GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Mohd Rizal Azman Rifin

SEBELUM era perindustrian, manusia mencari nafkah dengan mengusahakan pelbagai tanaman dan aktiviti penternakan.

Di negara kita, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) ditubuhkan pada 1969 dikhususkan sebagai agensi kerajaan bagi membangunkan sektor pertanian dengan menjalankan kajian, pembangunan dan penyelidikan untuk pelbagai pertanian.

Selain itu, Mardi juga diberikan peranan melakukan kajian secara saintifik sehingga mampu menghasilkan jentera bagi petani dan penternak.

Begitu juga dengan tertubuhnya Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) di Terengganu, Lembaga Kemajuan Pahang Tenggara (Dara) dan Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora) di Johor.

Hakikat itu menunjukkan negara kita sebuah negara yang ingin menjadikan sektor pertanian berkembang seiring arus perubahan zaman.

Usaha mendekatkan petani dan penternak dengan jentera berasaskan teknologi tidak sesekali diketepikan, malah menerusi pelbagai agensi pihak pemerintah menyediakan pelbagai prasarana demi kepentingan rakyat bergelar petani dan penternak.

Ia sekali gus menaikkan imej dan status sektor pertanian ke arah kerjaya yang mampu memberikan pendapatan lumayan dan secara tidak langsung menjadi sumber ekonomi utama rakyat.

Berbekalkan slogan, ‘Pertanian adalah Perniagaan,’ kerjaya sebagai usahawan tani dan ternakan menjadi popular dan semakin ramai anak muda membuang sikap malu untuk bergiat dalam lapangan pertanian.

Perkembangan itu sewajarnya dipupuk kerana kita tidak mahu sektor pertanian hanya menjadi ‘milik’ mereka yang berusia.

Di sebalik keghairahan dan kerancakan pelbagai pihak memajukan sektor pertanian sebagai kerjaya pilihan, kita sesekali juga dikejutkan dengan isu tanah terbiar.

Banyak tanah kosong milik individu tidak diusahakan, sedangkan tanah itu berupaya dijadikan sebagai tapak usaha tani yang produktif.

Terdapat juga tanah terbiar milik perseorangan yang menjadi sarang hidupan berbahaya dan lebih merunsingkan, tanah terbiar itu dipenuhi lalang dan menjadi lokasi sarang nyamuk membiak.

Seharusnya isu tanah terbiar tidak timbul kerana kita sedia maklum Islam sangat menggalakkan umatnya menjalankan usaha memakmurkan bumi Allah dengan sesuatu yang boleh memberi manfaat seperti bertani.

Ditambah pula, Allah menganugerahkan negara ini iklim khatulistiwa berhawa tidak ekstram membolehkan apa sahaja jenis tanaman hidup subur.

Tidak seperti negara lain yang kekurangan kawasan tanah bersesuaian bagi menjalankan aktiviti pertanian.

Hakikat itu sepatutnya kita syukuri dengan melakukan aktiviti yang boleh mendatangkan manfaat.

Apabila seseorang mengusahakan tanah dengan aktiviti pertanian, ia satu usaha memakmurkan bumi Allah.

Dalam Islam, setiap usaha baik yang memberi manfaat untuk dirinya, keluarga dan masyarakat dikira amal yang berpahala di sisi Allah.

Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud: “Andai esok pagi kiamat datang sementara di tanganmu ada benih pohon kurma, maka usahakan semampu mungkin untuk menanamnya. Jika ada kesempatan, maka segeralah menanamnya. Ia akan membuahkan pahala.” (Hadis Riwayat Imam Bukhari)

Selain itu, Rasulullah memberikan khabar gembira buat mereka yang ringan tangannya untuk bertani dengan bersabda: “Tidak ada seorang Islam yang menanam pohon kecuali sesuatu yang dimakan daripada tanaman itu akan menjadi sedekah baginya dan yang dicuri akan menjadi sedekah. Apa sahaja yang dimakan oleh binatang buas daripadanya, maka sesuatu yang dimakan itu akan menjadi sedekah baginya.” (Hadis Riwayat Imam Bukhari)

Manakala, menerusi Imam Ahmad ada satu lagi perkhabaran gembira yang disampaikan oleh Baginda SAW yang bermaksud: “Jika seorang Islam menanam pohon atau menanam tanaman, lalu burung atau manusia atau haiwan memakannya, maka dia akan mendapat sedekah daripadanya.”

Penulis pensyarah Politeknik Muadzam Shah, Pahang

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Julai 2019 @ 8:08 AM