VIDEO pendek tidak menyebabkan kanak-kanak cepat bosan kerana durasi masa yang singkat. - FOTO Google
VIDEO pendek tidak menyebabkan kanak-kanak cepat bosan kerana durasi masa yang singkat. - FOTO Google
Muhamaad Razis Ismail


DALAM perkembangan teknologi yang serba canggih ini, kanak-kanak seawal usia sudah didedahkan dengan penggunaan gajet.

Apa tidaknya, gajet digunakan sebagai 'pengasuh' oleh segelintir ibu bapa untuk menenangkan anak sama ada di rumah atau lokasi tumpuan orang ramai.

Senario ini dilihat seolah-olah sudah menjadi norma biasa dalam masyarakat.

Apatah lagi, kini kandungan yang menjadi pilihan kanak-kanak sudah pasti video pendek berdurasi sehingga dua minit yang banyak ditawarkan pelbagai platform media sosial.

Pada masa sama, kandungan video pendek yang mempunyai elemen kejutan, lucu atau usikan yang dipaparkan tanpa kawalan turut menarik perhatian golongan dewasa.

Pakar Psikologi Kanak-Kanak, Dr Noor Aishah Rosli berkata, kanak-kanak yang didedahkan dengan gajet pada awal usia, tertarik dengan video pendek yang dipaparkan di pelbagai platform media sosial.

Katanya, kanak-kanak mudah tertarik dengan pergerakan, muzik dan warna yang menangkap minatnya untuk terus menonton video pendek.

"Kelebihan video pendek ini, ia tidak menyebabkan kanak-kanak cepat bosan kerana durasi masa yang singkat dalam setiap kandungan yang dipaparkan. Kemudian, mereka boleh menonton video lain.

"Malah melalui video yang dipaparkan, ia dapat membawa kanak-kanak 'keluar' daripada kehidupan realitinya contohnya kandungan berkenaan tempat-tempat menarik di luar negara.

"Kandungan video ini pandai bermain dengan emosi dan dapat membuatkan kanak-kanak terhibur dan tenang setiap kali menontonnya.

"Dari satu segi, kanak-kanak dapat menambah ilmu pengetahuan dalam masa singkat, namun masalah timbul apabila kandungan negatif yang boleh memberi kesan terhadap perkembangan kanak-kanak dari segi fizikal, emosi dan psikologi," katanya.

MENONTON video pendek terlalu lama boleh beri kesan terhadap kesihatan mata.  - FOTO Google
MENONTON video pendek terlalu lama boleh beri kesan terhadap kesihatan mata. - FOTO Google

PENYEDIA kandungan perlu menghasilkan kandungan yang boleh memberi manfaat.  - FOTO Google
PENYEDIA kandungan perlu menghasilkan kandungan yang boleh memberi manfaat. - FOTO Google

LUANGKAN masa dengan anak dengan aktiviti riadah untuk menghindarkan penggunaan gajet.  - FOTO Google
LUANGKAN masa dengan anak dengan aktiviti riadah untuk menghindarkan penggunaan gajet. - FOTO Google

Menurutnya, kebanyakan penyedia kandungan hanya mengejar jumlah tontonan dan kurang peka bahawa penonton video pendek juga terdiri daripada kanak-kanak yang masih belum dapat berfikir seperti orang dewasa.

"Kanak-kanak yang masih belum dapat menilai akan beranggapan kandungan yang dipaparkan adalah betul dan mereka akan meniru semula perkataan dan perbuatan yang ditunjukkan dalam kehidupan sebenar

"Sebagai contoh kandungan video 'prank' terhadap anak terhadap ibu bapa dan golongan dewasa di luar negara semestinya tidak bersesuaian di negara ini," katanya.

Pada masa sama, video pendek yang ditonton terlalu lama, boleh mengakibatkan masalah ketagihan kepada kanak-kanak terhadap gajet.

"Tanpa sedar, kanak-kanak sebenarnya sudah menghadap gajet dalam tempoh yang lama apabila disajikan dengan video pendek demi video pendek biar pun dalam durasi singkat.

"Apabila dibiarkan, ia boleh menyebabkan ketagihan sehingga kanak-kanak tidak boleh berenggang dengan gajet. Situasi ini juga boleh memberi kesan terhadap kesihatan mata, isu deria sentuhan dan hilang minat untuk berfikir serta belajar," katanya.

Lebih parah, katanya, ketagihan ini boleh menyebabkan kanak-kanak mengalami Gangguan Obsesif Kompulsif (OCD).

Jelasnya, dalam hal ini, penyedia kandungan perlu menghasilkan kandungan yang boleh manfaat kepada semua peringkat umur.

"Jangan terlalu mengejar jumlah tontonan dengan memaparkan kandungan negatif atas alasan untuk menarik perhatian sehingga memberi kesan kepada kanak-kanak," katanya.

Katanya, ibu bapa perlu memainkan peranan dan menjadi suri teladan kepada anak-anak supaya masalah ini tidak menjadi serius pada masa hadapan.

"Ibu bapa boleh mendidik anak berkenaan pilihan video yang bersesuaian dan perlu mengehadkan penggunaan gajet pada waktu dan tempoh tertentu sahaja.

"Mereka (ibu bapa) juga perlu kreatif dengan melakukan aktiviti riadah sama ada di rumah atau di luar dengan anak-anak untuk mengelakkan masa terluang itu digunakan untuk menghadap gajet," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Mei 2023 @ 7:00 AM