Rizal Azman Rifin

Isu tekanan hidup dalam kehidupan manusia moden hari ini sudah menjadi perkara biasa. Seorang penulis Barat, Dr Richard A Steven pernah memberitahu: “Hari ini kita tidak hanya berdepan dengan waktu yang terhad kerana pada masa yang sama kita juga sedang berhadapan dengan tekanan dari sudut mental, fizikal dan emosi.”

Allah SWT berfirman dalam Surah al-Baqarah, ayat 155 yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami akan mengujimu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikan berita gembira kepada mereka yang sabar.”

Stres sebenarnya boleh meninggalkan kesan cukup besar hingga mampu menjejaskan arah tuju kehidupan.

Walau sebesar dan seberat mana sekalipun permasalahan hidup yang dihadapi, usah terburu-buru sehingga mengambil langkah berlawanan dengan kehendak agama.

Jangan cepat putus asa berikhtiar untuk menangani isu yang dihadapi kerana lambat-laun, apa saja kebuntuan itu akan mampu diselesaikan sekiranya bersabar.

Islam menyarankan umatnya banyak bersabar khususnya ketika menghadapi ujian hidup.

Dalam menangani stres, Islam memberikan panduan yang cukup jelas antaranya mendirikan solat.

Allah SWT meminta hamba-Nya menjadikan solat sebagai penolong.

Sebagaimana terkandung dalam Surah al-Baqarah, ayat 153, bermaksud: “Wahai mereka yang beriman, jadikanlah sabar dan solat itu sebagai penolongmu.”

Formula pertama ialah sabar dan solat. Imam An-Nasai’ meriwayatkan, Rasulullah SAW tatkala menghadapi sesuatu isu dan masalah, Baginda SAW memperbanyakkan solat.

Dikatakan, seorang lelaki datang berjumpa sahabat Nabi SAW.

Ibnu Mas’ud mengadu kepadanya: “Wahai Ibnu Mas’ud, nasihatkanlah aku dengan sesuatu yang dapat aku redakan kegelisahanku.

Pada masa ini jiwaku tidak tenteram, fikiranku kusut, tidurku tidak nyenyak, malah selera makanku juga hilang.”

Lalu Ibnu Mas’ud memberikan nasihatnya: “Bawalah hatimu mengunjungi tiga tempat. Pertama, kamu pergilah ke tempat orang sedang membaca al-Quran tidak kira sama ada kamu ikut serta membacanya ataupun kamu sekadar mendengarkan pembacaan orang lain.

“Kedua, hendaklah kamu menghadiri majlis pengajian yang mengingatkan kamu kepada Allah.

“Dan yang ketiganya, hendaklah kamu mencari satu waktu yang sunyi misalnya pada waktu malam dan pada ketika itu kamu bangun untuk melakukan ibadat kepada Allah serta memohon kepada-Nya supaya diberikan ketenangan dan kedamaian hati kepadamu.”

Kata Ibnu Mas’ud lagi, “Andainya selepas kamu sudah melakukan semua tiga perkara itu, tetapi jiwamu masih juga tidak tenteram, mintalah kepada Allah SWT supaya digantikan hatimu dengan hati yang lain kerana hati yang kamu miliki sekarang ini bukannya hatimu.”

Dalam Islam, sebarang permasalahan jiwa ada jalan penyelesaian dan masih boleh ditangani dengan baik.

Ada sebilangan masyarakat di luar apabila berhadapan kebuntuan hidup, jalan singkat yang dipilih iaitu membunuh diri.

Fenomena bunuh diri banyak terjadi di negara yang penduduknya bukan Islam seperti di Jepun.

Sebaliknya, dalam Islam umatnya diminta tidak kalah dengan masalah.

Dalam Surah al-Hijr, ayat 56, Allah SWT berfirman yang bermaksud: Ibrahim berkata, “Tidaklah berputus asa daripada rahmat Allah melainkan golongan yang sesat saja.”

Allah SWT meminta hamba-Nya sentiasa berfikiran positif dan cekal hati ketika menghadapi kehidupan yang menghimpit.

Firman Allah dalam Surah Ali Imran, ayat 139 yang bermaksud: “Janganlah kamu berasa lemah dan janganlah berdukacita kerana kamu adalah golongan yang tinggi sekiranya kamu beriman.”

Selain itu, Islam turut menyenaraikan kaedah bagi meredakan tekanan hidup menerusi senyuman, jenaka dan gelak tawa.

Baginda SAW tidak cepat berputus asa, sebaliknya Baginda tempuhi setiap cabaran dengan semangat dan jiwa yang kental.

Baginda SAW juga bukanlah seorang yang serius raut wajahnya. Ketika menghadapi saat getir pun, Baginda masih mampu tersenyum.

Imam At-Tirmizi memetik sebuah hadis daripada Abdullah bin Haris: “Tidak ada manusia yang lebih banyak tersenyum melainkan Rasulullah SAW.’

Demikian juga dengan kehidupan golongan sahabat Baginda SAW.

Ibnu Umar pernah ditanya: “Adakah para sahabat Rasulullah SAW ketawa?”

Ibnu Umar menjawab: “Ya, mereka juga ketawa walaupun iman di hati mereka lebih besar daripada gunung.”

Bukti itu diperkukuhkan lagi dengan perakuan Bilal bin Saad, katanya: “Aku pernah melihat para sahabat Baginda SAW berlari-lari di kawasan memanah sambil tertawa sesama mereka.

Namun, apabila tiba waktu malam, mereka menjadi serius seperti watak seorang rahib.”

Formula seterusnya, sentiasa berdoa kerana doa adalah senjata paling ampuh buat seorang mukmin mengadu apa saja permasalahan hidup mereka.

Allah SWT Maha Mendengar rintihan hamba-Nya. Merintih dan mengadulah kepada Allah, insya-Allah Dia akan membuka ruang jalan penyelesaian yang tidak terjangka oleh kita.

Penulis pensyarah Jabatan Kejuruteraan Mekanikal Politeknik Muadzam Shah, Pahang

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Mei 2018 @ 2:57 PM