TIDUR dengan lampu terbuka menyebabkan gangguan tidur.
TIDUR dengan lampu terbuka menyebabkan gangguan tidur.
Oleh Nurul Husna Mahmud


TIDUR penting kerana ia berfungsi memulih sistem badan dalam 'mode' rehat supaya dapat segar dan aktif pada keesokan hari.

Bukan sahaja aspek fizikal, tidur juga membantu dalam elemen lain termasuk mental dan emosi. Tidak mendapat tidur mencukupi atau berkualiti boleh menjejaskan fungsi harian termasuk 'mood' yang akhirnya memberi kesan kepada kualiti hidup termasuk sosial iaitu hubungan dengan orang tersayang.

Dalam mendapat tidur baik, terdapat tiga kepercayaan diamalkan baik dalam masyarakat kita mahupun global:

BAWANG putih ada kesan untuk bantu tidur dengan tenang berdasarkan petua kuno.
BAWANG putih ada kesan untuk bantu tidur dengan tenang berdasarkan petua kuno.

1. Tidur dengan meletakkan bawang putih di bawah bantal

Kita sedia maklum bawang putih banyak digunakan dalam perubatan tradisional untuk merawat penyakit berkaitan selesema, batuk dan tekanan darah. Kandungan bahan masakan itu kaya dengan elemen antibakteria mampu menguatkan keseluruhan sistem imun secara umum.

Namun terdapat kepercayaan iaitu mengamalkan tidur bersama bawang putih dengan meletakkan di bawah bantal setiap malam dapat membantu tidur dengan lena. Ini kerana tamadun kuno sangat percaya bahawa bawang putih mengandungi sifat ajaib, yang menakutkan roh jahat dan membantu menarik tenaga yang baik ke alam sekitar.

Meskipun tiada kajian, namun rata-rata tinjauan di internet mengenai individu pernah mencuba petua itu mengatakan ia berhasil.

2. Tidur dengan sabun diletakkan di bawah bantal

Tidur terganggu apabila mengalami kekejangan kaki di tengah malam. Senario atau gejala itu dinamakan Restless Leg Syndromes (RLS) dan ada petua mengatakan dengan meletakkan sabun di bawah bantal boleh membantu menikmati tidur lena hingga ke pagi.

Meskipun tiada penemuan mengenai perkaitan sabun dan gejala RLS, namun pakar perubatan dan juga selebriti televisyen Dr Mehmet Oz pernah menyarankan supaya meletakkan ketulan sabun lavender bawah cadar untuk kurangkan kesan RLS berdasarkan hipotesis aroma bunga itu menenangkan.

CUCI kaki bantu badan lebih tenang dan sedia untuk tidur.
CUCI kaki bantu badan lebih tenang dan sedia untuk tidur.

3. Basuh kaki sebelum tidur untuk elak mimpi buruk

Ini antara perkara sering diingatkan kalangan ibu kepada anak-anak sebelum tidur supaya mencuci kaki. Berdasarkan kepercayaan orang dulu itu boleh mengelak daripada mengalami mimpi buruk.

Dari segi mudahnya, ia berkait dengan rasa bersih dan memberi ketenangan kepada anak itu sendiri untuk tidur dengan lebih lena. Dalam kata lain untuk tingkatkan kesan itu, sebaiknya lakukan rendaman air garam yang suam agar memberi kesan relaks sebelum tidur.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Ogos 2020 @ 6:20 AM