TUDUNG bawal yang mendapat sambutan menggalakkan.
TUDUNG bawal yang mendapat sambutan menggalakkan.
Muhamaad Razis Ismail


BERGAYA pada harga mampu milik. Itu prinsip yang dipegang tukang jahit wanita ini dalam menyiapkan tempahan pelanggan sejak 10 tahun lalu.

Namun, dari segi pemilihan material, rekaan dan jahitan, Zaimidah Mohd, 38, atau lebih mesra disapa Amyierza ini sentiasa memastikan pakaian atau tudung dihasilkan adalah yang terbaik untuk pelanggannya.

Atas dasar itu, tidak hairanlah ibu kepada dua cahaya mata ini tidak menang tangan memenuhi tempahan yang diterima sepanjang tahun daripada seluruh negara.

Amyierza berkata, dia mula belajar menjahit daripada ibunya ketika masih lagi bekerja sebagai guru tadika.

Katanya, disebabkan setiap hari perlu memakai pakaian berbeza, dia belajar untuk menjahit pakaian sendiri bagi menjimatkan wang.

"Pada mulanya, saya minta ibu jahitkan, namun ditolak kerana ibu mahu saya belajar hasilkan sendiri.

"Alhamdulillah, hasil daripada tunjuk ajar ibu dan carian di Internet, lama-kelamaan saya dapat menguasai kemahiran menjahit pakaian," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, sejak itu minat terhadap bidang jahitan semakin menebal sehingga dia membuat keputusan untuk menjadi tukang jahit sepenuh masa.

"Pada mulanya, saya hanya berani mengambil tempahan menjahit dalam kalangan ahli keluarga terdekat sahaja kerana masih belum yakin.

"Apabila ramai ahli keluarga berpuas hati dan ada pelanggan yang menyatakan minat, secara perlahan-lahan saya mengambil tempahan tudung sebelum mula memberanikan diri menjahit pakaian sehingga ke hari ini," katanya.

Katanya, bekerja dari rumah, menuntut fokus dan disiplin yang tinggi kerana dia perlu bijak menguruskan masa dengan baik antara kerja dan keluarga.

"Biarpun mempunyai masa yang agak fleksibel, selepas menghantar anak ke sekolah, seawal 8 pagi, saya sudah mula menjahit. Saya akan berhenti seketika untuk memasak, solat dan meluangkan masa dengan anak.

"Selepas solat Maghrib, saya akan menjahit sehingga 10 malam. Apabila menerima banyak tempahan, saya akan bekerja lebih masa sehingga 1 pagi," katanya.

Pemilik Zm_Collections ini berkata, dia menerima tempahan pakaian dan tudung daripada seluruh negara.

"Biasanya pelanggan yang tinggal di kawasan berhampiran akan datang terus ke rumah. Manakala yang tinggal berjauhan, boleh membuat tempahan secara dalam talian.

SENTIASA menitikberatkan kualiti pakaian yang dihasilkan.
SENTIASA menitikberatkan kualiti pakaian yang dihasilkan.

"Dalam hal ini, saya sentiasa jujur dengan pelanggan terutama ketika menjelang musim perayaan. Tiga bulan sebelum raya, saya sudah buka untuk tempahan dan tidak sama sekali menerima (tempahan) ketika bulan puasa kerana kekangan masa," katanya.

Dalam menyiapkan tempahan, dia sentiasa menitik beratkan kualiti produk yang dihasilkan untuk kepuasan pelanggan.

"Apabila melihat pelanggan gembira menerima pakaian, hilang segala penat lelah kerana saya dapat menyumbang sesuatu dalam kehidupan mereka.

"Saya bersyukur rata-rata pelanggan berpuas hati dengan kualiti pakaian diterima sehingga ada yang beberapa kali kembali membuat tempahan," katanya.

Namun dalam menceburi bidang ini, dia turut tidak terlepas berdepan dengan pelbagai karenah pelanggan.

"Antaranya, apabila ada pelanggan sanggup datang ke kampungnya ketika 1 Syawal, hanya mahu saya memotong beberapa lebihan benang di pakaian anaknya.

"Selain itu, ada juga yang hanya mengambil pakaian dan tidak membuat

bayaran sehingga ke hari ini atas alasan tidak berpuas hati dengan hasil jahitan.

"Bagaimanapun, saya anggap ini pengalaman dan pengajaran berguna untuk menjadi tukang jahit lebih baik di masa hadapan," katanya

Amyierza turut berkongsi kenangan yang tidak boleh dilupakan, apabila salah seorang pelanggan berusia lingkungan 70-an tidak sempat memakai baju kurung Kedah kerana meninggal dunia akibat jangkitan Covid-19 pada dua tahun lalu.

"Wanita terbabit sempat menghubungi saya bertanya berkenaan baju berwarna putih itu kerana dia ingin memakainya ketika sambutan Aidilfitri. Bagaimanapun sekitar 2 pagi pada hari berikutnya, saya menerima panggilan daripada anak wanita itu memaklumkan ibunya sudah meninggal dunia.

"Anak arwah meminta saya menyimpan pakaian itu sebagai kenangan," katanya.

Ditanya perancangan masa hadapan, sudah tentu Amyierza mahu memiliki kedai dan pekerja sendiri untuk mengembangkan lagi perniagaannya supaya dapat menerima lebih banyak tempahan pelanggan.

"Oleh itu, saya perlu bekerja lebih kuat untuk merealisasikan impian itu menjadi kenyataan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Jun 2022 @ 7:00 AM