PEMANDANGAN dari atas bukit Wadi Rum yang pasirnya berwarna kemerah-merahan.
PEMANDANGAN dari atas bukit Wadi Rum yang pasirnya berwarna kemerah-merahan.
Mohd Fadly Samsudin


DI dalam al-Quran ada dikisahkan mengenai tujuh pemuda tertidur di dalam sebuah gua selama 309 tahun.

Kisah penghuni gua (Ashabul Kahfi) itu adalah kisah benar. Ia juga kejadian yang sangat menakjubkan dan luar biasa.

Sudah pasti akal manusia tidak dapat membayangkan serta menjelaskan bagaimana sekumpulan pemuda itu boleh tertidur selama ratusan tahun.

Bagaimanapun, sebagai hamba yang beriman, kita perlu meyakini tiada yang mustahil berlaku sekiranya Allah SWT menghendakinya.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Adakah kamu menyangka (wahai Muhammad) bahawa kisah Ashabul Kahfi (penghuni gua) dan Ar-Raqiim termasuk antara tanda-tanda kekuasaan Kami yang menakjubkan?” (Surah Al-Kahfi, ayat 9)

Di manakah terletaknya lokasi gua yang menjadi tempat persembunyian tujuh pemuda berkenaan?

Terdapat perdebatan mengenai lokasi gua berkenaan.

PEMANDANGAN dari atas bukit Wadi Rum yang pasirnya berwarna kemerah-merahan.
PEMANDANGAN dari atas bukit Wadi Rum yang pasirnya berwarna kemerah-merahan.

Bagaimanapun, lokasi lebih tepat seperti dikisahkan di dalam al-Quran adalah di Abu Alanda iaitu tidak jauh dari pusat bandar Amman, Jordan.

Dahulunya, kawasan itu dikenali sebagai Ar-Raqim. Ini kerana di sana terdapat tapak arkeologi bernama Khirbet Ar-Raqim.

Bekas penuntut Universiti al-Bayt, Mafraq, Jordan, Usaamah Mohamad menceritakan pengalamannya selama enam tahun berada di bumi Jordan.

Menurutnya, Ashabul Kahfi adalah sebuah gua yang berada di atas bukit tinggi berdekatan kawasan kilang.

“Apa yang menarik dengan Ashabul Kahfi adalah kisah tujuh pemuda yang hidup pada zaman yang dikelilingi orang kafir.

“Mereka melarikan diri ke kawasan yang lebih tenang dan berjauhan daripada penduduk bandar. Mereka kemudian terjumpa sebuah gua lalu tidur di dalamnya.

USAAMAH (kanan) bersama rakan pengajiannya di Universiti al-Bayt bergambar di sekitar lokasi bersejarah Ashabul Kahfi.
USAAMAH (kanan) bersama rakan pengajiannya di Universiti al-Bayt bergambar di sekitar lokasi bersejarah Ashabul Kahfi.

“Apa yang menakjubkan, Allah SWT ‘tidurkan’ mereka selama 309 tahun.

“Sepanjang mereka tidur, Allah SWT menjaga mereka dengan matahari tidak merosakkan kulit mereka, badan tidak tertimbus dengan tanah, umur tidak tua dan haiwan berbisa juga tidak mengganggu mereka,” katanya.

Usaamah berkata, pada tahun pertama pengajiannya di Jordan, dia sudah dapat menyesuaikan diri dengan cara kehidupan dan budaya orang tempatan di negara itu.

“Pada mulanya saya beranggapan Jordan tidak mempunyai apa-apa melainkan pemandangan padang pasir yang tandus semata-mata.

“Semakin lama berada di sana, saya berpeluang melawat banyak lokasi menarik dan bersejarah. Saya ke tempat berkenaan sebelum pulang ke tanah air selepas menamatkan pengajian.

KAWASAN bersejarah Ashabul Kahfi iaitu kisah tujuh pemuda beriman yang bersembunyi di dalam gua dan tertidur selama 309 tahun.
KAWASAN bersejarah Ashabul Kahfi iaitu kisah tujuh pemuda beriman yang bersembunyi di dalam gua dan tertidur selama 309 tahun.

“Alhamdulillah, rupa-rupanya persatuan pelajar di sana iaitu Persatuan Mahasiswa Malaysia al-Bayt (PRISMA) memang sudah menyusun serta menyediakan pelbagai aktiviti ziarah buat kami penuntut tahun satu di sana.

“Ketika tibanya hari lawatan, lokasi pertama kami singgah ketika itu adalah Ashabul Kahfi dan Laut Mati. Kami berada di situ dari pagi hingga petang.

“Bercerita mengenai Laut Mati pula, ia adalah sebuah tasik dan tidak bersambung dengan mana- mana laut. Airnya sangat masin sehinggakan tiada hidupan di dalamnya.

“Disebabkan terlalu masin, badan kita akan terapung. Ada juga yang mengatakan Laut Mati semakin mengering dan dijangka airnya kering sepenuhnya.

“Laut Mati ada kisahnya tersendiri iaitu berlaku pada zaman Nabi Luth. Kawasan itu bukan tasik biasa, tetapi terjadi akibat malapetaka besar. Allah SWT menurunkan azab dengan menterbalikkan kota itu dan sehingga kini ia tidak dapat dikesan,” katanya.

Usaamah berkata, satu lagi lokasi yang sering menjadi tumpuan orang ramai sekiranya berkunjung ke Jordan adalah Wadi Rum.

“Tempatnya seakan-akan planet Marikh kerana keadaan pasirnya yang berwarna kemerah- merahan. Jika dapat bermalam di sana, kita dapat melihat begitu banyak bintang di langit,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Jun 2019 @ 7:00 AM