YULINA mahu perkenal aktiviti permotoran tempatan ke peringkat antarabangsa.
YULINA mahu perkenal aktiviti permotoran tempatan ke peringkat antarabangsa.
Lizam Ridzuan


Penglibatannya dalam sukan permotoran bermula sejak 2016 kerana minat yang mendalam untuk berlumba.

Melalui tempoh pasang dan surut dengan pelbagai cabaran, dia berjaya meloloskan diri untuk perlumbaan Kejuaraan MSF Superbikes 2022 dan dinobatkan sebagai pelumba wanita paling pantas untuk kategori 1,000cc.

Vroom berkesempatan bertemu pempengaruh media sosial dan pelumba motosikal, Yulina Tan Jade, 30, mengenai cabarannya dalam dunia perlumbaan motosikal.

Minatnya terhadap jentera dua roda sememangnya tinggi dan ini dibuktikan yang dia pernah menjelajah di Australia dan beberapa lokasi lain termasuk Malaysia.

"Meskipun banyak aktiviti permotoran yang saya lakukan seperti jelajah (touring), menunggang di litar adalah yang paling menjadi kegemaran kerana sukakan elemen kelajuan dan adrenalina.

"Saya berusaha keras dengan melakukan macam-macam pekerjaan untuk menampung kos bagi terlibat dengan perlumbaan yang sememangnya agak tinggi," katanya yang berdarah kacukan Malaysia-Jepun.

Sejak 2017 dia berjaya mencipta beberapa kejayaan dan keputusan podium antara yang mematang serta meningkatkan kemahirannya untuk terus berlumba.

Sifat keinginan untuk menunggang lebih laju serta lutut mencecah di litar sering dilihat pada pelumba lain antara menjadi inspirasinya untuk terus belajar menjadi pelumba yang baik.

Paling penting dia mampu bersaing dengan pelumba lelaki yang adakalanya tidak menyangka seorang wanita mampu memintas mereka dan ini antara yang sering terjadi.

"Meskipun tangan pernah patah akibat jatuh dalam perlumbaan, ia tidak melemahkan semangat dan minat saya dalam aktiviti ini.

"Sudah pasti untuk terlibat dalam sukan permotoran ada pelbagai cabaran yang perlu dihadapi seperti terjatuh dan kewangan, mental serta emosi perlu kuat," katanya yang berlumba dengan jentera BMW S 1000 RR.

KETIKA menyertai perlumbaan MSF.
KETIKA menyertai perlumbaan MSF.

JIWA perlumbaan menebal dalam dirinya.
JIWA perlumbaan menebal dalam dirinya.

Perlumbaan musim ini pula tidak seperti yang dirancang apabila dia terjatuh dalam pusingan pertama Kejuaraan Malaysia Speed Festival (MSF) 2023 dan tidak dapat meneruskan penglibatannya untuk keseluruhan musim.

Kos membaik pulih motosikal yang rosak adalah tinggi dan untuk itu Yulina perlu berehat buat sementara waktu selain adalah tempoh terbaik kerana dia perlu melakukan pembedahan bagi mengeluarkan besi di tangannya yang patah dahulu.

"Walaupun tidak berlumba saya sibuk dengan aktiviti sampingan lain seperti mengendalikan laman sosial sama ada untuk konten berbayar atau perkongsian tentang aktiviti permotoran di Malaysia.

"Tahun lalu saya berkelana ke Argentina selama tiga bulan untuk bekerja menjaga kuda di salah sebuah ladang dan ia pengalaman yang sangat menarik kerana membolehkan saya mahir bertutur dalam bahasa latin," katanya yang boleh bertutur dalam bahasa Melayu dan Inggeris dengan baik.

Untuk itu, Yulina juga mendapat perhatian warga Amerika Selatan kerana boleh bertutur dalam bahasa Amerika Latin menjadikannya sering berkongsi tentang dunia sukan permotoran di Malaysia.

Katanya, ramai di benua itu yang masih belum mengenali negara Malaysia dan adalah peluang baginya menonjolkan kemudahan dan litar perlumbaan di negara ini selain aktiviti-aktiviti yang sering dianjurkan oleh pelbagai kelab motosikal.

"Perancangan utama saya sudah pasti mahu terus berlumba, namun pada masa sama saya juga suka membuat saluran YouTube dan media sosial dengan berkongsi video akan aktiviti yang dilakukan sendiri dalam menarik lebih ramai wanita menyertai aktiviti sukan permotoran," katanya yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Komunikasi daripada Universiti Monash.

Selain berlumba Yulina juga aktif melakukan kerja kebajikan di pusat tuisyen kanak-kanak pekak kerana keupayaannya berkomunikasi dalam bahasa isyarat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Oktober 2023 @ 6:49 AM