sejak sekian lama itu masih boleh dipakai sehingga air di dalam bekas itu tidak dianggap sebagai air mustakmal?

Kebiasaan seperti itu diterima syarak dan dianggap seperti dia berniat untuk membasuh tiga kali.

Oleh itu, air berkenaan tidak menjadi mustakmal disebabkan dia memasukkan tangannya ke dalam bekas air yang sedikit itu sebelum selesai basuhan yang ketiganya.

4. Bagi bekas yang terkena najis hukmi (yang tidak dapat dilihat) di bahagian dalamnya, bagaimanakah hendak menyucikannya dengan air yang sedikit?

Apakah hukum air yang digunakan untuk membasuh najis berkenaan?

Hendaklah dicurahkan air ke dalam bekas itu dan digoncang sehingga air dapat meratai seluruh kawasan dalam bekas itu.

Selepas itu, bekas berkenaan dianggap suci. Sementara air yang digunakan itu belum boleh dihukum sebagai air mustakmal selagi belum suci bekas itu.

Apabila air itu dicurahkan dan berpisah dengan bekas, barulah dinamakan air mustakmal.

Air mustakmal suci tetapi tidak boleh digunakan untuk menyucikan, demikian fatwa Syeikh Ramli Kabir.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Jun 2018 @ 6:22 AM