MENJADI jurufoto sukan ekstrem memerlukan keberanian.
MENJADI jurufoto sukan ekstrem memerlukan keberanian.
Hafiz Ithnin


"SAYA tidak pernah bercita-cita ingin menyertai sebarang pertandingan foto. Cukup dengan maklum balas positif mereka yang pernah berada di dalam lensa saya, ia menjadi satu kepuasan yang luar biasa," jelas lelaki berusia 46 tahun ini kepada penulis.

Pemilik nama Mohd Nizam Roba'i atau lebih mesra disapa Nizam Robai dalam kalangan peminat sukan lasak bukan satu nama asing.

Sentuhan kreatifnya dalam dunia fotografi membabitkan sukan lasak seperti larian denai ultra, multisport dan larian pergunungan serta berbasikal bukan asing dalam jiwa anak kelahiran Negeri Sembilan ini. Mula membabitkan diri dalam dunia fotografi sukan lasak pada 2007 dan ketika itu dia hanya menjadi jurufoto tidak rasmi dalam acara sukan terutama berbasikal.

Katanya, dia mendapat tawaran pertama menjadi jurufoto rasmi pada sekitar 2010 untuk acara berbasikal.

"Bermula 2010 juga saya mula membina jaringan dan mendapat kepercayaan banyak pihak untuk menjadi jurufoto rasmi dalam acara sukan lasak," katanya yang sudah menjadi jurufoto rasmi lebih 50 acara sukan lasak di Malaysia serta Indonesia.

Paling manis apabila dia mendapat tawaran menjadi jurufoto rasmi Persatuan Kembara Negara (PKN) pada tahun 2012 yang mendekatkan lagi jiwanya dengan aktiviti sukan ekstrem.

"Ia menjadi pengalaman paling menarik kerana saya dapat merasai pelbagai pengalaman yang di luar jangka kerana sebagai jurufoto sukan lasak, saya bukan sekadar mengambil gambar, tetapi perlu menjiwai dunia arena itu sendiri.

"Kalau kata peserta sedang berjuang untuk larian denai 160 kilometer (km), sebagai jurufoto saya boleh dianggap perlu mempunyai dua kali stamina daripada mereka kerana bukan sahaja berada di atas trek, tetapi memikul peralatan kamera. Malah perlu bergerak bukan hanya berada di satu lokasi sahaja," katanya.

ANTARA foto terbaik pernah dirakam Nizam.
ANTARA foto terbaik pernah dirakam Nizam.

Nizam berkata, dalam tempoh dia menceburi dunia jurufoto sukan lasak terdapat pelbagai pengalaman yang menarik termasuk perlu tergantung di atas jambatan berketinggian sekitar 10 meter untuk merakam situasi pelumba yang sebenar.

"Ketika itu, saya menjadi jurugambar rasmi dalam satu acara 'adventure race' di Malaysia, terdapat banyak pelumba dunia yang menyertainya.

"Jadi untuk mendapatkan gambar yang menarik saya menawarkan diri untuk tergantung di atas jambatan kerana antara disiplin pelumba perlu melakukan perlumbaan membabitkan aktiviti tali tinggi," katanya.

NIZAM menjiwai jurufoto sukan lasak.
NIZAM menjiwai jurufoto sukan lasak.

Katanya, antara pengalaman lain yang tidak dapat dilupakan ialah mengambil foto dalam acara Le Tour De Langkawi pada 2015 yang memerlukan dia menanti di lokasi selama sehari untuk mengambil gambar yang diperlukan hanya dalam beberapa saat sahaja.

Nizam berkata, menjadi jurufoto sukan ekstrem sememangnya mem

erlukan minat dan keberanian yang tinggi.

"Aktiviti sukan lasak ini membabitkan pelbagai disiplin seperti merentas gunung. Jika peserta bertanding esoknya, kami sebagai jurufoto perlu tiba sehari awal dan bermalam dalam keadaan yang sejuk di puncak.

 ANTARA hasil karya Nizam.
ANTARA hasil karya Nizam.

"Terjatuh di dalam lumpur bersama kamera atau ular melintas di depan mata sudah menjadi perkara biasa apabila berada di dalam dunia jurufoto sukan ekstrem," katanya.

Katanya, sebagai jurufoto sukan ekstrem dia gemar untuk mengabadikan detik kesukaran peserta melalui pengalaman perlumbaan.

"Saya biasanya akan menyorok supaya peserta tidak melihat kelibat saya di trek. Saya tidak gemar gambar peserta yang 'berdrama' tersenyum kerana ia tidak mencerminkan situasi yang sebenar," katanya.

Jelasnya, bermula sebagai jurufoto solo untuk sukan ekstrem, dia turut bertemu dengan rakan mempunyai minat yang sama iaitu Mohd Syuhairi Azizan yang menjadi rakan kongsinya sejak 2017.

NIZAM tergantung di jambatan untuk mengambil gambar.
NIZAM tergantung di jambatan untuk mengambil gambar.

"Mencari jurufoto biasa mudah, tetapi jurufoto sukan ekstrem tidak semudah itu. Mereka perlu mempunyai stamina dan mampu mengendalikan situasi di luar jangka yang akhirnya menghasilkan sebuah foto yang memukau," katanya mengakhiri perbualan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Ogos 2022 @ 7:00 AM