INTERAKSI ibu bapa dan bayi penting untuk membentuk masa depan si kecil
INTERAKSI ibu bapa dan bayi penting untuk membentuk masa depan si kecil
Yusliza Yakimir Abd Talib

Jarang kita mendengar kesihatan mental bayi diperkatakan umum secara meluas berbanding isu berkaitan mental dalam kalangan orang dewasa yang selalunya lebih diberi tumpuan.

Mungkin ramai antara kita tidak menyangka atau tidak pernah tahu bayi yang masih kecil dan belum berdepan cabaran hidup juga boleh mengalami masalah kesihatan mental.

Tidak kurang juga ada ibu bapa yang tidak menganggap ia sebagai perkara serius hanya kerana ia jarang dibincangkan atau didedahkan. Ramai yang hanya mula bimbang apabila anak tidak menunjukkan perkembangan normal seperti bayi lain. Namun begitu, ada kalanya ia lambat disedari lantaran kesibukan ibu bapa mencari rezeki.

Kesihatan mental bayi adalah satu tahap perkembangan yang optimum dalam pertumbuhan dan perkembangan mereka. Ia merangkumi aspek sosial, emosi, tingkah laku, spiritual dan perkembangan kognitif bayi dalam konteks perhubungannya dengan ibu bapa serta penjaga mereka.

Namun pada hakikatnya, kesihatan mental bayi adalah berkaitan perkembangan dan pembangunan serta kesejahteraan sosial dan emosi mereka.

Aspek sosial dan emosi adalah komponen paling penting dalam peringkat perkembangan pada tahap ini dan akan memberi kesan yang khusus kepada kesihatan mental mereka terutama apabila dewasa kelak.

Pencegahan masalah kesihatan mental perlulah bermula dari peringkat awal iaitu seawal usia bayi. Ia sangat penting untuk ibu bapa berinteraksi bersama bayi dan memastikan persekitaran mereka sentiasa ceria.

Pakar Psikologi Klinikal di KIN & KiDS Jessie Foo berkata, banyak kajian sudah menunjukkan kaitan antara ikatan ibu-anak yang penuh kasih sayang dan perkembangan sihat emosi, sosial serta kognitif anak, terutama ketika dua tahun pertama kehidupannya

Oleh itu, katanya, persekitaran selamat, stabil dan penuh kasih sayang yang dibentuk sejak kecil akan banyak membantu dalam membentuk masa depan si kecil anda dan membuka peluang untuk kejayaan kemudian dalam hidup.

“Tekanan pada peringkat bayi dan permulaan zaman kanak-kanak boleh meninggalkan kesan jangka panjang pada pembesaran anak sehingga mereka dewasa.

“Fasa bayi dan kanak-kanak adalah peringkat yang amat penting dalam proses kehidupan seseorang. Tahap perkembangan kesihatan pada peringkat itu perlu sentiasa dipelihara kerana ia adalah permulaan kepada kehidupan semasa dewasa kelak,” katanya pada sesi interaksi bersama ibu bapa sempena Hari Bayi Tollyjoy 2018 anjuran Tollyjoy Corporation dengan kerjasama OrphanCARE Foundation baru-baru ini.

MENJAGA kesihatan mental seawal usia bayi penting bagi membina jati diri.
MENJAGA kesihatan mental seawal usia bayi penting bagi membina jati diri.

Menurutnya, menjaga kesihatan mental bayi sama penting dengan kesihatan fizikal mereka kerana ia dapat membantu dalam mengawal tekanan dan emosi malah memberi kesan kepada perkembangan kognitif.

Katanya, kesihatan mental terbaik buat si manja juga dapat mengelakkan keupayaan bayi untuk membentuk hubungan yang sihat dengan orang lain terjejas.

Ia turut mempengaruhi pembangunan nilai diri dan keyakinan diri si manja apabila meningkat usia kanak-kanak dan remaja sekali gus menjadikan diri mereka mampu berdaya saing dan berkeyakinan tinggi dalam menghadapi apa jua keadaan.

Bagaimanapun, katanya, kesan kesihatan mental bayi yang kurang baik dapat menjejaskan ibu bapa dan bayi itu pada peringkat permulaan lagi dan jika tidak ditangani mungkin menjejaskan keseluruhan institusi kekeluargaan itu sendiri.

