CARA terbaik dapat bekalan tenaga dengan cepat.
CARA terbaik dapat bekalan tenaga dengan cepat.
Oleh Dr Zawiah Hashim dan Dr Chin Yit Siew

(Persatuan Kajian Obesiti Malaysia)

Tidak menghairankan sarapan adalah hidangan paling penting setiap hari. Malah, bersarapan satu tabiat yang baik untuk dipupuk sekiranya anda ingin membawa perubahan kesihatan yang positif dalam kehidupan anda. Sarapan yang berkhasiat memberi banyak kebaikan kepada kesihatan jangka panjang seperti mengurangkan risiko obesiti, tekanan darah tinggi, penyakit jantung dan diabetes.

Kajian menunjukkan sarapan berkhasiat penting untuk semua orang terutama kanak-kanak memandangkan sarapan membantu memberi fokus serta penumpuan yang baik bagi mereka mencapai kejayaan dalam bidang akademik.

Faedah bersarapan

Selepas tidur semalaman, sarapan mengisi semula bekalan tenaga dan nutrien penting kepada badan. Ini meningkatkan tenaga dan metabolisma anda untuk memulakan hari yang aktif.

Keadaan ini lebih buat kanak-kanak memandang­kan tubuh mereka terus membesar ketika mereka tidur dan kebanyakan tenaga digunakan apabila mereka bangun dari tidur. Sarapan adalah cara terbaik bagi mereka mendapatkan bekalan tenaga dengan cepat dan pada masa sama, menyumbang kepada peningkatn pengambilan nutrien penting.

Bagi pelajar pula, mening­galkan sarapan mungkin bermakna mereka tidak dapat memberi tumpuan baik bagi pembelajaran. Memandangkan daya tumpuan dan perhatian penting di dalam kelas, memastikan anda mendapat sarapan yang sempurna bermakna tahap kecerdasan akan meningkat.

Selain itu, mengambil sarapan juga membantu anda mengurangkan pe­ngambilan snek dan makan secara berlebihan pada waktu makan seterusnya.

Mencari masa untuk sarapan

Masalah paling lazim dihadapi kebanyakan orang pada waktu pagi ialah kesuntukan masa. Namun, jangan biarkan keadaan ini menghalang anda daripada mengambil sarapan berkhasiat.

Perancangan awal sememangnya penting. Luang­kan sedikit masa untuk memastikan semua bahan sarapan disenaraikan sebelum pergi membeli-belah dan ini membantu memastikan dapur anda sentiasa mempunyai bekalan ramuan untuk menyediakan sarapan dengan cepat.

Contoh sarapan berkhasiat yang cepat dan mudah termasuk kombinasi sarapan bijirin penuh atau oat, susu, yogurt atau susu kacang soya/minuman malta, roti mil penuh, pau, telur atau buah-buahan segar seperti pisang dan epal.

Terdapat pelbagai jenis resipi yang anda boleh cuba menggunakan jenis makanan yang dinyatakan tadi. Anda juga boleh ­membungkus makanan terbabit dan membawanya bersama anda apabila keluar rumah.

Lakukan persediaan awal

Jika inginkan sarapan yang lebih istimewa, anda boleh mula menyediakannya pada sebelah malam. De­ngan sedikit peranca­ngan dan penyediaan awal, anda boleh menyiapkan semua ramuan untuk menyediakan sarapan yang hebat pada keesokan pagi.

Sebagai contoh, anda boleh menyediakan sandwic berkhaisat menggunakan roti mil penuh, hirisan sayur contohnya daun salad, bawang atau tomato, hirisan telur rebus, hirisan daging ayam yang sudah dimasak, dan keju .

Setelah anda menyediakan sandwic terbabit, simpan di dalam peti sejuk. Anda boleh mengambilnya pada waktu pagi dan tambahkan perasa contohnya mayonis, mustard atau sos cili sebelum anda keluar rumah.

Jika anda gemarkan sandwic panas, masukkan saja ke dalam ketuhar gelombang mikro untuk beberapa minit. Sekiranaya anda ingin menikmati sarapan yang lebih tradisional, anda boleh memilih roti bakar, telur rebus atau pau kukus.

Anda juga boleh membuat sendiri nasi lemak versi yang lebih sihat untuk sarapan pada hujung minggu.

Satu lagi cara untuk mengadakan masa bagi sarapan adalah dengan memasak lebih banyak pada hari sebelumnya. Dengan ini, anda boleh membungkus makanan itu terlebih dulu supaya senang disediakan dan dimakan pada hari berikutnya.

Anda hanya perlu meluangkan beberapa minit untuk memanaskan semula makanan terbabit. Makanan yang tidak dapat dihabiskan pada hidangan terdahulu juga boleh disimpan dalam peti sejuk dan diubah suai untuk sarapan.

Selain itu, anda boleh memilih untuk membawa bekal buah dan yogurt atau bungkusan minuman berkhasiat seperti susu, susu kacang soya dan minuman bermalta sebagai sarapan dalam perjalanan.

Dengan cara ini, sarapan anda tersedia dalam peti sejuk dan anda tidak perlu bimbang tertinggal sarapan atau terpaksa makan makanan tidak berkhasiat di luar.

Menunjukkan teladan yang baik

Jangan sekali-kali meninggalkan sarapan! Jika anda mempunyai kanak-kanak atau remaja dalam keluarga, ingatlah anda adalah contoh atau model peranan mereka. Jika anda sentiasa meninggalkan sarapan, anda memberi mesej kepada mereka sarapan tidak penting.

Demi memastikan mereka membentuk tabiat mengambil sarapan, anda juga harus berusaha untuk menunjukkan contoh yang baik.

Biarkan mereka melihat anda menikmati sarapan setiap pagi, walaupun makanan yang mudah dan asas seperti telur separuh masak dan secawan minuman berkhasiat seperti susu, minuman coklat bermalta atau jus buah segar. Sekiranya anda dapat membabitkan anak-anak dalam menyediakan sarapan sendiri, seluruh rutin sarapan akan menjadi lebih bermakna.

Artikel ini disumbang oleh Bulan Pemakanan Malaysia 2016, satu inisiatif program pendidikan pemakanan komuniti tahunan anjuran Persatuan Pemakanan Malaysia, Persatuan Dietetik Malaysia dan Persatuan Kajian Obesiti Malaysia. Nestle Products Sdn Bhd me­nyokong program Bulan Pemakanan Malaysia 2016.

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai pemakanan sihat dan gaya hidup aktif, sertai Food-Fit-Fun Fair Bulan Pemakanan Malaysia di Tingkat Bawah (GF), Centre Court Concourse, 1 Utama Shopping Centre pada Rabu hingga Ahad, 6 hingga 10 April 2016.

Layari www.nutritionmonthmalaysia.org.my atau Facebook Nutrition Month Malaysia untuk maklumat lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Mac 2016 @ 5:29 AM