PERSAINGAN dengan pekerja asing yang bekerja di kategori pekerjaan kurang mahir dan separa mahir menjadikan penyertaan pendidikan menengah dan rendah adalah rendah dalam kalangan wanita.
PERSAINGAN dengan pekerja asing yang bekerja di kategori pekerjaan kurang mahir dan separa mahir menjadikan penyertaan pendidikan menengah dan rendah adalah rendah dalam kalangan wanita.
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Kadar penyertaan tenaga buruh Malaysia meningkat dengan ketara dalam beberapa tahun kebelakangan ini, iaitu daripada 46.8 peratus pada 2010 kepada 68.6 peratus pada 2021.

Bagaimanapun, jurang antara kadar penyertaan tenaga buruh lelaki dan wanita masih lagi besar apabila 80.9 peratus untuk lelaki dan hanya 55.5 peratus wanita pada 2021.

Ketua Ekonomi Buruh Kementerian Sumber Manusia dan Emiratisasi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) Dr Mohd Yusof Saari berkata, bagaimanapun, angka itu masih kekal rendah dengan tahap pembangunan Malaysia jika dibandingkan dengan negara lain di Asia Tenggara.

"Ini sebahagiannya disebabkan oleh 56.9 peratus wanita dengan pendidikan menengah berada di luar tenaga buruh.

"Berdasarkan data Tenaga Buruh, 63.2 peratus menyatakan kerja rumah dan tanggungjawab keluarga sebagai sebab wanita tidak mengambil bahagian dalam tenaga buruh," katanya.

Dr Mohd Yusof berkata, mengikut perangkaan pada 2021, kadar penyertaan tenaga buruh wanita mengikut pendidikan tinggi merekodkan 64.1 peratus, pendidikan menengah (52.2 peratus) dan rendah (43.6 peratus).

"Berdasarkan perangkaan ini, usaha perlu dilakukan bagi meningkatkan penyertaan wanita dalam pasaran buruh bagi mereka yang berpendidikan menengah dan rendah.

"Penyertaan tenaga buruh bagi wanita berpendidikan tinggi berada pada tahap memuaskan, jadi usaha dan dasar ke arah peningkatan penyertaan perlu terarah kepada wanita berpendidikan menengah dan rendah," katanya.

Ditanya mengapa penyertaan pendidikan menengah dan rendah adalah rendah dalam kalangan wanita, pakar ekonomi itu berkata, antara faktor penyumbang kepada situasi itu adalah persaingan dengan pekerja asing yang bekerja di kategori pekerjaan kurang mahir dan separa mahir.

"Faktor gaji yang rendah serta persekitaran pekerjaan yang kurang kondusif kepada wanita turut menyumbang kepada situasi ini.

"Malaysia perlu mengukuhkan dasar pasaran buruh untuk menggalakkan majikan mempertimbangkan kemasukan semula pekerjaan terutamanya untuk wanita bagi meningkatkan kadar penyertaan tenaga buruh dalam kalangan pekerjaan.

"Seperti yang terkandung dalam Rancangan Malaysia Ke-12, wanita dengan pencapaian pendidikan menengah perlu digalakkan untuk menyertai pasaran buruh melalui beberapa mekanisme yang perlu dikaji seperti aktiviti ekonomi di rumah," katanya.

Menurutnya, selain itu, pelan strategik baharu perlu diperkenalkan untuk meningkatkan hubungan majikan-pekerja, seperti menyediakan kemudahan penjagaan kanak-kanak.

"Oleh itu, adalah penting untuk mengutamakan inisiatif yang bertujuan mempromosikan dan menyokong penyertaan wanita di tempat kerja. Tindakan sedemikian boleh menghasilkan pelbagai manfaat dan menyumbang kepada merealisasikan objektif ekonomi yang lebih luas.

"Bagi mendapatkan satu dasar yang menyeluruh ke atas penyertaan wanita dalam pasaran buruh, amat penting untuk mewujudkan pangkalan data khusus bagi golongan ini terutamanya pembabitan mereka dalam ekonomi informal.

PELAN strategik baharu perlu diperkenalkan untuk meningkatkan hubungan majikan-pekerja, seperti menyediakan kemudahan penjagaan kanak-kanak.
PELAN strategik baharu perlu diperkenalkan untuk meningkatkan hubungan majikan-pekerja, seperti menyediakan kemudahan penjagaan kanak-kanak.

