SESEORANG lelaki wajib sediakan nafkah kepada orang di bawah tanggungannya. FOTO hiasan
SESEORANG lelaki wajib sediakan nafkah kepada orang di bawah tanggungannya. FOTO hiasan
Suriany Awaludin

SAYA seorang pegawai sektor kerajaan manakala suami bekerja di syarikat swasta. Gaji suami jika dicampur dengan kerja lebih masa hanya RM2,300 sebulan.

Saya pula menerima gaji lebih RM4,000, tetapi banyak komitmen perlu dilunaskan setiap bulan termasuk bayar kereta, sewa rumah, upah pengasuh dan membayar pinjaman peribadi.

Setiap bulan baki gaji hanya tinggal RM1,200. Pinjaman peribadi itu dibuat untuk perbelanjaan perkahwinan kami kerana suami ketika itu tiada wang simpanan.

Masalahnya, selepas berkahwin suami tetap tidak mampu memberi nafkah kepada saya kerana dia terpaksa menanggung ibu serta seorang adik lelakinya yang menganggur.

Sebenarnya, saya faham dan turut bersimpati dengan keadaan suami yang terpaksa berkorban untuk keluarganya.

Jika diikutkan, setiap bulan memang dia tidak cukup wang, tetapi dia tetap tidak menunjukkan kesusahannya.

Adakah suami tetap perlu mendahulukan keluarganya biarpun diri sendiri, isteri dan anaknya tidak mendapat nafkah yang sepatutnya?

Disebabkan saya bekerja, saya ambil tanggungjawab untuk terus membantu suami.

Ingin tahu, Kuala Lumpur

Perkataan nafkah berasal daripada kalimah Arab iaitu infak atau mengeluarkan apa-apa untuk orang yang wajib dan berada di bawah tanggungan.

Nafkah juga terdiri daripada makanan, pakaian, tempat tinggal dan lain-lain yang menjadi asas keperluan manusia di kawasan setempat.

Ada diperuntukkan di bawah Seksyen 73 Enakmen Undang-Undang Keluarga Negeri bagi kewajipan menanggung nafkah anak:

1. Kecuali jika sesuatu perjanjian atau sesuatu perintah mahkamah memperuntukkan selainnya, maka adalah menjadi kewajipan seseorang lelaki menanggung nafkah anaknya sama ada anak itu berada dalam jagaannya atau dalam jagaan seseorang lain, sama ada dengan mengadakan bagi mereka tempat tinggal, pakaian, makanan, perubatan dan pelajaran sebagaimana yang munasabah memandangkan kepada kemampuan dan taraf kehidupannya atau dengan membayar kosnya.

Sebagai bapa, tanggungjawab menyediakan keperluan asas dan kebajikan untuk anak serta isteri terletak di atas bahunya semata-mata.

Melainkan wujud persetujuan dan keredaan pihak isteri yang sama-sama menyara dan menanggung keperluan dirinya dan anak-anak.

Maka, baru terlepas tugas dan tanggungjawab bapa atau suami berkenaan. Hak ke atas nafkah itu diwajibkan syarak atas tiga sebab iaitu perkahwinan, kerabat dan pemilikan.

Seseorang lelaki wajib menyediakan nafkah kepada orang di bawah tanggungannya disebabkan perkahwinan iaitu isteri yang dinikahinya.

Hak nafkah itu sebagaimana disebutkan di dalam Kitab Fiqh Perundangn Islam karangan Dr Wahbah Zuhaili menyatakan, suami wajib menyediakan makanan, pakaian, alat pembersih, alat kelengkapan rumah, tempat tinggal dan pembantu rumah sekiranya isteri daripada keluarga yang mempunyai pembantu.

Seterusnya, nafkah disebabkan kerabat bermaksud nafkah yang wajib disediakan untuk ahli keluarga.

Menurut pandangan Mazhab Syafi’ie, kerabat yang berhak mendapat nafkah adalah ibu bapa dan anak.

Tidak wajib nafkah bagi kerabat selain daripada ibu bapa dan anak seperti saudara lelaki, bapa saudara bapa dan lain-lain.

Nafkah kerabat juga mempunyai tiga bahagian syarat wajib iaitu kerabat itu orang fakir, tiada harta dan tiada kemampuan bekerja kerana belum baligh, tua, gila atau sakit yang berpanjangan.

Namun, syarat itu dikecualikan bagi ibu bapa kerana mereka berhak mendapat nafkah meskipun berkemampuan bekerja dalam keadaan mereka sihat dan kuat.

Syarat kedua, hendaklah orang yang berkewajipan membiayai nafkah itu dalam keadaan senang, mempunyai nafkah lebih daripada keperluan dirinya sama ada pendapatan hartanya sendiri atau daripada pekerjaannya.

Perkara itu dikecualikan bagi seorang bapa. Bapa wajib berusaha mencari nafkah untuk anak dan isterinya walaupun miskin.

Syarat ketiga, pemberi nafkah mempunyai hubungan kerabat mahram dengan orang yang dibiayai nafkah dan berhak mewarisi harta daripadanya.

Dalam masalah puan hadapi, suami juga terpaksa memperuntukkan nafkah kepada adik lelakinya yang menganggur.

Kewajipan nafkah disebabkan kerabat hanya wajib ke atas ibu bapa sahaja dan tidak termasuk saudara lelaki dan sebagainya.

Apatah lagi saudara lelaki itu tidak mempunyai keuzuran untuk mencari nafkah sendiri. Keutamaan dan kewajipan menyediakan nafkah suami puan sepatutnya diberikan kepada puan dan anak-anak.

Puan dan suami perlu duduk berbincang dalam suasana harmoni bagi menjelaskan perkara itu bagi memperbetulkan semula perjalanan kewangan rumah tangga.

Tahniah buat puan kerana dapat bertimbang rasa dengan kemampuan suami kerana turut sama menyara serta menafkahi diri puan dan anak-anak.

Perkara itu bagaimanapun tidak sama sekali melepaskan tugas dan tanggungjawab suami terhadap ibunya dengan memberi nafkah sesuai dengan keperluan asas ibu sahaja.

Nafkah isteri dan anak-anak adalah bersesuaian dengan keperluan dan kemampuan suami.

Sekiranya masih kurang, suami perlu berusaha mencari tambahan nafkah atau dibantu oleh puan dengan cara meredakannya atau dipersetujui untuk dianggap sebagai pinjaman.

Penulis ialah peguam syarie

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mac 2019 @ 1:00 PM