FOTO hiasan. FOTO Mior Azfar Mior Kamarulbaid
FOTO hiasan. FOTO Mior Azfar Mior Kamarulbaid
Suriany Awaludin

Saya dan suami bercerai dua tahun lalu selepas 17 tahun melayari bahtera rumah tangga.

Hasil perkahwinan itu, kami dikurniakan tiga anak.

Sepanjang tempoh perkahwinan, kami tinggal di sebuah rumah teres yang dibeli atas nama suami selepas lima tahun kami berkahwin.

Bagaimanapun, selepas bercerai suami mengusir saya dan anak-anak keluar kerana menyatakan rumah itu dibeli di atas namanya. Kini rumah itu hanya disewakan.

Persoalannya, adakah saya berhak menuntut di Mahkamah Syariah rumah itu adalah sebahagian harta sepencarian kami walaupun ia dibeli atas nama suami?

Hanim, Kajang

Setiap wanita perlu tahu hak mereka selepas berlakunya perceraian.

Harta sepencarian adalah salah satu hak yang boleh dituntut oleh suami atau isteri.

Menurut Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri, harta sepencarian ditafsirkan sebagai harta yang diperoleh bersama suami isteri semasa perkahwinan berkuat kuasa mengikut syarat-syarat yang ditentukan hukum syarak.

Namun, yang memberi kesan atau beza dari segi undang-undang adalah sama ada harta itu benar-benar diperoleh dalam tempoh perkahwinan atau perkahwinan itu sah dan apa sumbangan dibuat dalam perkahwinan terhadap harta itu.

Pada dasarnya, harta sepencarian adalah amalan dalam masyarakat kita tetapi ia tidak bercanggah dengan hukum syarak. Firman Allah SWT dalam Surah an-Nisaa’, ayat 32, yang bermaksud: “Orang lelaki ada bahagian daripada apa yang mereka usahakan dan orang perempuan pula ada bahagian daripada apa yang mereka usahakan.”

Islam mengiktiraf usaha dan sumbangan dilakukan setiap umatnya dalam memiliki dan memperoleh harta. Tanpa mengambil kira jantina, kadar bahagian mengikut apa yang mereka usahakan.

Bukan bermakna hanya suami saja berhak ke atas harta yang dimiliki walaupun secara zahirnya suami membuat sumbangan yang besar.

Mengambil contoh salah satu penghakiman dalam tuntutan harta sepencarian, iaitu satu kes yang dibicarakan dan diputuskan oleh mahkamah pada 1978.

Menurut Kadi Besar Pulau Pinang, Yang Arif Harussani Zakaria (pada masa itu) ketika memutuskan kes Nor Bee lwn Ahmad Shanusi mengenai harta sepencarian:

“Harta sepencarian diluluskan oleh syarak atas dasar khidmat dan perkongsian hidup. Isteri mengurus dan mengawal rumah tangga ketika suami keluar mencari nafkah. Isteri menurut syarak berhak mendapat orang gaji dalam menguruskan rumah tangga. Jika tiada orang gaji maka kerja memasak, membasuh dan mengurus rumah hendaklah dianggap sebagai sebahagian kerja yang mengurangkan tanggungan suami.”

Penghakiman itu menjadi garis panduan bagi kebanyakan kes tuntutan harta sepencarian di Mahkamah Syariah yang mengiktraf sumbangan isteri sebagai isteri sepenuh masa tanpa dibayar gaji seperti orang gaji.

Maka sumbangan isteri dari segi tugasan mengurus rumah tangga, suami dan anak-anak, memasak, membasuh dan tugasan lain diambil kira sebagai sumbangan terhadap suami dalam usaha meringankan tanggungan suami.

Bagi masalah dialami puan, secara asasnya ia mempunyai merit dari sudut pandangan undang-undang untuk menuntut hak puan sebagai harta sepencarian.

Penamaan milikan di atas nama suami bukan bermaksud ia adalah hak mutlak suami. Seperti yang diperuntukkan di dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri berkenaan Harta Sepencarian, Seksyen 122 iaitu:

3. Mahkamah mempunyai kuasa apabila membenarkan lafaz talak atau apabila membuat perintah perceraian, memerintahkan supaya apa-apa aset yang diperoleh dalam masa perkahwinan dengan usaha tunggal satu pihak kepada perkahwinan itu dibahagi antara mereka atau supaya aset itu dijual dan hasil jualan itu dibahagi antara mereka atau supaya mana-mana aset itu dijual dan hasil jualan itu dibahagi antara pihak itu.

4. Dalam menjalankan kuasa yang diberi oleh sub-seksyen (3), Mahkamah hendaklah memberi perhatian kepada:

a. Takat sumbangan-sumbangan yang dibuat oleh pihak yang tidak memperoleh aset itu kepada kebajikan keluarga dengan memelihara rumah tangga atau menjaga keluarga.

b. Keperluan anak yang belum dewasa daripada perkahwinan itu jika ada dan tertakluk kepada pertimbangan itu, mahkamah boleh membahagikan aset itu atau hasil jualan itu mengikut apa-apa kadar yang difikirkannya munasabah, tetapi walau bagaimanapun, pihak yang memperoleh aset itu dengan usahanya hendaklah menerima suatu kadar yang lebih besar.

Tuntutan yang ingin dikemukakan perlu disertakan dengan fakta yang menyokong dakwaan puan. Sehubungan itu, puan perlu mengemukakan fakta mengenai sumbangan yang dibuat dalam usaha puan atau suami mendapatkan harta berkenaan.

Sekiranya puan tiada sumbangan secara langsung sama ada dalam bentuk kewangan atau tenaga, puan boleh mengemukakan fakta sumbangan secara tidak langsung iaitu dari segi tugas sebagai isteri yang dilakukan sepanjang harta itu mula dimiliki sehingga bercerai.

Fakta sumbangan itu perlu dikemukakan bagi tujuan menentukan berapa kadar bahagian yang layak untuk puan dan suami. Mana-mana pihak yang menyumbang dengan kadar yang besar, maka bahagiannya akan besar.

Seterusnya, puan juga boleh memohon supaya ditetapkan juga cara pembahagian kadar itu sama ada harta itu dijual dan seterusnya dibahagikan kepada pihak yang layak mengikut kadar bahagian masing-masing.

Penulis ialah peguam syarie

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 September 2018 @ 12:12 PM