PROJEK penyelidikan menggunakan ‘drone’ bagi mengurus ladang sawit.
PROJEK penyelidikan menggunakan ‘drone’ bagi mengurus ladang sawit.
JURUTERA pertanian cipta teknologi untuk mengurangkan kos operasi.
JURUTERA pertanian cipta teknologi untuk mengurangkan kos operasi.
Mohamad Hussin

Kejuruteraan pertanian menjadi pemangkin kepada pertanian moden selaras dengan matlamat negara untuk memperkasa bidang itu bagi memastikan bekalan makanan terjamin serta menjana pendapatan lumayan.

Presiden Persatuan Jurutera Pertanian Malaysia (MSAE) Prof Madya Dr Rosnah Shamsudin berkata, bidang kejuruteraan pertanian merangkumi semua aktiviti kejuruteraan berkaitan pengeluaran pertanian untuk makanan dan penggunaan bahan bukan makanan.

Beliau berkata, ia termasuk penyediaan tanah kepada penanaman dan pertumbuhan tanaman, daripada penuaian kepada penyimpanan dan pemasaran pertanian, makanan serta produk bukan makanan.

“Jurutera pertanian berperanan menyelesaikan masalah pertanian mengenai bekalan kuasa, kecekapan jentera, penggunaan struktur dan kemudahan, tanah, penggunaan air untuk aktiviti pertanian, pencemaran, isu alam sekitar, isu penyimpanan dan pemprosesan produk pertanian.

“Mereka bekerja dalam pelbagai projek dan industri. Secara keseluruhan, jurutera pertanian membantu meningkatkan hasil pertanian dan produk serta mencari jalan bagi mengurangkan kos operasi pengeluaran.

“Melindungi kesihatan dan keselamatan pekerja serta melindungi alam sekitar bagi pertanian yang mapan,” katanya yang ditemui di Universiti Putra Malaysia (UPM) Serdang, baru-baru ini.

Rosnah yang juga Penyelidik Jabatan Kejuruteraan Proses dan Makanan, Fakulti Kejuruteraan UPM berkata, pelbagai inovasi dan teknologi dihasilkan jurutera pertanian sama ada di dalam mahupun luar negara.

“Antaranya penggunaan rumah hijau untuk pengeluaran sayuran dan tanaman secara intensif. Pertanian dalam rumah hijau kini menguasai pengeluaran beberapa jenis tanaman.

“Sistem rumah hijau yang direka melalui kejuruteraan pertanian membenarkan petani memantau dan mengawal suhu, cahaya, kelembapan dan kuantiti baja serta air untuk menyediakan persekitaran bersesuaian mengikut jenis tanaman.

“Kini, pertanian dalam rumah hijau membolehkan peningkatan hasil sebanyak dua hingga tiga kali ganda dan pada masa sama menjimatkan penggunaan baja dan air sehingga 50 peratus,” katanya.

Menurutnya, contoh lain adalah automasi dalam industri ternakan seperti memerah susu lembu. Teknologi sistem mesra lembu membolehkan ternakan itu memilih untuk makan, berehat atau diperah susu pada bila-bila masa mengikut keselesaannya.

“Sistem ini berupaya menyimpan maklumat setiap lembu bagi membolehkan penternak memantau dan mengoptimumkan prestasi.

“Mekanisme dalam bidang pertanian merangkumi reka bentuk dan pembangunan traktor, penuai gabungan dan jentera lain yang dilengkapi teknologi semasa terutama untuk tujuan automasi seperti sistem kedudukan global (GPS) dan pelbagai sensor,” katanya.

Selain itu, katanya, pelajar Bacelor Kejuruteraan Pertanian dan Biosistem (BKPB) dilatih bagi memenuhi keperluan tenaga kerja terlatih dan berkemahiran untuk menyelesaikan masalah berkaitan reka bentuk peralatan pertanian.

“Peluang pekerjaan bagi graduan BKPB luas dan pelbagai merangkumi aspek pengurusan, perundingan, pembinaan, penyelidikan, pembangunan, pemantauan, kawalan dan perkhidmatan teknikal.

“Ia termasuk jualan, pemasaran, pengeluaran, pemprosesan, perniagaan, keusahawanan, pendidikan dan latihan. Kepelbagaian ini menyebabkan permintaan bagi graduan BKPB tinggi sepanjang masa,” katanya.

Beliau berkata, matlamat utama MSAE untuk mempromosikan bidang kejuruteraan pertanian dan kerjaya berkaitan dengannya.

“MSAE dapat menjadi platform bagi menggalakkan kemajuan profesional ahli serta mengembangkan peranan, perkongsian dan kerjasama di antara jurutera, saintis dan ahli teknologi yang terbabit dalam sektor pertanian dan makanan.

“MSAE juga bertindak mengetengahkan peranan jurutera pertanian dalam isu keselamatan makanan negara.

“Sehubungan itu, Konvensyen Kebangsaan Jurutera Pertanian Malaysia akan diadakan di Fakulti Kejuruteraan UPM pada 23 Mac ini.

Menurutnya, sebarang maklumat lanjut boleh melayari laman sesawang www.msae.upm.edu.my atau e-mel eng.msae @upm.edu.my.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Mac 2016 @ 10:52 AM