“Kesihatan mental bayi yang lemah boleh berlaku disebabkan faktor ibu bapa yang mungkin terjadi atas pelbagai sebab. Antaranya, ibu bapa yang menjadi mangsa dera ketika kanak-kanak, masalah kesihatan mental, masalah penyalahgunaan dadah atau ketagihan arak, masalah hubungan mahupun kekurangan sokongan sosial daripada orang sekeliling.

“Bagi bayi dan kanak-kanak pula mungkin disebabkan masalah tidur atau kesukaran menyusu dan makan selain masalah kesihatan fizikal hingga menjejaskan kesihatan mental mereka.

“Selain itu, ikatan yang kurang baik antara ibu dan anak atau pengabaian disebabkan masalah kesihatan ibu seperti meroyan juga boleh memberi kesan serius terhadap kesihatan mental bayi,” katanya.

Oleh itu, katanya, ibu bapa memainkan peranan dalam membentuk kesihatan mental yang baik buat bayi. Antara perkara yang boleh dilakukan termasuk memperuntukkan masa untuk berhubung dan berkomunikasi dengan bayi menerusi sentuhan, senyuman, bercakap, menyanyi atau urutan lembut.

Selain itu, Jessie berkata, ibu bapa perlu mengambil masa untuk memahami tingkah laku dan tabiat bayi dan memberi respons terhadap keperluan mereka.

Katanya, ibu bapa perlu sentiasa ada di saat anak ketakutan, marah atau sakit dengan memberi keselesaan dan yakinkan bahawa mereka selamat.

“Ibu bapa juga perlu sentiasa mendampingi anak dan memupuk hubungan positif, membina rutin harian, stabil dan konsisten sama ada penjagaan di rumah mahupun di pusat penjagaan.

“Tidak kurang penting agar anda menjaga kesihatan sendiri dalam usaha membentuk kesihatan mental yang baik bayi anda selain mewujudkan model hubungan yang baik dan cara sihat untuk menguruskan konflik,” katanya.

JESSIE ketika memberi taklimat berkaitan penjagaan kesihatan mental bayi.
JESSIE ketika memberi taklimat berkaitan penjagaan kesihatan mental bayi.

Tanda perhubungan awal yang tidak sihat bayi

• Susah hati, penolakan dan perasaan tidak gembira

• Murung, bermasalah makan dan tidur

• Masalah tingkah laku seperti bergerak ke depan dan ke belakang untuk cuba menenangkan diri.

- Mencari perhatian orang seperti meminta pelukan daripada sesiapa yang dapat memberi mereka perhatian.

- Mudah marah ,menjadi agresif dan ganas tanpa sebarang provokasi. Sukar dipujuk.

Tingkah laku yang menunjukkan masalah kesihatan mental

Kanak-kanak kecil peringkat bayi dan kanak-kanak

• Menunjukkan emosi yang mendatar

• Tidak menunjukkan minat pada apa yang dilihat, didengar dan dirasa

• Menolak apabila didampingi atau tidak membenarkan diri disentuh atau tidak suka bermain dengan rakan

• Sukar dipujuk

• Sukar ditenangkan

• Ketakutan atau sentiasa berjaga-jaga

• Tidak memohon pertolongan untuk ditenangkan daripada orang dewasa yang dikenali

• Menunjukkan perubahan tingkah laku yang mendadak

Cara memelihara perkembangan sihat sosial-emosional kanak-kanak

• Pelihara mereka dengan baik

• Bergembira - senyum dan ketawa

• Bentuk persekitaran yang saling mempercayai

• Pelihara mereka dalam persekitaran yang stabil dan konsisten di rumah dan di tempat jagaan kanak-kanak

• Fahami dan bertindak balas terhadap tanda stres

• Sayangi mereka sepenuhnya.

• Pujuk apabila mereka takut, marah dan disakiti.

• Siapkan rutin seharian untuk mempromosi perasaan selamat dan bantu mereka memahami apa yang anda harapkan daripada mereka.

• Pelajari tahap perkembangan dan punyai pengharapan yang wajar.

• Turuti dan model perhubungan yang baik dan pelajari cara sihat untuk menangani konflik.

• Kenal pasti tanda awal masalah sosial-emosi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Oktober 2018 @ 3:49 PM