PETUGAS Institut Kraf Negara, Siti Noorhaziah Maarop melakukan demonstrasi kraf sempena Simposium Tekstil Tradisional Asean ke-8 di Putrajaya. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
PETUGAS Institut Kraf Negara, Siti Noorhaziah Maarop melakukan demonstrasi kraf sempena Simposium Tekstil Tradisional Asean ke-8 di Putrajaya. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Muhamaad Razis Ismail

Putrajaya: Kajian terhadap tekstil Melayu perlu diperbanyakkan kerana ia penting terhadap sejarah Melayu.

Pengumpul busana tekstil Melayu, John Ang berkata, sehingga kini pengkaji sejarah tekstil masih kurang kerana ia dilihat kurang penting.

Katanya, kajian ini penting kerana tekstil mempunyai kaitan sejarah negara yang perlu dilihat secara menyeluruh.

"Melalui tekstil, ia dapat dikaitkan dengan pelbagai perkara termasuk adat dan budaya sejarah Melayu yang sebenarnya mempunyai kaitan dengan negara luar.

"Pada masa sama, kajian ini dapat membantu pereka muda untuk lebih menghargai warisan negara ini supaya tidak pupus ditelan zaman.

"Saya berharap lebih banyak kajian dan pendedahan dilakukan berkenaan tekstil Melayu kerana ia penting untuk sejarah negara," katanya ketika ditemui media.

Mengulas lanjut, John turut memberi contoh berkenaan asal usul ikat loseng yang terkenal di Pahang.

SALAH satu hasil seni tenunan yang dipamerkan dalam Simposium Tekstil Tradisional Asean ke-8 di Putrajaya.
SALAH satu hasil seni tenunan yang dipamerkan dalam Simposium Tekstil Tradisional Asean ke-8 di Putrajaya.

"Tiada siapa yang tahu mengenai asal usul tenunan ini. Saya fikir ia mungkin berasal dari negara Timur Tengah, Uzbekistan atau Turki yang menggunakan teknik sama. Tapi negara ini sangat jauh.

"Turki mempunyai kaitan dengan Aceh dan (pada masa sama) ramai orang Uzbekistan ke Aceh. Aceh dan Kelantan turut dikenali sebagai Serambi Makkah.

"Jadi kita dapat lihat banyak kemungkinan asal tenunan ini. Ia menarik untuk dikaji dan diharap lebih ramai akan membuat kajian lanjut," katanya

Terdahulu John mewakili Malaysia membentangkan kertas kerjanya bertajuk New Inroads in the Study Of Malay World Textiles dalam Simposium Tekstil Tradisional Asean Ke-8 di Hotel Marriot di sini semalam.

Menerusi tema Celebrating Textiles: A Journey, simposium yang dianjurkan Yayasan Tenun Pahang Diraja itu menghimpunkan penggiat seni tekstil, artisan dan penenun yang disertai lebih 300 peserta dari 13 negara Asean.

Sebanyak 19 kertas kerja akan dibentangkan oleh 13 negara termasuk Brunei, Kemboja, India, Indonesia, Kanada, Laos, Filipina, Myanmar, Singapura, Thailand dan Vietnam.

SEORANG peserta Simposium Tekstil Tradisional Asean ke-8 di Putrajaya melakukan demonstrasi kraf, semalam.
SEORANG peserta Simposium Tekstil Tradisional Asean ke-8 di Putrajaya melakukan demonstrasi kraf, semalam.

Malah, menerusi pameran khas yang disediakan orang ramai berpeluang melihat koleksi tenunan pakaian anakanda Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan koleksi tenun peribadi baginda, demonstrasi pembuatan kraf seperti Tenun Pahang Diraja, songket, siambitan dari Sabah, pua kumbu (Sarawak), anyaman mengkuang, ukiran kayu serta pelbagai jualan kraf.

Sementara itu, artis tekstil dari Belanda, Lynelle Barret, simposium ini memberi peluang untuk memperkenalkan benang yang dihasilkan dari serat nanas yang lebih mesra alam.

"Seperti yang kita ketahui benang serat daun nanas mampu menghasilkan tekstil berkualiti tinggi.

"Saya mengambil kesempatan berkongsi penerokaan tekstil benang gentian nanas untuk digunakan dalam kain tenunan tangan yang dicelup secara semula jadi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 September 2022 @ 8:19 AM