TEMAN dan berbual dengan anak untuk mewujudkan hubungan dua hala.
TEMAN dan berbual dengan anak untuk mewujudkan hubungan dua hala.
Muhamaad Razis Ismail


PERKEMBANGAN teknologi menyebabkan ramai kanak-kanak kini dilihat lebih awal didedahkan dengan penggunaan pelbagai gajet.

Tambahan pula ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), mahu atau tidak, gajet seperti telefon pintar dan komputer riba perlu digunakan untuk pelaksanaan kelas secara dalam talian.

Tidak dinafikan, teknologi mampu memudahkan urusan, namun ia juga boleh memberi kesan negatif untuk jangka panjang.

Lebih membimbangkan, apabila sudah menjadi trend dalam kalangan ibu bapa yang cenderung membiarkan anak secara bersendirian menonton televisyen atau bermain gajet ini sebagai 'pengasuh' sementara.

Kajian yang dijalankan mendapati kanak-kanak yang dibiarkan secara bersendirian dengan televisyen atau gajet, hanya menerima input secara satu hala.

Tabiat negatif ini boleh merencatkan neuron yang sepatutnya mempunyai interaksi pada usia enam tahun pertama kanak-kanak sehingga memberi kesan terhadap perkembangan mereka.

Berbanding ibu bapa yang sering menemani dan berbual dengan anak, ia dapat membentuk otak dengan baik kerana berlaku proses dua hala.

Pengamal Pendidikan Awal Kanak-kanak, Dr Putri Afzan Maria Zulkifli berkata, input yang masuk dalam otak kanak-kanak sama ada daripada televisyen atau gajet masuk adalah melalui mata dan telinga.

Persoalan timbul, adakah input yang masuk itu mempunyai makna atau sebaliknya?

"Input yang tidak mempunyai makna ini sekadar masuk satu hala berikutan tiada komunikasi dua hala.

LENGKAPKAN diri ilmu keibubapaan.
LENGKAPKAN diri ilmu keibubapaan.

"Apabila anak dibiarkan sendirian, input yang masuk itu tidak dapat dirangsang untuk menghasilkan output.

"Cara otak memproses input yang diperoleh secara satu hala atau dua hala adalah berbeza," katanya ketika dihubungi.

Mengulas lanjut, perlu diketahui waktu paling kritikal otak membina jutaan sel neuron anak adalah pada usia enam tahun pertama.

"Proses ini sangat penting kerana ia akan menentukan sama ada rangka tindakan atau 'blueprint' anak itu lemah atau sangat kuat untuk menempuh kehidupan sepanjang hayat," katanya.

BOLEH menjejaskan kesihatan mental kanak-kanak.
BOLEH menjejaskan kesihatan mental kanak-kanak.

Beliau berkata, banyak berlaku kes kanak-kanak lambat bercakap, memproses emosi, berjalan, memanjat adalah berpunca daripada rangka tindakan yang lemah.

"Ia secara tidak langsung boleh meningkatkan masalah kesihatan mental sekiranya tidak ditangani segera," katanya.

PENINGKATAN ADHD semakin membimbangkan.
PENINGKATAN ADHD semakin membimbangkan.

Selain itu, input satu hala ini boleh mengakibatkan kanak-kanak tidak mempunyai tindak balas yang baik.

"Kebiasaannya, apabila namanya dipanggil, dia tidak pandang kerana pada ketika itu otaknya hanya mempunyai satu landasan neuron yang memproses input masuk," katanya.

Jadi, tidak hairan mengapa kini berlaku peningkatan kes kanak-kanak yang mengalami Sindrom Kurang Daya Tumpuan dan Hiperaktif (ADHD) dan penyakit lain.

DR Putri Afzan Maria
DR Putri Afzan Maria

"Kita boleh lihat semua ini berlaku dalam kalangan kanak-kanak di negara.

"Puncanya ibu bapa tidak menitikberatkan perkembangan anak pada usia enam tahun pertama yang sangat penting," katanya.

Masalah ini bukan sahaja membabitkan menonton televisyen atau bermain dengan gajet.

"Ibu bapa yang tidak bercakap dengan anak juga boleh menyebabkan tiada input yang masuk dalam otak kanak-kanak," katanya.

Menurutnya, ibu bapa atau orang yang lebih dewasa perlu memainkan peranan dengan sentiasa berada di samping kanak-kanak yang sedang menonton televisyen atau gajet.

"Orang lebih dewasa perlu membantu kanak-kanak menterjemahkan makna apa yang dilihat. Kita boleh meluangkan masa menemani anak sambil bersembang berkenaan apa yang mereka lihat.

"Ini yang dimaksudkan dengan dua hala apabila input yang anak peroleh dapat distimulasi menjadi output melalui perbualan dengan orang dewasa berbanding menonton secara secara sendirian," katanya.

Katanya, ibu bapa perlu meningkatkan ilmu keibubapaan untuk memastikan perkembangan anak terutama pada usia enam tahun pertama dapat berjalan dengan baik.

"Masih ramai yang tidak sedar kepentingan ilmu pendidikan awal kanak-kanak dengan masih mengamalkan gaya keibubapaan secara turun-temurun.

"Lengkapkan diri dengan ilmu secukup kerana ibu bapa yang berperanan mencorak masa depan anak menjadi baik atau sebaliknya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Februari 2022 @ 7:00 AM