Fairul Asmaini Mohd Pilus


"Sejujurnya, untuk menjaga dan membesarkan anak istimewa bukan mudah. Tapi tiada istilah berputus asa dan saya tidak keseorangan kerana melalui cabaran ini bersama seorang suami yang bertanggungjawab.

"Pergolakan emosi dan tangisan sudah menjadi teman untuk kami sepanjang 13 tahun membesarkan Naufal Mohammad Qayyum serta adiknya.

"Namun apabila memandang wajah mereka yang tidak berdosa, istighfar menjadi senjata utama untuk memujuk diri bahawa dua anak ini adalah anugerah untuk membantu kami ke syurga," kata Roziah Burok, 40.

Jururawat itu diuji apabila anak sulungnya, Naufal Mohammad Qayyum Ahmad Firdaus, 13, atau mesra disapa Qayyum didiagnos mengalami masalah autisme tahap ringan (mild) manakala anak bongsunya Naufal Muhammad Luthfi, 11, atau mesra disapa Luthfi pula mengalami masalah pembelajaran khusus (Disleksia) dan Sindrom Kurang Daya Tumpuan (ADHD).

Kata Roziah, selepas Qayyum didiagnos mengalami autisme pada usia dua tahun lebih, dia juga tertanya-tanya apa kesilapannya sebagai ibu sehingga anaknya diuji sebegitu.

Namun fasa sukar menerima hakikat itu tidak lama kerana Roziah sedar setiap masa adalah berharga bagi kanak-kanak autisme

Sejak itu, dia mula melengkapkan diri dan mencari maklumat berkaitan keperluan Qayyum selain memasukkan anaknya dalam pelbagai kelas terapi meskipun terpaksa berhabis wang ringgit.

Ini kerana intervensi awal adalah penting bagi memastikan memastikan Qayyum dapat mencapai tahap keberdikarian yang optima apabila mencecah umur tujuh tahun iaitu sebelum memulakan kehidupan sebagai seorang pelajar.

SAMBUTAN Hari Kanak-Kanak Berkeperluan Khas di Hospital Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani
SAMBUTAN Hari Kanak-Kanak Berkeperluan Khas di Hospital Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani

Katanya, Qayyum sebelum itu seorang yang memilih makanan dan pernah suatu ketika hanya menyukai roti canai sahaja.

"Tiada pilihan ketika itu, saya terpaksa bangun seawal jam 4.30 pagi untuk bersiap ke tempat kerja dan membawa anak kedai mamak (untuk makan roti canai) sebelum menghantar ke rumah pengasuh.

"Semua itu bagi memastikan Qayyum tidak lapar ketika dihantar ke rumah pengasuh dan dalam masa sama kami tetap mengajarnya menerima pelbagai makanan lain.

"Kini Alhamdulillah, Qayyum membesar dengan sihat serta boleh menikmati pelbagai makanan," katanya ketika ditemui Harian Metro sempena Sambutan Hari Kanak-kanak Berkeperluan Khas di Hospital Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani, Hospital Pakar Kanak-kanak UKM (HPKK), Cheras, baru-baru ini.

Kata Roziah, ketika itu dia sudah boleh menerima 'keistimewaan' Qayyum dengan hati terbuka namun timbul ujian lain iaitu anaknya sukar mendapat tempat di tadika biasa dan terpaksa meneruskan pendidikan awal di taska Montessori yang lebih sesuai untuk kanak-kanak di bawah usia tiga tahun.

DUA anak istimewa Roziah sudah boleh membantu di rumah.
DUA anak istimewa Roziah sudah boleh membantu di rumah.

Menurut Roziah, selepas kelahiran anak kedua Luthfi, dia mula mengawasi perkembangannya kerana sudah mempunyai pengalaman ketika kelahiran Qayyum.

Kata Roziah, apabila menyedari Luthfi lambat bercakap pada usia dua tahun, dia dan suami, Ahmaf Firdaus Kadar, 39, segera membawanya bertemu dengan pakar.

Namun selepas melalui pelbagai proses penilaian, pada usia enam tahun barulah Luthfi disahkan mengalami masalah Disleksia dan ADHD. Langkah awal terus diambil dengan melakukan pemeriksaan di Pusat Dyslexia Ampang (HQ) dan apabila mendapat tahu mengenai kewujudan pusat khas untuk Disleksia di Bangi, kami segera memasukkannya ke sana.

"Saya berkorban mengambil cuti tiga bulan tanpa gaji semata-mata untuk memastikan dia dapat menyesuaikan diri di pusat berkenaan. Suami pula berusaha untuk membayar semua komitmen pembiayaan saya.

"Ia adalah pilihan yang tepat dan pengorbanan yang berbaloi kerana dalam tempoh beberapa bulan sahaja, Luthfi sudah dapat membaca sebagai persediaan untuknya memasuki darjah satu di sekolah aliran perdana,

" katanya yang mengakui suaminya juga terpaksa berhenti kerja sebagai polis bantuan di Petronas dan berjinak-jinak untuk berniaga demi mendapat waktu lebih fleksibel untuk menjaga dua anak mereka .

Bercerita lanjut mengenai kehidupan keluarganya, Roziah berkata, sepanjang membesarkan dua anak istimewanya itu, baik dia mahupun suami tidak pernah memberi layanan berbeza.

KEISTIMEWAAN yang ada tidak menghalang Qayyum aktif dalam bidang sukan olahraga.
KEISTIMEWAAN yang ada tidak menghalang Qayyum aktif dalam bidang sukan olahraga.

Sebaliknya, mereka dilayan seperti kanak-kanak normal lain dan diajar melakukan kerja-kerja rumah seperti biasa.

Ini kerana kata Roziah, dia mahu Qayyum dan Luthfi berdikari selain tahu menguruskan diri tanpa bantuan ibu bapa.

"Sekarang, saya dan suami sudah boleh menarik nafas lega kerana mereka berdua bukan sahaja sudah pandai menguruskan diri malah rajin mengemas rumah serta pandai memasak makanan ringkas.

"Memang terbukti bahawa intervensi awal, terapi dan pembabitan ibu bapa amat penting dalam membantu perkembangan anak-anak istimewa.

"Apapun, perjalanan yang dilalui memang bukan mudah, tanpa sokongan keluarga dan pihak sekolah semua usaha itu tidak akan berjaya," katanya yang kini aktif memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai keperluan dan kepentingan terapi awal untuk anak-anak istimewa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Jun 2024 @ 7:01 AM