RAWATAN pendakap gigi untuk melurus dan menyusun gigi. - FOTO Google
RAWATAN pendakap gigi untuk melurus dan menyusun gigi. - FOTO Google
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


RAWATAN pendakap gigi yang dikenali sebagai rawatan 'braces' atau ortodontik adalah rawatan pergigian sangat popular.

Fungsinya untuk melurus dan menyusun gigi yang tidak berada di tempat sepatutnya bagi mendapatkan barisan gigi tersusun cantik pada arca rahang.

Ia dilakukan bagi membolehkan pesakit makan dan bertutur dengan baik serta berkeyakinan untuk memberikan senyuman, sekali gus menyumbang kepada peningkatan kualiti hidup.

Pensyarah Ortodontik, Pusat Pengajian Sains Pergigian, Universiti Sains Malaysia (USM) Dr Umi Mardhiyyah Mat Ali berkata, rawatan ini biasanya dilakukan sama ada menggunakan aplians tetap atau aplians boleh tanggal.

"Namun, ia bukanlah dikategorikan sebagai rawatan kecemasan, tetapi disenaraikan sebagai rawatan estetik dan elektif.

"Ini menyebabkan janji temu pesakit yang menerima rawatan pendakap gigi terpaksa dihadkan semasa kes jangkitan Covid-19 memuncak," katanya.

Beliau berkata, rawatan pendakap gigi kebiasaannya mengambil masa lebih kurang 18 hingga 30 bulan untuk selesai.

Katanya, ia bergantung kepada keadaan gigi pesakit dan juga disiplin pesakit dalam menepati jadual rawatan susulan.

"Kebiasaannya, pesakit perlu datang ke klinik gigi sebulan sekali untuk rawatan susulan.

"Namun, disebabkan oleh kekangan pandemik Covid-19, rutin rawatan untuk pesakit yang memakai pendakap gigi terjejas.

"Maka, tidaklah mustahil sekiranya pesakit mengalami masalah berkaitan dengan pendakap gigi semasa dalam tempoh itu," katanya.

Dr Umi Mardhiyyah berkata, terdapat beberapa komplikasi yang mungkin berlaku dalam kalangan pesakit memakai pendakap gigi.

SEBULAN sekali ke klinik untuk rawatan susulan. - FOTO Google
SEBULAN sekali ke klinik untuk rawatan susulan. - FOTO Google

"Antara komplikasi sering dilaporkan adalah alat pendakap gigi tercabut, pendakap gigi patah, wayar tercucuk ke dalam gusi, bibir dan/atau pipi yang boleh menyebabkan kerengsaan serta pedih.

"Keadaan ini boleh menimbulkan rasa tak selesa kepada pesakit malahan boleh menyebabkan kesakitan dan keresahan yang berpanjangan jika tidak dirawat dengan segera.

"Perkara pertama yang perlu dititikberatkan dalam menangani komplikasi pendakap gigi semasa pandemik Covid-19 ialah pesakit mestilah menghubungi klinik berkaitan atau berdekatan bagi melaporkan masalah dihadapi," katanya.

Beliau berkata, ini bagi mengenal pasti sama ada ia kes kecemasan sebenar yang perlu ditangani dengan segera atau sebaliknya.

"Sebelum mereka dibenarkan datang ke klinik untuk pemeriksaan lanjut, kaedah secara maya menggunakan foto, video dan panggilan video boleh dipertimbangkan bagi menilai masalah yang dilaporkan.

"Susulan konsultasi itu, arahan untuk menangani masalah yang dihadapi boleh diberikan kepada pesakit secara maya," katanya.

Sementara itu, Pensyarah Prostodontik, Pusat Pengajian Sains Pergigian USM Prof Madya Dr Norhayati Luddin berkata, sebagai contoh, jika wayar braces didapati tajam sehingga mencucuk pipi dalam atau mukosa lembut, lilin braces boleh digunakan untuk diletakkan pada hujung wayar yang tajam itu buat sementara waktu.

Katanya, sekiranya pesakit tidak mempunyai bekalan lilin braces di rumah, pesakit boleh membelinya di klinik pergigian swasta atau secara dalam talian.

"Ada juga saranan untuk pesakit memotong sendiri wayar itu menggunakan penyepit kuku.

"Namun, perkara ini mestilah dilakukan dengan bimbingan daripada pakar untuk menghalang daripada berlakunya sebarang kecederaan.

"Ia juga bagi mengelakkan sebarang risiko undang-undang diambil sekiranya pengurusan kepada masalah yang dilaporkan tidak dilakukan sebagaimana sepatutnya," katanya.

Dr Norhayati berkata, sekiranya ada pesakit menggunakan aplians yang memerlukan pengaktifan sendiri di rumah, disarankan agar prosedur ini dihentikan buat sementara waktu.

GOSOK gigi dua kali sehari menggunakan ubat gigi berflorida. - FOTO Google
GOSOK gigi dua kali sehari menggunakan ubat gigi berflorida. - FOTO Google

"Selain itu, amalan penjagaan kebersihan gigi dan mulut hendaklah dilakukan dengan sempurna bagi mengelak berlaku komplikasi berkaitan pendakap gigi terutama pada musim pandemik ini.

"Ini kerana pendakap gigi boleh memerangkap sisa makanan dan mengumpulkan plak sekiranya kebersihan mulut tidak dijaga dengan baik.

"Oleh itu, pesakit disarankan memberus gigi dua kali sehari menggunakan ubat gigi berflourida dan berus gigi khas untuk pendakap gigi," katanya.

Menurutnya, pesakit juga dinasihati menggunakan flos dan ubat kumur sebagai rutin pembersihan harian bagi mengelak risiko berlaku masalah lain seperti kerosakan gigi (gigi berlubang), gusi menjadi merah, bengkak serta berdarah.

"Pada masa sama, pesakit tidak digalakkan makan makanan melekit kerana dikhuatiri melekat pada pendakap gigi dan susah untuk dibersihkan.

"Mereka juga dinasihati mengelak daripada makan makanan keras dan kenyal yang boleh menyebabkan pendakap gigi tertanggal, dawai patah, gigi menjadi trauma serta sakit.

"Penjagaan pendakap gigi mestilah dilakukan dengan betul dan sebaik-baiknya oleh pesakit terutama pada musim pandemik Covid-19," katanya.

Jelasnya, ini bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini terjadi seterusnya menyebabkan berlaku kes kecemasan pendakap gigi.

Selain itu, katanya, kaedah pencegahan perlu dititikberatkan oleh pesakit bagi mengelakkan sebarang komplikasi berlaku pada pendakap gigi dan untuk mengelakkannya daripada berulang pada masa akan datang.

"Ini bagi memastikan pergerakan pesakit keluar dari rumah untuk mendapatkan rawatan dapat dikurangkan.

"Di samping itu, pesakit hanya perlu datang ke klinik gigi pada masa yang ditetapkan sahaja sebagai langkah kawalan dan pencegahan jangkitan virus Covid-19," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Disember 2021 @ 7:00 AM