hmdigital

PENGALAMAN menjejakkan kaki ke bumi Jordan ketika menjadi tetamu undangan program Jejak Rasul untuk stesen televisyen TV3 pada 2014 adalah kenangan paling manis yang tidak dapat dilupakan.

Lebih-lebih lagi, ia adalah titik tolak keinsafan untuk berhijrah dari dunia songsang.

“Saya cukup bersyukur kerana melalui pengembaraan ini, saya diberi hidayah serta rahmat daripada Allah SWT untuk kembali ke fitrah asal dan tidak menoleh ke belakang lagi demi menjadi hambaNya yang bersyukur serta beriman,” kata Mohd Khariri Mohammad Ramli @Cikgu Ery kepada wartawan Metro Ahad, Mohamad Fahd Rahmat.

Perjalanan ke bumi Jordan dimulakan dengan penerbangan Malaysia Airlines dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menuju ke Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Kami transit selama tiga jam sebelum terbang ke Jordan dan tiba di sana jam 7 pagi. Cuaca cukup sejuk ketika itu.

Saya bersama tujuh yang lain mendaftar masuk ke sebuah hotel sebelum bersarapan.

Sebaik selesai, kami terus berangkat ke Kedutaan Malaysia dan diberikan penerangan selama sejam oleh pegawai di sana.

Seterusnya, kami terus melakukan penggambaran di lokasi menarik seperti makam sahabat Rasulullah SAW, gua persinggahan Nabi Luth AS dan tempat persinggahan sahabat Rasulullah SAW seperti Bilal bin Rabah.

Namun, paling mengujakan adalah pengalaman berkunjung ke Laut Mati yang terkenal kerana kisahnya dirakam dalam al-Quran berkaitan perbuatan kaum Nabi Laut AS mengamalkan seks sejenis hingga penduduknya ditimpa bala.

Kisah kaum berkenaan memang kena dengan kehidupan silam saya. Saya benar-benar insaf apabila melihat keadaan muka bumi di kawasan Laut Mati berkenaan.

Seperti yang dirakamkan menerusi Surah Al-A’raf, ayat 80 hingga 84 yang bermaksud: “Dan Nabi Luth juga (Kami utuskan). Ingatlah ketika dia berkata kepada kaumnya: Patutkah kamu melakukan perbuatan yang keji, yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun daripada penduduk alam ini sebelum kamu? Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsu syahwat kamu dengan meninggalkan perempuan, bahkan kamu ini adalah kaum yang melampaui batas. Dan tidak ada jawapan daripada kaumnya selain daripada berkata: Usirlah mereka (Nabi Luth dan pengikut-pengikutnya yang taat) dari bandar kamu ini, sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang (mendakwa) menyucikan diri. Maka Kami selamatkan dia dan keluarganya (serta pengikut-pengikutnya) melainkan isterinya, adalah dia daripada orang-orang yang dibinasakan. Dan Kami telah menghujani mereka dengan hujan (batu yang membinasakan). Oleh itu, lihatlah, bagaimana akibat orang-orang yang melakukan kesalahan.”

Merenung ayat al-Quran itu, saya menjadi sebak, insaf dan rasa sangat hina. Bukti di depan mata itu menyebabkan saya sedih serta takut dengan dosa yang pernah dilakukan sebelum ini.

Tepat jam 4 petang, kami memulakan penggambaran. Ramai pelancong
dari dalam dan luar Jordan datang berkunjung ke Laut Mati.

Sejak dijadikan tempat pelancongan, ramai yang berkunjung untuk meli-hat bukti bala yang menimpa kaum terbabit akibat melawan perintah Allah SWT.

Pada masa sama, pengunjung juga dapat menikmati khasiat air garam Laut Mati yang tinggi ketumpatannya sehingga mampu membantu mengubati penyakit seperti masalah kulit.

Lumpurnya juga boleh dijadikan lulur badan. Kemudahan yang disediakan di Laut Mati juga cukup memberi keselesaan buat pengunjung.

Restoran, ruangan solat, kedai cenderahati serta tandasnya tersusun rapi. Syabas buat kerajaan Jordan yang sentiasa menitikberatkan soal keselesaan buat pelancong.

Fikiran saya hanya tertumpu pada betapa hebatnya kuasa Allah SWT menukarkan sebuah perkampungan golongan songsang itu sehingga menjadi sebuah tasik yang sangat luas seumpama lautan.

Walaupun tidak lama di Laut Mati, hikmahnya dapat saya rasakan sehingga hari ini. Sesungguhnya, kekuasaan Allah SWT yang dibuktikan di Laut Mati menjadi antara pencetus untuk saya berubah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 September 2019 @ 8:45 AM