AL-FIQH

l

Seseorang yang mengambil alih tugas sebagai imam Jumaat (kerana imamnya batal solat), adakah dimestikan dia berniat sebagai imam atau tidak perlu?

Sekiranya orang yang mengambil alih tugas imam itu sempat bersama imam satu rakaat (sebelum imam batal solatnya), maka tidak perlu lagi dia berniat sebagai imam.

Namun, sekiranya dia belum dapat satu rakaat bersama imam yang batal itu, maka wajib ke atasnya berniat sebagai imam kerana niat sebagai imam itu wajib buat orang yang menjadi imam bagi solat Jumaat.

l

Apakah pandangan mengatakan haram hukumnya bercakap ketika khatib sedang membaca khutbah sedangkan mengikut qaul qadim (pendapat yang dahulu) hanya mengatakan ketika khatib sedang membaca khutbah adalah disunatkan supaya diam dan tidak haram berkata-kata.

Jika seorang berkata-kata sesuatu yang tidak dituntut, tetapi jika kata-katanya itu ada kaitan dengan sesuatu yang perlu dia beritahu, adakah ia dikira haram?

Sekiranya kata-katanya itu ada hubung kait dengan sesuatu yang berlaku yang memerlukannya berkata-kata, maka dia disunatkan untuk berkata-kata.

Contohnya, menegur seseorang yang hampir disengat kala jengking untuk menyedarkannya, menegur orang melakukan kesilapan, atau menegah sesuatu kemungkaran.

Maka, pada ketika itu tidaklah haram dia berkata-kata bahkan kadangkala menjadi wajib ke atasnya. Sekiranya memadai dengan memberi isyarat saja, maka disunatkan dia memberi isyarat saja tanpa perlu berkata-kata.

l

Ada pendapat mengatakan disunatkan bagi orang yang hendak datang ke masjid supaya menghiaskan dirinya. Apakah jenis perhiasan yang lebih utama untuk dilakukan?

Seseorang hendaklah mengenakan pakaian paling elok antara pakaian yang dimilikinya. Pakaian berwarna putih adalah lebih aula daripada warna yang lain.

Kemudian, memakai pakaian yang dicelup benangnya sebelum ditenun adalah lebih baik daripada pakaian yang dicelup selepas ditenun, memakai bau-bauan pada badan dan pakaian, menggunting misai dan mencukur bulu ari-ari serta bulu ketiak, memotong kuku kaki dan tangan serta menghilangkan segala bau yang kurang menyenangkan pada anggota badan.

l

Pakaian yang paling baik untuk ke masjid pada hari Jumaat ialah pakaian berwarna putih. Apakah yang dimaksudkan dengan putih itu keseluruhannya atau hanya memadai sebahagiannya (seperti baju saja yang berwarna putih atau kain berwarna putih manakala bajunya berwarna lain)?

Sekiranya bertembung Jumaat dengan hari raya, manakah yang patut diutamakan antara keistimewaan hari Jumaat berpakaian warna putih atau keistimewaan hari raya dengan berpakaian cantik?

Sekiranya keseluruhan pakaiannya berwarna putih adalah lebih aula. Jika tidak, memadai dialas mana-mana bahagian luarnya dengan pakaian berwarna putih.

Tetapi jika pakaiannya berwarna putih dan dialas di bahagian luarnya dengan warna lain, maka tidak mendapat pahala sunatnya.

Jika bertembung Jumaat dengan hari raya, maka hendaklah diutamakan hak Jumaat dan jika hari raya jatuh pada hari biasa maka beri keutamaan hak hari raya.

Sumber: Furu’ Al-Masa’il Wa Usul Al-Wasa’il, oleh Maulana Al-Syeikh Daud Abdullah Al-Fathani dan disusun Datuk Abu Hasan Din Al-Hafiz

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Julai 2018 @ 10:13 AM