SAKIT gigi berpunca daripada masalah kaviti.
SAKIT gigi berpunca daripada masalah kaviti.
Nurul Husna Mahmud


GIGI berlubang atau dikenali sebagai kaviti berlaku apabila asid dan bakteria menembusi enamel serta memakan tisu halus di dalam gigi.

Keadaan gigi berlubang jugalah menyebabkan saraf terdedah dan menjadikan pesakit lebih sensitif kepada kesakitan.

Selain masalah kaviti, jangkitan sinus juga boleh mengundang rasa sakit gigi pada sesetengah orang.

Gejala yang berlaku bermula dengan jangkitan mengalir daripada kepala dan tekanan akibat jangkitan itu dirasa lebih menyakitkan pada waktu malam.

Salah satu sebab pesakit rasa sakit gigi lebih teruk pada sebelah malam berkemungkinan posisi pesakit sedang berbaring dan darah 'menyerbu' ke kepala.

CENGKIH antara rempah ratus boleh menjadi penawar melegakan kesakitan gigi.
CENGKIH antara rempah ratus boleh menjadi penawar melegakan kesakitan gigi.

Darah tambahan di kawasan terbabit meningkatkan kesakitan dan tekanan berbanding posisi pesakit sedang duduk atau berdiri.

Faktor lain menjadi punca pesakit gigi lebih sensitif dan teruk pada sebelah malam kerana tiada gangguan lain menyebabkan pesakit lebih tertumpu kepada sakit gigi.

Bagi menangani masalah itu untuk jangka masa pendek, terdapat petua boleh diamalkan bagi melegakan kesakitan.

Namun perlu dinasihati, petua terbabit hanya untuk menguruskan kesakitan ringan dan bersifat sementara sahaja. Sebaiknya segera temui doktor gigi dan dapatkan rawatan sewajarnya.

Berikut beberapa tip boleh diamalkan untuk legakan rasa sakit gigi yang berlaku di tengah malam:

KUMUR dengan air garam penyelesaian klasik.
KUMUR dengan air garam penyelesaian klasik.

1.Berkumur dengan air garam

Petua kumur garam ketika sakit adalah penyelesaian klasik. Tetapi petua ini dikatakan penyelesaian paling mudah dan berkesan ketika berada di rumah.

Hanya larutkan garam dalam air dan boleh berkumur beberapa kali untuk kesan lebih baik.

Garam memiliki banyak manfaat dan salah satunya adalah ejen antibakteria alami yang dijangka dapat membantu menangani jangkitan serta mengekang bakteria merebak.

Selain itu, berkumur dengan air garam dapat membersihkan sisa makanan yang melekat pada gigi dan gusi.

TUAM sejuk mengecutkan saluran darah di kawasan gigi sakit.
TUAM sejuk mengecutkan saluran darah di kawasan gigi sakit.

2.Tuam bahagian gigi sakit dengan tuala sejuk atau ais

Kaedah ini dikatakan berkesan apabila saluran darah di kawasan gigi yang sakit mengecut.

Tuam di tempat gigi sakit atau membengkak selama 20 minit. Elak gunakan kaedah ini di tempat tidur kerana boleh menyebabkan baju tilam atau bantal lencun.

3.Penggunaan uncang teh pudina

Lakukan persiapan dengan meletakkan uncang teh pudina dalam peti beku untuk beberapa minit.

Keluarkan uncang teh tadi dan tuamkan di tempat gigi yang sakit. Kaedah ini lebih sesuai untuk mereka yang mudah rasa 'ngilu' menggunakan ais ketika tuam bahagian gigi sakit.

4.Penggunaan bawang putih

Khasiat bawang putih disokong kajian sains dan moden terutama dalam konteks kesihatan oral. Dikatakan bawang putih boleh membantu meredakan kesakitan gigi.

Ia mempunyai sifat antibakteria yang baik dan membantu mengelakkan pembentukan plak gigi.

Kaedahnya adalah tumbuk bawang putih campurkan dengan garam dan sapukan pada kawasan yang sakit. Jika pesakit mahu pendekatan lebih ekstrem, kunyah bawang putih mentah-mentah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Februari 2023 @ 6:50 AM