GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Qira’ah Fatwa

Apakah hukum bacaan niat solat dengan hanya menyebut “sahaja aku solat fardu Zuhur” tanpa menyebut rakaatnya kerana Allah Taala serta mengikut imam?

Niat bertujuan untuk mengingati sesuatu perbuatan ketika mula melakukannya.

Tempat niat ialah di dalam hati.

Hal itu berdasarkan hadis sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya amalan itu adalah dengan niat.” (Riwayat al-Bukhari (1) dan Muslim (1907)

Untuk menjadikan solat itu sah, seseorang hendaklah menyertakan niat di dalam hati ketika takbiratulihram dan sedar akan tujuannya untuk solat ketika melafazkan takbir itu serta mengingati jenis solat dan fardunya.

Sementara itu, niat untuk solat pula tidak disyaratkan untuk melafazkannya. (Rujuk Fiqh al-Manhaji - 1/129)

Dalam kitab Taqrirat al-Sadidah (1/210), Syeikh Hasan al-Kaf menyebut: “Tidak wajib berniat dengan mengidafahkan Allah SWT, niat menentukan rakaat, niat menghadap kiblat, niat ada’an (tunai) dan qadha’an (solat ganti), bahkan semua yang tadi itu adalah disunatkan sahaja.”

Itu hanya membabitkan solat bersendirian, tetapi solat berjemaah memerlukan niat menjadi makmum, berjemaah atau mengikut imam.

“Sekiranya musolli (orang yang bersolat) itu menjadi makmum, maka wajib baginya untuk berniat jemaah, atau mengikut imam, atau jadi makmum. Sekiranya dia tidak berniat berjemaah, kemudian mengikut pergerakan imam secara sengaja menunggunya (yakni untuk mengikut pergerakan imam) selama panjang kadar satu rukun, maka batallah solatnya dan tidak wajib berniat (makmum) ketika takbiratul ihram.” (Rujuk Taqrirat al-Sadidah - 1/21)

Sebahagian ulama mewajibkan niat ketika takbiratul ihram, tetapi pendapat yang muktamad hukumnya sah, tetapi makruh jika menangguhkannya sehingga pertengahan solat kerana mensia-siakan fadilat solat berjemaah. (Rujuk Nail al-Raja (ms 148), Tuhfah al-Muhtaj - 2/2383)

Bagi solat Jumaat, wajib bagi makmum untuk berniat ketika takbiratulihram kerana syarat solat Jumaat ialah dengan berjemaah. (Rujuk al-Iqna’ (ms 230) oleh Imam Khatib al-Syirbini)

Bagi makmum pula yang syak adakah dia sudah berniat makmum atau belum, maka dia hendaklah memperbaharui niatnya tanpa perlu membatalkan solatnya itu.

Sumber: Al-Kafi li al-Fatawi, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 January 2019 @ 12:18 PM