"Data sedia ada pada ketika ini terarah kepada sektor formal. Saya percaya ramai wanita di luar sana terbabit secara langsung dalam ekonomi seperti perniagaan atas talian, separuh-masa di rumah, tetapi maklumat berkenaan pembabitan mereka dalam ekonomi yang bersifat informal dicerap dengan baik," katanya.

Katanya, terdapat segelintir syarikat yang menggalakkan kadar penyertaan tenaga buruh wanita.

"Kajian oleh Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan (EU-ERA) bersama Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) mendapati, ada syarikat yang memanfaat tenaga kerja wanita dalam komuniti yang berhampiran dengan operasi syarikat.

"Program ini diilhamkan oleh hubungan industri-komuniti di Jepun, apabila industri membina kilang di tengah-tengah kampung untuk membantu pekerja yang lebih tua mendapat pekerjaan dan mengurangkan jurang pembangunan antara negara.

"Begitu juga di Sweden, dasar keseimbangan kerja kehidupan yang progresif dan pengaturan kerja yang fleksibel memberi kesan yang mendalam terhadap penyertaan tenaga buruh wanita," katanya.

Dr Mohd Yusof berkata, Sweden menyerlah di peringkat global sebagai satu daripada negara dengan kadar penyertaan tenaga buruh wanita tertinggi iaitu mencapai kira-kira 81.3 peratus pada 2022.

"Menurut data Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD), tahap penyertaan yang tinggi ini adalah bukti kejayaan dasar dan inisiatif yang menyokong wanita dalam menguruskan kedua-dua kehidupan peribadi dan profesional mereka dengan berkesan.

"Satu aspek utama pendekatan Sweden untuk menyokong penyertaan wanita dalam tenaga buruh ialah polisi cuti ibu bapanya.

"Dasar ini menggalakkan pengagihan tanggungjawab penjagaan anak secara saksama antara ibu bapa serta pengenalan bahagian 'guna atau hilang' cuti ibu bapa secara eksklusif untuk bapa memainkan peranan penting dalam menggalakkan pembabitan aktif lelaki dalam penjagaan," katanya.

Katanya, dengan menyediakan insentif kepada bapa untuk mengambil cuti kerja dan mengambil bahagian dalam penjagaan anak, dasar ini membolehkan wanita kembali bekerja lebih awal, menghasilkan pengagihan tanggungjawab keluarga yang lebih seimbang.

"Hasil positif daripada usaha ini dicerminkan dalam kemajuan ketara yang dicapai dalam mengurangkan jurang gaji jantina di Sweden.

"Pada 2021, jurang gaji jantina dianggarkan sekitar 7.3 peratus, jauh lebih rendah daripada purata Kesatuan Eropah iaitu kira-kira 10.4 peratus.

"Pencapaian ini boleh dikaitkan dengan komitmen negara untuk memupuk kesaksamaan jantina dan mewujudkan persekitaran di mana wanita mempunyai peluang yang sama untuk kemajuan kerjaya dan kejayaan kewangan," katanya.

Menurut beliau, secara keseluruhan, dasar keseimbangan kerja kehidupan Sweden yang progresif, pengaturan kerja yang fleksibel dan dasar cuti ibu bapa yang sama jantina bukan sahaja menyumbang kepada penyertaan tenaga buruh wanita yang tinggi tetapi juga memainkan peranan penting dalam mengurangkan jurang gaji jantina.

"Inisiatif ini menjadi contoh yang cemerlang mengenai bagaimana dasar yang komprehensif dan menyokong boleh mewujudkan persekitaran di mana wanita boleh mengambil bahagian sepenuhnya dalam pasaran buruh dan mencapai kesaksamaan jantina yang lebih besar.

"Dalam konteks Malaysia, kita memerlukan dasar khusus untuk meningkatkan penyertaan wanita ke dalam pasaran buruh. Ini memerlukan kajian dan cerapan data secara menyeluruh.

"Selain itu, koordinasi program dan intervensi membabitkan pelbagai kementerian dan agensi serta mewujudkan agensi khusus atau memberi fungsi khusus kepada agensi tertentu untuk bertanggungjawab penuh kepada penyertaan wanita dalam pasaran buruh," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 September 2023 @ 7:01 AM