MASALAH pertuturan kanak-kanak semakin meningkat.
MASALAH pertuturan kanak-kanak semakin meningkat.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


KES masalah pertuturan dalam kalangan kanak-kanak semakin meningkat sama ada di hospital kerajaan mahupun di pusat rawatan swasta.

Namun, masih ramai ibu bapa mengambil pendekatan sekadar tunggu dan lihat perkembangan anak-anak mereka sehingga kanak-kanak itu pandai bercakap. Tetapi, cara ini tidak memberi jaminan.

Kanak-kanak yang menunjukkan ciri-ciri lambat bercakap dianggap remeh dan kebiasaannya dilabel sebagai lambat bercakap atau autisme.

Terapis Pertuturan-Bahasa Hospital Pakar KPJ Puteri Raihanah Rosdin berkata, masalah pertuturan dan bahasa boleh disebabkan lambat bertutur, kecelaruan perkembangan bahasa atau dikenali sebagai 'developmental language disorder,' masalah pendengaran, apraksia (kecelaruan pertuturan motor), masalah bunyi bahasa dan lain-lain.

Beliau berkata, ibu bapa perlu mendapatkan penilaian daripada terapis pertuturan untuk mengenal pasti, adakah anak mereka mempunyai masalah pertuturan dan bahasa. Selain itu, rawatan diperlukan bagi membantu anak berkenaan.

"Kanak-kanak mengalami kelewatan perkembangan bahasa atau 'late talkers' turut menghadapi masalah gangguan bahasa.

BERMAIN bersama salah satu cara mengenal pasti anak mungkin mempunyai masalah perkembangan bahasa dan/atau pertuturan.
BERMAIN bersama salah satu cara mengenal pasti anak mungkin mempunyai masalah perkembangan bahasa dan/atau pertuturan.

"Sebanyak 70 hingga 80 peratus kanak-kanak 'late talkers' mampu menandingi rakan sebaya ketika mereka memasuki alam persekolahan.

"Ada kalanya kanak-kanak ini digelar 'late boomers' kerana mereka akhirnya dapat menyaingi kanak-kanak lain seusianya dalam pertuturan bahasa," katanya.

Puteri Raihanah berkata, kanak-kanak mempunyai masalah kelewatan perkembangan bahasa, dikenali sebagai 'late language emergence' (LLE). LLE adalah kelewatan dalam perkembangan bahasa normal pada kanak-kanak tanpa kecacatan lain yang didiagnosis atau kelewatan perkembangan dalam domain kognitif atau motor lain.

"LLE didiagnosis apabila trajektori perkembangan bahasa di bawah jangkaan umur.

MASALAH kelewatan perkembangan bahasa tidak dirawat menyebabkan kanak-kanak berisiko mengalami masalah dalam sosial, emosi dan tingkah laku.
MASALAH kelewatan perkembangan bahasa tidak dirawat menyebabkan kanak-kanak berisiko mengalami masalah dalam sosial, emosi dan tingkah laku.

"Tanpa rawatan, kanak-kanak ini akan menghadapi kesukaran untuk menyaingi rakan sebaya. Jika dibiarkan, semakin jauh jurang tahap umurnya dan akhirnya menyebabkan kecelaruan bahasa. Tidak seperti 'late boomers', kanak-kanak LLE memerlukan rawatan," katanya.

Puteri Raihanah berkata, kajian menunjukkan 40 hingga 60 peratus kanak-kanak yang mempunyai masalah pertuturan dan bahasa yang tidak dirawat akan berisiko mengalami masalah dalam sosial, emosi, tingkah laku serta kognitif sehingga dewasa.

"Dalam kajian lain pula mendedahkan kanak-kanak lelaki lebih berisiko untuk mengalami LLE berbanding kanak-kanak perempuan.

"Kanak-kanak LLE juga didapati mengalami kelewatan dalam perkembangan motor seperti sukar menyebut perkataan.

"Ibu bapa yang mempunyai sejarah LLE berisiko melahirkan anak LLE.

"Manakala status sosial dan ekonomi serta tahap pendidikan ibu bapa mempengaruhi tahap perkembangan dan pembelajaran kanak-kanak LLE," katanya.

Puteri Raihanah berkata, tiga langkah ibu bapa boleh lakukan berkaitan masalah itu. Pertama ialah ibu bapa perlu cakna akan perkembangan anak-anak dengan merujuk carta perkembangan mereka. Ia adalah langkah pengesanan awal dan mudah untuk dilakukan.

"Langkah kedua ialah masalah pendengaran sering kali terlepas pandang dan jika kanak-kanak mempunyai masalah ini (pendengaran), kemungkinan besar perkembangan bahasa dan pertuturan kanak-kanak akan terjejas.

"Jadi, ibu bapa perlu peka dengan pendengaran anak-anak. Jika mendapati anak sukar untuk bertindak balas apabila dipanggil atau sukar untuk memahami arahan, ibu bapa perlu segera membawanya melakukan saringan pendengaran," katanya.

Katanya lagi, langkah ketiga adalah sekiranya ibu bapa berasa bimbang terhadap pertuturan anak-anak, lebih baik mendapatkan penilaian dan kepastian daripada pakar.

"Ini supaya rawatan dapat diberikan lebih awal bagi mengelakkan masalah kecelaruan anak-anak menjadi lebih serius.

MASALAH pertuturan dalam kalangan kanak-kanak sering dianggap remeh.
MASALAH pertuturan dalam kalangan kanak-kanak sering dianggap remeh.

"Maklumat atau sumber yang diterima daripada media sosial atau internet adalah bersifat umum dan bukan khusus untuk anak.

"Dapatkan juga penilaian daripada terapis pertuturan atau pakar perkembangan kanak-kanak untuk pengesanan awal," katanya.

Di samping itu katanya, beberapa cara untuk mengenal pasti anak mungkin mempunyai masalah perkembangan bahasa dan/atau pertuturan.

"Pertama ialah menguji anak dalam pemahaman mereka. Sepatutnya kanak-kanak berusia dua tahun sudah boleh memahami arahan yang sedikit panjang seperti menyuruhnya mengambil bola dan kemudian memberi bola itu kepada bapanya.

"Pemahaman amat penting dalam perkembangan bahasa dan pertuturan. Pada usia dua tahun juga, anak sepatutnya sudah mula menggabungkan dua patah perkataan seperti 'nak susu.'

"Namun, jika anak masih tidak dapat bercakap dua patah perkataan ini, dia mungkin mempunyai masalah lambat bercakap (language delay)," katanya.

Puteri Raihanah berkata, cara kedua ialah respons pada bunyi atau panggilan. Kanak-kanak berumur setahun akan menoleh apabila namanya dipanggil. Juga mudah bertindak balas dengan bunyi menarik daripada rancangan kartun atau lagu.

PENILAIAN terapi membantu mengenal pasti anak mempunyai masalah perkembangan bahasa dan/atau pertuturan atau sebaliknya.
PENILAIAN terapi membantu mengenal pasti anak mempunyai masalah perkembangan bahasa dan/atau pertuturan atau sebaliknya.

Menurutnya, cara ketiga adalah kanak-kanak mempunyai keinginan berkomunikasi dengan orang di sekeliling, terutama dalam meminta bantuan daripada orang lain untuk mendapatkan sesuatu perkara.

"Cara keempat ialah ibu bapa boleh menilai secara ringkas apabila bermain dengan anak.

"Kenal pasti adakah anak boleh bermain bersama-sama dan memberi tumpuan apabila bermain atau lebih gemar bermain bersendirian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Jun 2023 @ 6:20 AM