GAMBAR hiasan. FOTO Roslin Mat Tahir
GAMBAR hiasan. FOTO Roslin Mat Tahir
Fadly Samsudin

Hujung minggu lalu, penduduk di Bandar Baru Bangi khususnya pasti terkejut apabila membaca laporan penahanan sekumpulan lelaki oleh pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) kerana terbabit menyertai pesta gay di sebuah apartmen di kawasan penempatan mereka.

Tempias perbuatan jijik golongan pengamal seks songsang itu pastinya mencalar imej kawasan yang mendapat jolokan ‘Bandar Ilmu’ berkenaan.

Mungkin mereka tidak menyangka aktiviti tidak bermoral itu sudah mula ‘sampai’ ke sana yang dibimbangi akan mengundang bala Allah SWT.

Ketika serbuan dijalankan pada jam 10.15 malam, seramai 16 lelaki berusia 18 hingga 30 tahun sedang leka berhibur dalam kea-
daan bogel.

Lebih menyedihkan, majoriti yang menyertai pesta gay itu beragama Islam. Siasatan juga menemui pelbagai barangan termasuk pil perangsang, kondom, pelincir serta cincin zakar yang menambahkan lagi keyakinan memang berlaku perlakuan terkutuk itu antara mereka.

Pujian harus diberikan kepada orang awam yang cukup prihatin memainkan peranan memantau, seterusnya menyalurkan maklumat aktiviti terbabit kepada pihak berkuasa.

Itulah pentingnya menjadi sebahagian ‘mata dan telinga’ masyarakat bagi mencegah sebarang maksiat serta kemungkaran yang berlaku.

Perlakuan itulah yang sangat membimbangkan Nabi SAW melanda umatnya menerusi sabdanya bermaksud: “Sesungguhnya perbuatan yang paling aku takuti akan menimpa umatku adalah perlakuan dilakukan kaum Nabi Luth.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Kita semua sedia maklum mengenai kisah kehancuran kaum Nabi Luth seperti termaktub dalam Surah Hud, ayat 82-83 yang bermaksud: “Maka apabila datang (masa pelaksanaan) perintah Kami, Kami jadikan negeri kaum Luth itu diterbalikkan (tertimbus segala yang ada di muka buminya) dan kami menghujaninya dengan batu-batu daripada tanah yang dibakar, menimpanya bertalu-talu. Batu-batu itu ditandakan di sisi Tuhanmu (untuk membinasakan mereka), dan Ia pula tidaklah jauh daripada orang-orang yang zalim itu.”

Kaum Nabi Luth dibinasakan disebabkan mereka mengingkari dakwah yang disampaikan baginda. Sebahagian besar kaum Nabi Luth mempunyai keinginan luar biasa terhadap hubungan sejenis.

Allah SWT kemudiannya menghantar malaikat-malaikatnya yang taat lalu menimpakan azab dahsyat itu secara mengejut hingga kota dan penduduknya lenyap dari muka bumi ini.

Sehubungan itu, apabila semakin banyak gejala seumpama itu berlaku dalam masyarakat, umat Islam wajar bangkit melaksanakan kewajipan ‘amar mak‘ruf nahi mungkar’.

Umat Islam juga perlu menentang gerakan berfahaman liberal yang menjadikan falsafah liberalisme sebagai sandaran ampuh mereka mendapatkan hak serta ‘menghalalkan’ perbuatan itu.

Operasi pencegahan juga perlu terus dipergiatkan. Bukannya perlu bersikap berkecuali dan tidak ambil peduli kerana menganggap ia bukan tanggungjawab masyarakat kerana dilakukan di dalam premis tertutup atau ia bersifat ‘dosa peribadi’.

Pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Ustaz Mohd Faizul Azmi berkata, anjuran pesta gay itu dilihat bukan sekadar mengadakan pertemuan biasa tetapi dipenuhi pelbagai maksiat serta jenayah lain seperti melakukan hubungan sejenis, pengambilan dadah dan pil khayal.

Menurutnya, dosa besar yang dilakukan secara berpesta beramai-ramai itu lebih teruk daripada melakukan dosa besar secara bersendirian di sisi Allah SWT.

MOHD Faizul Azmi
MOHD Faizul Azmi

“Kemurkaan Allah SWT lagi bertambah seperti dilakukan kaum Nabi Luth yang mendapat azab daripada Allah SWT. Kesan kemudaratannya juga lebih besar seperti penularan jangkitan HIV dan AIDS di mana amalan seks sejenis antara punca kepada peningkatan kes baru.

“Golongan terbabit juga sudah tidak takut lagi kepada undang-undang, malah semakin hari semakin berani melakukannya secara terang-terangan.

“Fenomena tidak sihat itu pastinya menimbulkan kerisauan kepada masyarakat. Mereka khuatir jenayah homoseksual akan menular kepada anak-anak serta mengundang kemurkaan Allah SWT,” katanya.

Beliau berkata, tidak hairanlah apabila ada masyarakat bertindak mengecam serta mengugut golongan yang terbabit dalam aktiviti seumpama itu.

“Kerisauan masyarakat itu mempunyai asas dan alasan yang sangat kukuh. Hal itu juga menyebabkan pelbagai kecaman dilontarkan termasuk ugutan bunuh dan tuduhan murtad.

“Bagaimanapun, ia perlu dinilai semula oleh masyarakat supaya tidak melampaui batas. Apa yang perlu dijelaskan kepada masyarakat adalah golongan yang terbabit dalam jenayah homoseksual itu memang melakukan dosa besar, tetapi tidaklah mengeluarkan mereka daripada agama Allah.

“Bagi mereka yang terbabit dalam aktiviti homoseksual, mereka perlu keluar mencari penyelesaian supaya tidak terus terbelenggu dalam kancah tidak sihat itu.

“Berjuang melawan hawa nafsu songsang itu adalah satu jihad yang sangat besar. Penyakit itu sukar disembuhkan disebabkan ia sudah menjadi satu ketagihan dan keseronokan. Mudah-mudahan Allah SWT memberi ganjaran pahala yang besar serta mengampunkan dosa mereka,” katanya.

Penulis wartawan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 November 2018 @ 12:51 PM