KANAK-kanak ADHD kerap melakukan kesilapan.
KANAK-kanak ADHD kerap melakukan kesilapan.
Muhamaad Razis Ismail


Gangguan hiperaktif defisit tumpuan atau Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD) antara masalah perkembangan yang paling biasa dikesan ketika zaman kanak-kanak.

Kanak-kanak yang mengalami isu ADHD didapati menghadapi masalah seperti kurang daya perhatian, menunjukkan tingkah laku yang impulsif (bertindak tanpa memikirkan akibat) atau terlalu aktif.

Antara ciri-ciri ADHD adalah kurang tumpu perhatian, banyak mengelamun, agak lalai, terlupa atau kehilangan banyak benda, kerap menggerak-gerakkan badan atau gelisah, terlalu banyak bercakap, kerap melakukan kesilapan kerana terlalu sambil lewa atau membuat perangai berisiko tinggi, susah menunggu giliran dan sukar bergaul dengan orang lain.

Pakar Pediatrik Perkembangan Kanak-Kanak Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM UKM), Profesor Madya Dr Norazlin Kamal Nor berkata, masalah perlakuan dan tumpuan ini berlaku lebih kerap dan ketara berbanding apa yang biasa dilihat pada kanak-kanak lain di peringkat perkembangan yang sama.

"Ia biasanya muncul pada zaman kanak-kanak dan selalunya berlanjutan sehingga dewasa.

"Terdapat tiga jenis ADHD yang berbeza iaitu predominan kurang tumpuan, predominan Hiperaktif-Impulsif dan predominan gabungan kedua-dua jenis," katanya ketika dihubungi.

Di seluruh dunia, anggaran prevalens ADHD kanak-kanak ialah 5.29 peratus, manakala di Malaysia, kekerapan atau prevalens ADHD adalah antara 1.6 peratus hingga 4.6 peratus

Ia antara masalah perkembangan otak yang paling kerap ditemui dalam zaman kanak-kanak.

KANAK-KANAK ADHD menghadapi masalah kurang daya perhatian.
KANAK-KANAK ADHD menghadapi masalah kurang daya perhatian.

Beliau yang juga Pensyarah Kanan Pusat Perkembangan Kanak-kanak Jabatan Pediatrik HCTM UKM berkata, walaupun punca dan faktor risiko ADHD tidak diketahui, tetapi penyelidikan perubatan menunjukkan unsur genetik memainkan peranan yang penting.

"Antara faktor lain yang pernah dikaitkan dengan ADHD adalah kecederaan otak ketika lahir, pendedahan kepada risiko alam sekitar ketika ibu yang mengalami kencing manis atau darah tinggi ketika mengandung dan penggunaan alkohol serta merokok ketika hamil.

"Kanak-kanak yang lahir pramatang dan kurang berat lahir juga lebih tinggi risiko mengalami ADHD. Kajian sains sehingga kini tiada bukti kukuh menyokong pandangan umum bahawa ADHD disebabkan mengambil terlalu banyak makanan bergula atau makanan pengawet," katanya.

IBU hamil yang mengalami kencing manis atau darah tinggi antara faktor yang dikaitkan dengan ADHD.
IBU hamil yang mengalami kencing manis atau darah tinggi antara faktor yang dikaitkan dengan ADHD.

Katanya, kanak-kanak dengan ADHD kerap dikenal pasti oleh guru atau ibu bapa.

"Untuk penilaian dan pengesanan diagnosis ADHD, maklumat daripada pelbagai sumber diperlukan termasuk ibu bapa dan guru.

"Riwayat hidup berserta pemahaman masalah anak perlu diperoleh daripada ibu bapa. Kanak-kanak ini diperiksa dan seterusnya peralatan diagnosa digunakan untuk menilai kemungkinan mencapai kriteria untuk ADHD," katanya.

Tambahnya, ADHD didiagnosa oleh pakar seperti pakar psikiatri kanak-kanak dan remaja atau doktor pediatrik perkembangan kanak-kanak menggunakan kriteria seperti DSM-5 (Manual Diagnostik dan Statistik Gangguan Mental).

Mengulas lanjut, ADHD boleh dirawat menerusi pelbagai kaedah rawatan termasuk melalui terapi dan ubat.

BANTU anak dengan cuba memahami kesukaran yang dihadapi.
BANTU anak dengan cuba memahami kesukaran yang dihadapi.

"Oleh kerana ADHD adalah keadaan yang kronik, kanak-kanak dan remaja dengan ADHD dan keluarga mereka memerlukan rawatan jangka panjang.

"Matlamat rawatan adalah untuk memperbaiki gejala, memastikan fungsi seharian anak lancar dan pembelajaran yang efektif. Ia juga bertujuan meningkatkan harga diri dan nilai diri kanak-kanak," katanya.

Beliau berkata, adalah penting untuk membantu anak dengan cuba memahami kesukaran yang dihadapi.

"Antara perkara yang perlu dititikberatkan adalah model tingkah laku yang ingin dilihat daripada anak anda.

"Gunakan jadual dan rutin selain sediakan senarai serta peringatan di tempat yang akan dilihat," katanya.

Jelasnya, kesedaran masyarakat amat diperlukan supaya lebih peka dan memahami impak penyakit ADHD.

JALANI pemeriksaan sebaik mengenal pasti gejala ADHD anak.
JALANI pemeriksaan sebaik mengenal pasti gejala ADHD anak.

"Tanpa kesedaran, ia boleh menjejaskan proses pembelajaran dan perlakuan anak. Ini boleh juga menimbulkan stigma dan salah sangka yang boleh menggugatkan nilai diri anak-anak," katanya.

Beliau berharap masyarakat lebih peka dan sedar mengenai masalah perkembangan dan pembelajaran seperti ADHD supaya kanak-kanak ini boleh mendapatkan terapi serta rawatan yang sewajarnya.

"Ibu bapa juga perlu lebih cepat mengenali atau mengecam ADHD dalam anak-anak mereka dan mendapatkan rawatan intensif serta bersesuaian untuk anak-anak secepat mungkin supaya perkembangan boleh disokong," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Mac 2022 @ 6:30 AM