FOTO hiasan. FOTO Yazit Razali
FOTO hiasan. FOTO Yazit Razali
Datuk Dr Zahazan Mohamed

Saya ada seorang kawan suka kepada pasangan sejenis. Sebelum ini dia suka menonton video lucah di Internet bersama kawan itu sehingga terjerumus melakukan hubungan songsang itu secara sembunyi.

Akhirnya, perkara itu menjadi kebiasaan dan dia pernah melakukan hubungan beberapa kali.

Dia ada juga meminta nasihat daripada saya dan meluahkan perasaan bersalah. Bagaimana hendak membantunya ustaz?

Mizi, Bangi

Homoseksual hukumnya jelas haram dan tidak ada pertikaian mengenainya.

Dalam hal ini, saya ingin membicarakan dua perkara iaitu mengenai pandangan mata dan bahaya homoseksual.

Sememangnya maksiat itu bermula daripada pandangan. Sekiranya tidak menjaga pandangan, kita akan mudah jatuh kepada perkara dosa dan maksiat.

Antaranya, menonton video lucah. Berikut saya kongsi beberapa faedah dan nikmat menjaga pandangan antaranya:

• Mengelakkan hati menjadi lemah. Memandang perkara haram akan menyebabkan penyakit mudah bersarang dalam hati.

• Timbul cahaya dalam hati sehingga dapat dilihat pada wajah dan tindakan.

• Dapat mengetahui perkara yang tidak difahami orang lain. Shaja’ al-Karmani pernah berkata: “Sesiapa yang zahirnya rajin mengamalkan sunah, dalam batinnya sentiasa bermuraqabah (merasai Allah sentiasa memantaunya), menundukkan pandangannya daripada perkara yang haram, mengawal dirinya daripada perkara syahwat yang diharamkan serta memakan makanan yang halal, maka tidak akan tersilap firasatnya.

• Mudah memahami ilmu kerana terangnya hati.

• Menguatkan hati, meneguhkan semangat dan memberanikan diri.

• Menjadikan hati sentiasa gembira dan ceria. Seseorang yang mampu mengawal nafsu kerana Allah pasti menggantikan baginya kegembiraan dan kelazatan yang lebih baik dari maksiat yang dilakukannya.

Sebahagian ulama berkata: “Demi Allah, sesungguhnya kelazatan meninggalkan perkara yang haram lebih manis daripada kelazatan melakukannya.”

• Membebaskan hati daripada dipengaruhi syahwat.

• Menutup pintu daripada pintu neraka kerana pandangan yang berasaskan syahwat membawa kepada maksiat. Larangan Allah adalah benteng yang menegah manusia daripada terjebak dalam perlakuan haram. Apabila benteng ini dirobohkan, maka berhati-hatilah.

• Meningkatkan kreativiti dan kecerdasan akal.

• Membersihkan hati yang leka dan lalai daripada mengingati Allah dan akhirat.

Sahabat memang penting tetapi cuba elakkan duduk seharian berdua-duaan di tempat yang sunyi.

Perkara itu dibimbangi akan timbul perasaan yang boleh membawa kepada hubungan sejenis.

Kalau boleh buat aktiviti yang membabitkan kawan yang ramai. Homoseksual adalah pilihan yang sesat dan merosakkan.

Sekiranya sudah berkahwin, pasti dia akan mengabaikan isterinya. Bagi yang masih bujang, dia tidak akan berfikir untuk berkahwin dan hanya memuaskan nafsunya dengan kaum sejenisnya.

Firman Allah SWT dalam Surah al-A’raf ayat 81 bermaksud: “Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk melepaskan nafsumu kepada mereka, bukan kepada wanita, malah kamu ini kaum yang melampaui batas.”

Itu gambaran dilakukan kaum Nabi Luth yang Allah SWT binasakan kerana perbuatan mereka sangat keji dan buruk.

Sedangkan perbuatan itu tidak dilakukan oleh haiwan. Tidak ada haiwan jantan mendatangi haiwan jantan, begitu juga sebaliknya.

Sekiranya ia dilakukan oleh manusia, maka itu sudah menjatuhkan darjat manusia bawah daripada kedudukan haiwan.

Kita boleh bayangkan jika haiwan pun tidak menyalurkan syahwatnya dengan jalan songsang itu, bermakna jiwa manusia sudah rosak.

Jika penyakit itu terus berleluasa dalam kalangan manusia, musibahnya ialah keturunan manusia akan hancur disebabkan lelaki sudah tidak memerlukan wanita.

Lakukan solat secara berjemaah, berdoa dan sertai aktiviti kemasyarakatan supaya dapat mengelak daripada berfikir untuk melakukan perbuatan keji itu.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Allah melaknat sesiapa yang berbuat seperti perbuatan kaum Luth. Allah melaknat sesiapa yang melakukan perbuatan seperti perbuatan kaum Luth, Allah melaknat sesiapa yang melakukan perbuatan seperti perbuatan kaum Luth.” (Riwayat an-Nasa’i)

Penulis ialah pendakwah

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 September 2018 @ 12:02 PM