DR Sofea Nur Ain (kanan) bersama Putri Nur Balqis.
DR Sofea Nur Ain (kanan) bersama Putri Nur Balqis.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin

Doktor perubatan ini pernah diuji lewat dikurniakan cahaya mata selepas lima tahun mendirikan rumah tangga, tetapi sifat keibuan yang menebal di dalam diri mendorongnya mengambil anak angkat.

Kini anak angkat Dr Sofea Nur Ain Tan Abdullah, 47, iaitu Putri Nur Balqis Abdullah sudah berusia 13 tahun dan dibesarkan bagai ditatang minyak yang penuh.

Sesuatu yang membanggakan dengan keperibadian Dr Sofea Nur Ain ini ialah beliau mempunyai hati sangat murni dan penyayang kerana turut mempunyai seorang lagi anak angkat, Adam Rizq Abdullah berusia lapan tahun.

Seperti Putri Nur Balqis, Adam Rizq turut dibesarkan dengan limpahan kasih sayang sama seperti anak kandung.

Kemuliaan hati Dr Sofea Nur Ain mengambil anak angkat kerana mahu memberikan mereka kehidupan lebih baik dan masa depan yang cerah.

Dr Sofea Nur Ain berkata, kehadiran Putri Nur Balqis membawa rezeki kepada dia dan suami apabila mereka kemudian dikurniakan zuriat yang sudah lama dinantikan, selepas dua tahun menjadikan Putri Nur Balqis sebagai anak angkat.

Menurutnya, meskipun mempunyai anak kandung, Syazwan Rizq Mohamad Syarizal, 11, namun kasih sayang dicurahkan kepada semua anak-anaknya adalah sama rata dan tiada istilah pilih kasih.

"Dorongan awal saya mengambil anak angkat selain tidak mempunyai zuriat ketika itu, ia juga disebabkan tertarik dengan perkongsian pengalaman pengasas Yayasan OrphanCare (YOC) iaitu Allahyarham Datuk Adnan Mohd Tahir ketika melawat mangsa bencana tsunami di Acheh, Indonesia pada 2004.

"Saya juga melalui pengalaman yang sama seperti allahyarham ketika menyertai misi kemanusiaan di Acheh yang mana ramai mangsa bencana meminta saya bawa balik anak mereka pulang ke Malaysia untuk dijaga memandangkan keadaan di Acheh sangat teruk.

"Namun saya tidak boleh memenuhi permintaan mereka kerana membabitkan isu dua negara. Kejadian itu benar-benar menjentik naluri keibuan saya," katanya.

Dr Sofea Nur Ain ditemui Wanita Metro (WM) sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-15 YOC yang diadakan di Kuala Lumpur Golf & Country Club (KLGCC) Bukit Kiara, baru-baru ini.

Turut hadir Penaung YOC, Sultanah Pahang, Sultanah Kalsom dan Pengerusi YOC, Tan Sri Faizah Tahir.

FAIZAH berucap sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-15 YOC.
FAIZAH berucap sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-15 YOC.

Pada masa sama, Dr Sofea Nur Ain berkata, sejak kecil hingga sekarang, Putri Nur Balqis seorang anak yang menyenangkan, rajin menjaga adik-adik dan membesar menjadi seorang pelajar pintar.

"Dia (Putri Nur Balqis) murid cemerlang darjah enam ketika di sekolah rendah, disenangi guru serta pemimpin di sekolah yang dilantik sebagai ketua pengawas," katanya.

Menurut Dr Sofea Nur Ain, beliau sentiasa mendoakan yang terbaik buat anaknya dan tercapai cita-cita serta menyokong setiap bidang diceburinya.

Jelasnya, beliau berterus terang status Putri Nur Balqis sebagai anak angkat pada usianya lima tahun.

"Putri Nur Balqis seorang anak yang matang dan dia menerima berita itu dengan baik. Buat masa ini saya tiada perancangan menemukan anak kepada ibu kandungnya.

"Saya ada perancangan menemukan mereka apabila Putri Nur Balqis berusia lebih 18 tahun kelak. Buat masa ini, biarlah anaknya menumpukan perhatian terhadap pelajaran," katanya.

SULTANAH Kalsom (empat dari kanan) hadir pada Sambutan Ulang Tahun Ke-15 YOC.
SULTANAH Kalsom (empat dari kanan) hadir pada Sambutan Ulang Tahun Ke-15 YOC.

Sementara itu Putri Nur Balqis berkata, dia masih ingat saat ibunya berterus-terang berkenaan perkara itu dan tidak dinafikan agak terkejut. Bagaimanapun dia memilih membiarkannya dan menjalani kehidupan seperti biasa.

"Cita-cita utama saya mahu menjadi peguam kerana tertarik dan kagum dengan cara pengamal undang-undang itu menguruskan kes seperti dilihat dalam filem.

"Sekiranya tiada rezeki dalam bidang berkenaan, pilihan kedua mengikut jejak langkah mama sebagai doktor perubatan," katanya.

Selain itu, YOC memberi bantuan persekolahan kepada sebuah keluarga golongan B40, Fajilah Zulkapli, 36, dari Bangi, Selangor.

Ibu kepada tiga cahaya mata, Fajilah Zulkapli, 36, berkata, bantuan berkenaan berupa bayaran yuran bulanan dan tahunan tabika swasta untuk anak keduanya sebanyaK RM260 sebulan selama dua tahun.

Katanya, anaknya terpaksa ke sekolah tabika swasta kerana kuota tabika kerajaan yang berhampiran kediamannya sudah penuh.

"Sebelum ini kami boleh bayar yuran berkenaan tetapi diuji masalah kewangan selepas saya jatuh sakit.

"Tidak terhenti di situ, suami pula diberhentikan kerja kerana mengambil banyak cuti menguruskan saya," katanya.

Falijah berkata, bantuan itu sangat bermakna kerana anaknya dapat meneruskan persekolahan.

"Sebelum sakit, saya ada mengusahakan taska tetapi terpaksa ditutup selepas diserang angin ahmar pada 2017. Ujian bertimpa apabila kaki kiri dipotong kerana penyakit kencing manis pada 2021.

"Selain itu turut mempunyai penyakit darah tinggi juga masalah kolesterol," katanya.

DR Sofea Nur Ain (duduk, tengah) bersama suami, dua anak angkat dan seorang anak kandungnya.
DR Sofea Nur Ain (duduk, tengah) bersama suami, dua anak angkat dan seorang anak kandungnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Disember 2023 @ 8:19 AM