FOTO Hiasan.
FOTO Hiasan.
Suriany Awaludin

SEJAK berkahwin dua tahun lalu, saya tinggal di rumah ibu mentua. Keputusan itu diambil suami yang menyatakan kedudukan kewangan masih belum kukuh untuk memiliki rumah sendiri.

Selain itu, saya juga bekerja dan berulang ke tempat kerja sejauh 58 kilometer setiap hari. Sudah banyak kali saya ajak suami keluar mencari rumah sewa dan merasai hidup berdikari.

Bagaimanapun, dia mengatakan semua itu membazir. Masalah saya hadapi sekarang, ibu mentua agak berkira terutamanya ketika menggunakan perkakasan di rumahnya seperti mesin basuh dan televisyen yang dikatakan saya gunakan secara tidak berhemat.

Selepas ditegur sedemikian, saya rela menghantar pakaian ke dobi dan sebaik balik dari tempat kerja pada lewat petang, saya terus masuk ke bilik.

Bagaimana cara untuk menyelesaikan masalah ini kerana saya sedaya upaya mengajak suami tinggal berasingan, namun saranan saya tidak dihiraukan. Apabila terjadi perkara sebegini pastinya hubungan saya dengan ibu mentua kian dingin. Buat pengetahuan, kami turut memberikan wang kepada ibu pada setiap bulan sebagai tanda kami ‘menumpang’ rumahnya selain tidak pernah ketinggalan membeli barangan dapur.

Isteri Buntu, Gombak

SELAIN menyediakan nafkah makan minum serta pakaian buat isteri, suami turut bertanggungjawab menyediakan tempat tinggal yang disenangi isteri.

Tempat tinggal yang dimaksudkan hendaklah bersesuaian dengan kemampuan suami sebagaimana kewajipan nafkah yang difardukan Allah SWT kepada si suami.

Isteri mempunyai hak untuk memiliki rumah sendiri. Allah SWT berfirman dalam Surah al-Ahzab, ayat 33 yang bermaksud: “Menetaplah kamu sekalian (wahai isteri-isteri Nabi) di rumah-rumah kamu.”

Antara ciri-ciri tempat tinggal yang disarankan syarak menurut pandangan fuqaha’ adalah sebagaimana dinyatakan di dalam Kitab Fiqh al-Islami wa Adillatuh’ jilid 10, muka surat 8392 karangan Dr Wahbah al-Zuhayli yang menyebut: “Para Fuqaha’ sepakat menyatakan bahawa di antara ciri-ciri maskan syarie itu hendaklah mempunyai prasarana-prasarana yang sekurang-kurangnya (dharuriah) menurut kebiasaan terdapat di dalam sebuah rumah iaitu bilik air, dapur dan perabot.

Prasarana itu hendaklah dikhususkan untuk kegunaan ‘maskan’ itu saja kecuali suami itu fakir, maka dia bolehlah tinggal di dalam sebuah bilik daripada bilik-bilik yang terdapat dalam sebuah rumah dan terdapat orang lain tinggal di situ dengan syarat jiran-jirannya terdiri daripada mereka yang solihin.”

Maskan syarie adalah tempat tinggal yang dibenarkan oleh syarak. Asasnya tempat tinggal yang digariskan syarak perlu sesuai dengan taraf kewangan suami.

Tempat itu lengkap dengan bekalan air, tandas dan dapur selain tidak mendatangkan gangguan kepada isteri daripada sesiapa yang turut tinggal di situ. Selain itu, tempat tinggal berkenaan juga diduduki oleh jiran yang seagama. Berhubung dengan masalah yang sedang dihadapi puan, ia perlu diselesaikan dengan perbincangan bersama suami terlebih dulu.

Sekiranya suami memberi alasan tidak mampu membeli rumah sendiri kerana ia membabitkan kos yang tinggi, maka buat sementara waktu puan dan suami boleh menyewa rumah yang masih dalam kemampuan suami.

Namun, jika isu kemampuan itu bukan menjadi sebab utama malah memberi pula alasan membazir bagi tujuan berkenaan, maka ia tidak wajar.

Alasan membazir dengan mampu adalah dua isu berbeza. Tempat tinggal itu hendaklah mengambil kira kehendak isteri yang diseimbangkan dengan kemampuan suami.

Jika isteri tidak gembira atau tidak mendapat hak sewajarnya di rumah ibu mentua, suami perlu segera mengambil jalan penyelesaian. Setiap masalah dalam perkahwinan amat perlu kepada perbincangan dan penyelesaian.

Bukan hanya dengan keputusan suami semata-mata. Jika perbincangan gagal dilakukan, puan boleh mendapatkan bantuan ahli keluarga untuk menjadi wakil atau jurucakap, sebaik-baiknya orang yang dihormati suami.

Sebagai isteri, puan perlukan kesabaran yang tinggi ketika menghadapi ujian sedemikian. Mudahmudahan kesabaran puan dipandang Allah dan diberikan jalan penyelesaian yang baik.

Mungkin juga dengan kesabaran puan itu satu masa nanti Allah SWT kurniakan kemampuan kepada suami dan dia dapat menyediakan rumah sendiri buat keluarga.

Sumbangan dan pemberian diberikan puan dan suami kepada ibu mentua adalah tanggungjawab anak kepada ibunya. Maka, berilah dengan ikhlas kerana Allah semata-mata. Semoga ia menjadi sebab kepada penyelesaian dalam kesulitan yang puan hadapi.

Penulis ialah peguam syarie

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 November 2018 @ 2:00 AM