TIDUR mencukupi penting untuk perkembangan kanak-kanak.
TIDUR mencukupi penting untuk perkembangan kanak-kanak.
Muhamaad Razis Ismail


TIDUR sangat penting untuk kanak-kanak bagi mencapai pembesaran dan perkembangan optimum.

Sama ada membabitkan anak kecil berusia dua tahun atau remaja, kajian menunjukkan bahawa rutin waktu tidur yang konsisten membantu memastikan anak mendapat tidur yang cukup.

Suruhanjaya Mengakhiri Obesiti Kanak-kanak mendapati bahawa masa tidur yang mencukupi, aktiviti fizikal dan cara hidup sedentari adalah banyak berkait serta memberi kesan jelas terhadap kesihatan dan kesejahteraan fizikal selain mental kanak-kanak.

Menjaga dan memperbaiki isu ini dalam tempoh lima tahun pertama kehidupan kanak-kanak akan menyumbang kepada perkembangan motor dan kognitif kanak-kanak serta kesihatan sepanjang hayat.

Pakar Perunding Pediatrik Perkembangan Kanak-Kanak, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr Norazlin Kamal Nor berkata, tidur memberi peluang untuk otak kanak-kanak berehat dan memproses maklumat yang diterima otak ketika berjaga.

Katanya, kanak-kanak perlu mendapatkan jumlah waktu tidur yang mencukupi pada sebelah malam untuk membantu mereka kekal fokus dan meningkatkan prestasi akademik.

"Kanak-kanak dan remaja yang tidak cukup tidur berisiko menghadapi masalah kesihatan, termasuk obesiti, diabetes jenis 2 (Type 2 Diabetes) dan pencapaian daya mental yang kurang.

KANAK-KANAK perlu dapatkan rehat mencukupi terutama pada waktu malam
KANAK-KANAK perlu dapatkan rehat mencukupi terutama pada waktu malam

"Mereka juga lebih berkemungkinan mengalami masalah perhatian dan tingkah laku yang boleh menyumbang kepada prestasi akademik yang lemah di sekolah," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, ada pelbagai faktor yang menyebabkan kanak-kanak tidak mendapat tidur mencukupi antaranya, tiada rutin tidur dan 'sleep hygiene' yang sesuai.

"Selain itu, makan lewat kurang dari tiga hingga empat jam sebelum tidur turut menyumbang kepada permasalahan ini.

"Ada juga kanak-kanak yang terikut tabiat tidur ahli keluarga lain yang tidur lambat. Ada kanak-kanak yang tidur siang terlalu lama dan menyebabkan mereka lewat masuk tidur pada sebelah malam," katanya.

Tambahnya, pemberian gajet yang diberi terlalu awal, secara tidak terkawal dan tidak dipantau boleh menyebabkan masalah kurang tidur dalam kalangan kanak-kanak.

"Ibu bapa dan penjaga perlu mengelakkan memperkenalkan alat gajet atau alat elektronik untuk kanak-kanak di bawah dua tahun. Bagi kanak-kanak yang berusia dua tahun ke atas perlu dipantau penggunaan gajet serta dikurangkan ke satu hingga dua jam sehari.

"Gantikan penggunaan gajet dengan bermain dengan anak, membaca dengan anak dan melakukan pelbagai aktiviti riadah," katanya.

PENGGUNAAN gajet secara berlebihan boleh beri kesan kepada tidur kanak-kanak.
PENGGUNAAN gajet secara berlebihan boleh beri kesan kepada tidur kanak-kanak.

Jelasnya, kesan kekurangan tidur boleh menyebabkan kanak-kanak kepenatan, susah bangun, mengantuk pada sebelah siang, tidur di sekolah dan sukar memberi tumpuan sepenuhnya.

"Ia boleh menjejaskan perangai dan mood kanak-kanak di mana perangai susah mengawal diri, mungkin lebih cepat menangis, sedih dan kecewa

"Situasi boleh menjejaskan pembelajaran dan daya ingatan," katanya.

Mengulas lanjut, ia juga boleh memberi kesan jangka panjang kepada kesihatan badan yang dikaitkan dengan masalah kurang tidur, termasuk masalah kenaikan berat badan dan obesiti kerana metabolisme badan terjejas.

"Kanak-kanak yang tidak cukup tidur juga lebih kerap terbabit dalam kemalangan kerana kecuaian dan kurang peka pada persekitaran," katanya.

Beliau turut berkongsi beberapa kaedah yang boleh diguna pakai untuk melatih anak tidur awal termasuk mengamalkan 'good sleep hygiene.'

IBU bapa perlu memainkan peranan.
IBU bapa perlu memainkan peranan.

"Selaraskan masa dengan masuk tidur dan bangun pada waktu yang sama setiap hari. Jadikan ia sebagai rutin.

"Elakkan daripada melakukan aktiviti yang terlalu merangsang kanak-kanak seperti penggunaan gajet sebelum masuk tidur," katanya.

Katanya, kanak-kanak perlu diberi makan malam lebih dari empat jam sebelum tidur supaya penghadaman tidak mengganggu rutin tidur.

"Satu cara yang boleh membantu kanak-kanak tidur lebih lena adalah dengan beriadah atau menjalankan aktiviti fizikal pada sebelah siang, contohnya menunggang basikal, berlari atau berjalan setiap hari atau selang sehari selama 30 hingga 45 minit sehari," katanya.

Beliau berharap kanak-kanak semakin sihat dan berpeluang mencapai perkembangan dan tumbesaran terbaik dengan mendapat tidur yang mencukupi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Disember 2021 @ 7:00 AM