FIFFY Natasya bersama anak buahnya, Nur'Arieana Mikayla yang mengenakan busana sedondon.
FIFFY Natasya bersama anak buahnya, Nur'Arieana Mikayla yang mengenakan busana sedondon.
SYASYA bersama Fiffy Natasya dan Nur'Arieana Mikayla dengan potongan baju dihasilkan.
SYASYA bersama Fiffy Natasya dan Nur'Arieana Mikayla dengan potongan baju dihasilkan.
Nurul Husna Mahmud


MANTEL atau jubah labuh seperti digayakan kebanyakan adiwira barat antaranya Batman atau Superman dilihat sebagai aksesori unik dalam memberi nilai tambah kepada 'seragamnya' itu.

Bagaimana penggunaan sama diaplikasikan pada rekaan busana tradisi atau gaya wanita?

Itu keunikan boleh dilihat dalam rekaan terbaru busana Fiffysyasya Collection apabila perincian itu ditonjolkan dalam setiap koleksi busananya.

Pengasas bersama butik dalam talian itu, Nur Ain Syaffiqa Suhaimi, dia dan adiknya, Fiffy Natasya, melihat rekaan busana dengan menonjolkan elemen mantel sebagai latar utama selain memberikan visual menarik pada busana wanita.

"Sejak saya dan adik terbabit dalam penghasilan baju untuk majlis serta pertandingan, konsep kami terarah kepada potongan 'butterfly.'

"Rekaan ini berdasarkan permintaan pelanggan dan ia sudah menjadi identiti dalam setiap rekaan busana dihasilkan.

"Malah rekaan 'butterfly' atau potongan seperti kepak rama-rama ini akan ada pada setiap baju dihasilkan. Ia merujuk kepada kain tambahan luar seperti jubah yang melapisi fabrik utama.

"Menariknya perincian rekaan 'butterfly' ini diwujudkan dalam pelbagai variasi pilihan perinciannya termasuklah 'dripping' (jatuhan) kain atau kelim jahitan membuatkan ia berlainan dalam setiap rekaan," katanya.

Nurul Ain Syaffiqa lebih mesra disapa Syasya turut berkata, rekaan potongan itu menggunakan material sifon yang membuatkan perincian itu tampak beralun dan terletak cantik pada badan.

"Dalam rekaan 'butterfly' ini saya dan adik gemar menggunakan fabrik sifon kerana jatuhan kain cantik dan memberi efek 'ringan' seperti mana kepak rama-rama.

"Sifon juga kain cukup selesa apabila digunakan untuk lapisan tambahan dan tidak terlalu panas apabila dipadan dengan material lain sebagai dasar baju.

"Penggunaan fabrik ini juga sangat membantu apabila ada perincian tambahan iaitu sulam dan jahitan manik.

REKAAN 'butterfly' sedondon boleh digayakan oleh ibu dan anak.
REKAAN 'butterfly' sedondon boleh digayakan oleh ibu dan anak.

"Memang sebaik dikenakan pada tubuh, pemakainya kelihatan disaluti busana glamor dan elegan," katanya.

Sementara itu, Fiffy Natsha yang juga model sambilan melihat konsep itu turut memenuhi permintaan pemakai yang mahu ketrampilan patuh Shariah.

"Satu lagi gaya ini menjadi pilihan terutama wanita berhijab kerana ada jatuhan kain menutupi dada.

"Kalau mereka mahu mengenakan gaya hijab ala turban atau tudung singkat, ada ekstra kain pada baju menutupi dada.

"Begitu juga dalam kes mereka yang mahu busana yang mesra untuk ibu menyusu badan, konsep 'butterfly' antara rekaan busana yang kami sarankan kepada golongan ini.

"Sebenarnya kami terdorong untuk hasilkan rekaan ini kerana ia praktikal bagi semua keperluan wanita. Mereka mahu rekaan glamor tetapi cukup praktikal untuk sebarang keadaan dan situasi," katanya yang juga ibu kepada dua cahaya mata itu.

Tidak hanya wanita, gaya itu popular untuk busana sedondon pada ibu dan anak.

"Kanak-kanak perempuan tampak sangat comel dalam persalinan bersama ibu apabila menggunakan rekaan 'butterfly.'

"Cabaran kami semestinya ekstra bagi rekaan kanak-kanak. Ia disebabkan potongan kain lebih kecil dan perlu ringkaskan rekaan itu sesuai dengan imej keanak-anakan.

PERINCIAN kanak-kanak menggunakan manik hiasan tidak merbahaya.
PERINCIAN kanak-kanak menggunakan manik hiasan tidak merbahaya.

"Satu lagi aspek perlu diteliti dalam rekaan kanak-kanak, kami memilih manik yang lebih mesra dengan kanak-kanak.

"Untuk perincian jahitan manik, kami tidak mengenakan batu hiasan yang tajam dan boleh mencederakan kanak-kanak.

"Ini satu tanggungjawab pereka apabila menghasilkan baju untuk dipakai ibu dan anak, perlu ambil kira aspek keselamatan pemakainya sekali," katanya.

Menyentuh kepada relevan untuk wanita masa kini menempah baju berbanding membeli pakaian siap, kata Fiffy Natasya, keselesaan dan sentuhan peribadi menjadikan ramai sanggup membelanjakan wang untuk tujuan itu.

"Golongan yang gemar memperuntukkan wang untuk menempah baju ialah si ibu yang mahu tampil sedondon dengan anak mereka.

"Mungkin ramai terfikir itu membazir tetapi satu sudut lain, ibu berasa ketika anak mereka masih kecil untuk melaram bersama itulah kenangan bernilai mereka.

"Saya dahulu pun dengan ibu, Faridah Mohd Zain, 53, banyak kenangan apabila bercerita mengenai koleksi baju zaman kanak-kanak saya.

"Hari ini apabila tampil menggayakan koleksi ini dengan anak buah sendiri, Nur'Arieana Mikayla Noor Azwan, 8, ia juga menjadi kenangan istimewa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Februari 2024 @ 6:20 AM