FOTO Hiasan.
FOTO Hiasan.
AL-FIQH

1. Seorang makmum wanita yang solat di sebalik tabir di belakang imam berasa syak ketika bangun rakaat kedua, adakah dia mendahului imam atau tidak. Adakah dengan syak seperti itu merosakkan solatnya?

Perasaan syak seperti itu tidak merosakkan solatnya kerana pada asalnya dia tidak mendahului imamnya.

2. Seorang makmum berdiri lebih dari tiga hasta dari saf pertama di belakang imam sedangkan hukum menetapkan jarak di antara satu saf dengan saf yang lain tidak melebihi tiga hasta.

Tiba-tiba datang seorang makmum lain dan dia mengambil tempat di hadapannya iaitu saf pertama di belakang imam. Adakah luput bagi makmum pertama itu saf awalnya kerana saf pertama sudah diduduki makmum yang datang kemudian?

Tidak hilang kelebihan saf awal bagi makmum pertama itu walaupun dia berada di saf kedua kerana saf di hadapannya sudah diduduki orang lain.

Dalam keadaan sedemikian, sepatutnya makmum pertama itu mara ke hadapan untuk bersama-sama makmum yang masbuk di saf pertama.

3. Adakah diharuskan bagi makmum berniat mufaraqah daripada imamnya disebabkan keuzuran? Selain itu, adakah luput fadilat jemaahnya?

Harus bagi makmum berniat mufaraqah daripada imam jika terdapat keuzuran dan tidak luput fadilat jemaahnya. Makruh hukumnya jika sengaja seseorang berniat untuk mufaraqah tanpa sebarang keuzuran dan luput pahala jemaahnya (walaupun solatnya sah).

Adapun keuzuran yang diharuskan niat untuk mufaraqah adalah seperti sakit atau apabila imam memanjangkan bacaan sunat sedangkan makmum itu tidak mampu bertahan lama atau kerana makmum ada urusan mustahak atau apabila makmum mendapati imamnya meninggalkan perkara sunat seperti tasyahud awal atau bacaan qunut.

Semua itu antara sebab mengharuskan seseorang makmum itu berniat mufaraqah daripada imam.

4. Sebaik imam memberi salam, seorang makmum masbuk bangun untuk menyempurnakan bilangan rakaatnya yang masih kurang.

Tiba-tiba datang beberapa orang lagi dan solat di belakangnya sebagai makmum. Lalu dia pun berniat sebagai imam di pertengahan solatnya.

Adakah dia beroleh fadilat menjadi imam dan bagaimana pula dengan jemaah yang mengikut di belakangnya?

Semua beroleh fadilat berjemaah jika yang mengikuti di belakang itu berniat sebagai makmum walaupun makmum masbuk itu tidak berniat sebagai imam.

Sumber: Furu’ Al-Masa’il wa Usul al-Wasa’il oleh Maulana Al-Syeikh Daud bin Abdullah Al-Fathani dan disusun semula oleh Datuk Abu Hasan Din Al-Hafiz

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 January 2019 @ 1:30 AM