GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Kemusykilan Syariah Bersama Suriany Awaludin

SUAMI tidak bekerja selepas diberhentikan majikan pada Jun lalu. Kini segala keperluan dan perbelanjaan keluarga terpaksa saya tanggung sepenuhnya.

Kadang-kadang suami turut meminta duit daripada saya. Menjadi rutinnya selepas tidak bekerja ini, pada sebelah pagi dia akan hantar anak ke rumah ibu saya kerana rumah kami berdekatan.

Saya pula akan terus menuju ke tempat kerja.

Disebabkan suami tidak bekerja, timbul perasaan geram dan benci terhadapnya kerana sikapnya yang seolah-olah sudah menyerah kalah dan tidak berusaha menambah pendapatan keluarga.

Ima

Cheras

Menurut syarak dan undang-undang, tugas menyediakan nafkah untuk isteri dan anak terpikul di bahu suami.

Hanya beberapa keadaan membolehkan suami tidak perlu membayar nafkah kepada isteri iaitu selama tempoh isteri itu nusyuz atau tidak taat kepada kemahuan suaminya.

Tanggungjawab menyediakan nafkah untuk anak pula terhenti apabila anak-anak mencapai usia 18 tahun atau tamat pengajian mereka dan anak itu boleh menyara diri sendiri.

Kedua-dua tanggungjawab itu diperuntukkan di bawah Seksyen 60 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri yang memperuntukkan tanggungjawab terhadap nafkah isteri iaitu Seksyen 60 (1) Tertakluk kepada hukum syarak, mahkamah boleh memerintahkan seseorang lelaki membayar nafkah kepada isteri atau bekas isterinya.

Suami boleh tidak menyediakan nafkah isteri apabila isteri disahkan oleh mahkamah sebagai isteri yang nusyuz seperti diperuntukkan di bawah Seksyen 60 (2) tertakluk kepada hukum syarak dan pengesahan mahkamah iaitu seseorang isteri tidaklah berhak mendapat nafkah apabila dia nusyuz atau enggan dengan tidak berpatutan menurut kemahuan atau perintah sah suaminya iaitu:

a. Apabila dia menjauhkan diri daripada suaminya.

b. Apabila dia meninggalkan rumah suaminya bertentangan dengan kemahuan suaminya.

c. Apabila dia enggan berpindah bersama suaminya ke satu rumah atau tempat lain tanpa apa-apa sebab yang sah mengikut hukum syarak.

Berkenaan tugas menyediakan nafkah anak pula, diperuntukkan di bawah Seksyen 73 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri iaitu 73 (1) kecuali jika sesuatu perjanjian atau sesuatu perintah mahkamah memperuntukkan selainnya, maka adalah menjadi kewajipan seseorang lelaki menanggung nafkah anaknya, sama ada anak itu berada dalam jagaannya atau dalam jagaan seseorang lain, sama ada dengan mengadakan bagi mereka tempat tinggal, pakaian, makanan, perubatan dan pelajaran sebagaimana yang munasabah bergantung kepada kemampuan dan taraf kehidupannya atau dengan membayar kosnya.

Suami atau bapa hendaklah menyediakan nafkah anak sehingga umur anak mencapai 18 tahun atau sehingga tamat pengajian mereka sebagaimana diperuntukkan di bawah Seksyen 80 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri.

Walau bagaimanapun, dalam keadaan suami atau bapa yang masih sihat dan berupaya mencari nafkah, tanggungjawab tidak akan berpindah kepada pihak lain, apatah lagi isteri.

Memandangkan keadaan suami puan semakin selesa tidak bekerja dan masih boleh meneruskan kehidupan harian disebabkan puan boleh menyaranya, puan hendaklah segera bertindak menanganinya.

Sekiranya mampu, puan boleh terus menasihati suami mengenai tanggungjawabnya menyediakan nafkah. Jika tidak mampu, puan dapatkan bantuan mana-mana ahli keluarga rapat yang boleh menasihati suami dan membantunya mendapatkan pekerjaan.

Malah, puan juga boleh membuat tuntutan nafkah isteri dan anak di mahkamah di samping menyedarkannya tindakan undang-undang boleh diambil sekiranya dia tetap gagal atau cuai memberi nafkah.

>>Penulis adalah peguam syarie

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 November 2019 @ 8:16 AM