Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Seorang tukang jahit orang kurang upaya ketidakupayaan fizikal tidak menang tangan untuk menyiapkan tempahan baju raya yang dihantar oleh pelanggannya sejak sebulan lalu.

Menurut Nur Ain Mohd Razali, 34, sehingga kini dia sudah menerima tempahan lebih 100 pakaian raya untuk dijahit dan sudah pun menutup tempahan itu pada hujung bulan lalu kerana bimbang tidak dapat menyiapkan tempahan pelanggannya menjelang Syawal.

Katanya, kebanyakan pelanggannya berpuas hati dengan hasil kerjanya dan mereka yang datang menghantar tempahan baju untuk dijahit bukan sahaja penduduk di Kota Bharu, malah ada juga dari Pasir Mas, Tumpat, Kuala Krai dan beberapa daerah lain.

"Dengan pengalaman yang ada, saya mampu menjahit pelbagai jenis fesyen pakaian lelaki dan perempuan mengikut kehendak pelanggan dan upah yang diambil adalah serendah RM35 hingga RM200.

"Kebiasaannya setiap kali musim perayaan, saya mampu meraih pendapatan antara RM4,000 hingga RM5,000 dan dalam masa sama turut dibantu oleh seorang pekerja bagi memastikan tempahan baju pelanggan dapat disiapkan lebih awal," katanya ketika ditemui di kedai jahitnya di Kampung Mahligai, di sini, hari ini.

Anak ketiga daripada lima beradik ini berkata, dia mengambil upah menjahit sejak lebih 10 tahun lalu demi kelangsungan hidup selain tidak mahu bergantung sepenuhnya kepada Elaun Pekerja Cacat yang diperoleh daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM450 sebulan.

NUR Ain menyiapkan tempahan baju pelanggannya. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
NUR Ain menyiapkan tempahan baju pelanggannya. FOTO Hazira Ahmad Zaidi

"Pada awalnya saya tidak mempunyai minat dalam bidang jahitan, namun atas galakan ayah yang mahu melihat saya berjaya dan memiliki perniagaan sendiri mendorong saya untuk mengikuti kursus jahitan di Jabatan Kemajuan Masyarakat, Pengkalan Chepa selama setahun pada 2006.

"Bagi menambahkan kemahiran serta ilmu dalam bidang jahitan, saya menyambung pengajian di peringkat Sijil Kemahiran Malaysia Tahap Satu dalam bidang Jahitan Pakaian Lelaki di Giat Mara, Bachok selama enam bulan.

"Selepas tamat pengajian di Giat Mara, saya bekerja di kedai jahit selama setahun untuk mencari pengalaman dan pada penghujung 2012, saya mengambil keputusan menyewa sebuah premis dan membuka kedai jahit bersama seorang rakan menggunakan ilmu dan kemahiran yang dipelajari selama ini," katanya yang sebelum ini pernah bekerja di Yayasan Orang Kurang Upaya Kelantan.

Menurutnya, walaupun pendapatan sebagai tukang jahit tidak menentu dan bergantung kepada tempahan, namun dia bersyukur kerana dapat melakukan yang terbaik untuk pelanggan dan kebanyakan mereka berpuas hati dengan hasil kerjanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 April 2022 @ 1:34 PM