NUR Marhaini (tengah) bersama model memperagakan busana ciptaannya.
NUR Marhaini (tengah) bersama model memperagakan busana ciptaannya.
Hafiz Ithnin


Pereka muda berusia 24 tahun ini melihat sisi warisan tradisi dalam busana kontemporari mampu memberi penghormatan kepada keindahan unik dan penceritaan menerusi corak-corak yang tidak lapuk ditelan zaman.

Apatah lagi pemilihan corak awan larat begitu sinonim dengan warisan tradisional yang mempunyai keunikan tersendiri dan malar segar kepada si pemakai itu sendiri.

Bagi Nur Marhaini Yahya, koleksi 'Culture' menggabungkan warisan tradisi dengan kontemporari, melangkaui masa dan tempat berinspirasikan motif awan larat.

"Berakar kepada penghargaan mendalam terhadap tradisi dan estetika, setiap rekaan berfungsi sebagai kanvas yang mempamerkan motif-motif ini secara artistik, menggabungkan warisan dengan inovasi kontemporari.

"Koleksi kapsul yang mempunyai empat busana ini bertujuan mencipta gabungan harmoni antara tradisi dan kemodenan yang akan menarik minat pencinta fesyen yang menghargai gaya dan sofistikated," katanya.

Jelas anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu, dia mengambil masa enam bulan untuk menyiapkan koleksi kapsul berkenaan.

Ia bermula dengan penciptaan idea dan kajian subjek serta bahan. Selepas fasa awal ini, prosesnya membabitkan penciptaan dan persampelan rekaan yang kemudian dibincangkan dan dipilih dengan teliti.

"Daripada banyak rekaan, empat dipilih untuk dikembangkan. Peringkat seterusnya termasuk perancangan, pembuatan pola, manipulasi fabrik, pencetakan dan teknik 'appliqué' sebelum akhirnya menjahit dan membuat pakaian.

"Setiap langkah memerlukan perhatian teliti terhadap perincian dan ketepatan untuk memastikan hasil akhir memenuhi rekaan koleksi ini," katanya.

Jelasnya, koleksi Culturé menampilkan palet warna yang menarik, dipilih dengan teliti untuk menghasilkan rekaan malar segar.

MENGHARGAI warisan seni yang diadun dalam rekaan kontemporari.
MENGHARGAI warisan seni yang diadun dalam rekaan kontemporari.

"Rona merah hati menjadi warna utama, membawa sofistikated dan kekayaan budaya, memberikan kanvas yang berani untuk motif awan larat yang rumit. Hijau gelap memperkenalkan kemodenan dan menambah kedalaman kepada skima keseluruhan koleksi.

"Warna merah jambu memeriahkan palet dengan keanggunan, menyuntik elemen feminin yang ceria, manakala rona nude menawarkan keseimbangan dan asli," katanya.

Jelasnya, gabungan harmoni warna bumi yang kaya dan warna lembut ini mencipta visual yang memberi penghormatan kepada tradisi sambil meraikan semangat kontemporari.

"Pemilihan fabrik termasuk 'double-faced satin', dicetak dengan motif awan larat dalam warna 'ivory', hijau, merah jambu dan 'maroon' serta 'mercury silk' dan 'roselina silk,' membawa rasa mewah moden dalam rekaan ini.

"Pasarannya disasarkan untuk mereka yang mengikuti perkembangan fesyen, berusia 20 hingga 50 tahun di kawasan bandar yang secara aktif menghargai budaya Malaysia," katanya.

Jelasnya, koleksi itu direka bukan sahaja untuk membuat pernyataan fesyen, tetapi juga sebagai sumbangan terhadap penghargaan budaya, menarik minat mereka yang mempunyai kekaguman dan rasa hormat terhadap kepelbagaian budaya Malaysia.

Bercerita mengenai cabaran katanya, proses mereka bentuk dan mengkaji motif memerlukan pemahaman mendalam mengenai elemen tradisional dan trend semasa.

"Dalam pembuatan rekaan ini, proses 'appliqué' sangat memakan masa, memerlukan kesabaran dan tumpuan. Setiap kepingan kecil perlu dipotong dengan teliti, disusun dan dijahit untuk mencipta reka bentuk pola yang harmoni pada pakaian.

"Fabrik berbeza juga memerlukan teknik pengendalian yang berbeza untuk memastikan ia kelihatan baik dan mengekalkan kualitinya. Keseluruhan proses memerlukan perhatian teliti terhadap perincian dan komitmen terhadap seni pembuatan untuk merealisasikan koleksi ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Julai 2024 @ 6:47 AM