SENTIASA amalkan pemakanan sihat. - FOTO Google
SENTIASA amalkan pemakanan sihat. - FOTO Google
Muhamaad Razis Ismail
razis@mediaprima.com.my


BERPANTANG adalah satu fasa untuk memulihkan kesihatan ibu selepas bersalin.

Dari aspek pemakanan, ibu memerlukan tenaga dan nutrien yang mencukupi untuk memastikan tahap kesihatan ibu kembali optimum dan juga untuk penyusuan susu ibu.

Ini hanya boleh dicapai melalui amalan pemakanan sihat iaitu seimbang, berkhasiat, pelbagai dan mencukupi berdasarkan Piramid Makanan Malaysia.

Pegawai Pemakanan (Nutritionist) Sektor Pemakanan Ibu, Bahagian Pemakanan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Nurul Zaiza Zainuddin berkata, bagi memudahkan pengambilan amalan pemakanan berpantang ini, ibu disarankan untuk menggunakan konsep Pinggan Sihat Malaysia #sukusukuseparuh sebagai panduan untuk sarapan pagi, makan tengah hari dan makan malam.

"Jika ibu menyusu secara eksklusif tambahan kalori daripada makanan diperlukan. Jadi, ibu boleh mengambil snek antara waktu makan utama iaitu minum pagi, minum petang atau minum malam (sekiranya masih perlu).

"Ambil snek yang berkhasiat merangkumi lima kumpulan makanan contohnya mengandungi sayur-sayuran, buah-buahan atau makanan daripada sumber protein, susu atau hasil tenusu.

"Contoh snek adalah seperti salad ayam, susu, yogurt, kacang rebus, sandwich dan tauhu sumbat," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Jelasnya, amalan pemakanan sihat ini sesuai diamalkan semua wanita bukan hanya ketika berpantang, tetapi juga sebagai persediaan kehamilan dan semasa hamil.

Beliau berkata, tanpa amalan pemakanan sihat, ibu berpantang berisiko tidak mendapat khasiat mencukupi yang diperlukan tubuhnya bagi tujuan proses pemulihan selepas bersalin dan bagi penyusuan susu ibu.

"Apabila ini berlaku, kesihatan ibu tidak dapat kembali pada tahap optimum dan menjejaskan kualiti kehidupan daripada pelbagai aspek.

SOKONGAN dari suami amat penting. - FOTO Google
SOKONGAN dari suami amat penting. - FOTO Google

"Antara kesan yang biasa boleh dilihat adalah ibu cepat penat, letih, lesu, sukar memberi tumpuan dalam tempoh berpantang.

"Puncanya pengambilan makanan berkhasiat yang tidak mencukupi, kekurangan zat besi,iodin, zink, vitamin dan lain-lain nutrien, pengambilan air kosong yang tidak mencukupi (enam hingga lapan gelas sehari), pengambilan minuman berkafein (teh,kopi dan air berkarbonat) berlebihan yang menghalang penyerapan zat mineral ke dalam tubuh," katanya.

Mengulas lanjut, keadaan tidak bertenaga ini boleh menyebabkan ibu berpantang boleh menjadi stres sekali gus boleh melarat menjadi masalah yang lebih berat contohnya kemurungan.

"Apatah lagi, ibu juga akan mengalami perubahan hormon estrogen dan progesteron selepas bersalin yang turut boleh memberi kesan terhadap emosi mereka.

"Maka penting kita pastikan ibu menerima makanan menyihatkan kerana ia adalah perkara yang dalam kawalan kita berbanding perubahan hormon tubuh," katanya.

Tambahnya, amalan pemakanan tidak seimbang boleh menyebabkan ibu sukar turun berat kepada berat badan asal sebelum hamil.

"Ini lebih ketara dalam kalangan ibu yang mengalami peningkatan berat badan ketika hamil (gestational weight gain) yang berlebihan," katanya.

Justeru itu, beliau menasihatkan wanita berpantang mempraktikkan amalan pemakanan sihat sebaik saja merancang untuk hamil, ketika hamil dan membawa kepada ketika berpantang.

"Saya percaya jika wanita mengamalkan gaya hidup sihat, aktif fizikal dan melakukan senaman serta makan secara sihat, ia akan banyak memberi kesan positif ketika berpantang.

"Kepada penjaga wanita berpantang sama ada suami atau ibu bapa, fokus utama adalah memastikan ibu berpantang ini mendapat rehat, tenaga dan nutrien secukupnya melalui amalan pemakanan sihat agar mereka kembali sihat dan dapat menyusui bayi mereka dengan baik.

"Dapatkan nasihat lanjut daripada doktor atau pegawai pemakanan (nutritionist KKM) jika anda tidak pasti dengan sesuatu berkaitan pemakanan ketika berpantang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Oktober 2021 @ 6:43 AM