PEMAKANAN berpantang adalah untuk ibu mendapat tenaga dan nutrien. - FOTO Google
PEMAKANAN berpantang adalah untuk ibu mendapat tenaga dan nutrien. - FOTO Google
Muhamaad Razis Ismail


AMALAN berpantang untuk ibu yang baru melahirkan anak berbeza mengikut kaum, negeri mahupun berlainan negara.

Malah tidak mustahil sesetengah amalan berpantang itu adalah mengikut warisan turun temurun keluarga berdasarkan pengalaman ahli keluarga atau nenek moyang terdahulu.

Ini termasuk makanan yang dipercayai panas, berangin, sejuk atau tajam. Makanan pantang untuk sesuatu tempat mungkin tidak menjadi pantang bagi ibu yang berpantang di tempat lain.

Maka agak sukar ingin menyatakan dengan sahih dan mengesahkan makanan yang perlu 'dipantang' itu sememangnya tidak baik untuk kesihatan semua ibu berpantang.

Pegawai Pemakanan (Nutritionist) Sektor Pemakanan Ibu, Bahagian Pemakanan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Nurul Zaiza Zainuddin berkata, dari aspek pemakanan, secara saintifiknya tiada satu makanan termasuk daripada sumber buah-buahan, sayur-sayuran, bijirin, haiwan, susu, produk tenusu atau air kosong boleh memberi kesan mudarat kepada ibu berpantang.

Katanya, sekiranya terdapat pantang larang makanan tertentu yang masih ingin diikuti, ibu berpantang diingatkan supaya gantikan makanan itu dengan jenis makanan lain dalam kumpulan makanan yang sama.

"Contohnya, jika terdapat kepercayaan atau pantang untuk makan ayam, ibu boleh gantikan dengan ikan atau daging.

"Sekiranya makan sayur kobis atau buah tembikai 'dipercayai' ia antara sumber makanan sejuk, gantikan dengan sayur lain seperti bayam, lobak, brokoli atau lain-lain jenis sayuran.

SUKAR mengesahkan makanan yang perlu dipantang tidak baik untuk kesihatan semua ibu.  - FOTO Google
SUKAR mengesahkan makanan yang perlu dipantang tidak baik untuk kesihatan semua ibu. - FOTO Google

"Sama juga tembikai boleh digantikan dengan pisang, betik, epal, oren atau lain-lain jenis buah-buahan bersesuaian," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Menurutnya, panduan asasnya masih sama, apa jua makanan yang anda ingin elakkan ketika berpantang, pastikan ia digantikan dengan jenis makanan lain daripada kumpulan makanan yang sama supaya dapat khasiat secukupnya.

"Ambil makanan daripada semua kumpulan makanan Piramid Makanan Malaysia setiap hari dan ikut konsep Pinggan Sihat Malaysia #sukusukuseparuh setiap kali waktu makan utama," katanya.

Mengulas lanjut, sebarang bentuk amalan pantang larang pemakanan yang boleh melambatkan proses penyembuhan, pemulihan ibu ketika berpantang atau memberi kesan kepada kualiti mahupun penghasilan susu ibu sewajarnya tidak diikuti.

"Ini kerana kita harus berbalik kepada prinsip asas tujuan pemakanan berpantang itu adalah untuk memastikan ibu mendapat tenaga dan nutrien secukupnya melalui amalan pemakanan yang seimbang dan berkhasiat," katanya.

Jelasnya, sekiranya ibu berpantang masih khuatir sesuatu jenis makanan itu akan memberi kesan tidak baik untuk diri, disarankan makan dalam kuantiti yang kecil sebagai permulaan.

"Jangan elak terus. Pantau kesan pengambilannya ke atas diri sendiri.

"Jika sememangnya terdapat kesan yang menyebabkan ketidakselesaan atau lain-lain masalah, tukar makanan itu kepada makanan lain dengan syarat ia masih dalam kumpulan makanan yang sama," katanya.

Beliau turut berkongsi dua mitos dan diet untuk ibu yang sedang berpantang.

MAKANAN dari sumber protein membantu proses penyembuhan.  - FOTO Google
MAKANAN dari sumber protein membantu proses penyembuhan. - FOTO Google

1. Mitos: Elak makanan tertentu seperti sayur dan buah tertentu serta kekacang kerana dipercayai ia makanan 'berangin.'

Fakta: Masalah 'berangin' secara umumnya tidak berlaku kepada semua ibu berpantang. Ia berkait rapat dengan amalan pemakanan ibu sebelum dan ketika hamil. Antara punca berkaitan pemakanan adalah jika seseorang wanita itu tidak pernah atau jarang mengambil sayur-sayuran atau buah-buahan dalam jumlah yang mencukupi sebagai gaya hidupnya sebelum hamil atau ketika hamil, pengambilan jenis makanan ini yang mendadak ketika tempoh berpantang boleh menyebabkan masalah angin berlaku. Kunyah makanan sehingga lumat bagi mengaktifkan enzim pencernaan dan memudahkan proses penghadaman makanan. Makanan yang tercerna dengan baik akan mengurangkan risiko penghasilan gas berlebihan (angin) yang menyumbang kepada rasa tidak selesa perut.

Langkah terbaik adalah mula makan sayur-sayuran dan buah-buahan dalam sajian yang mencukupi sebaik anda merancang untuk hamil. Amalan pemakanan sihat sebagai gaya hidup banyak membantu wanita melalui tempoh berpantang dengan lebih baik.

2. Mitos:Makan telur, ayam atau makanan laut ketika berpantang dipercayai menyebabkan 'gatal' pada luka bersalin.

Fakta: Rasa gatal yang dialami berkemungkinan adalah salah satu tanda proses penyembuhan sedang berlaku pada luka jahitan bersalin. Luka jahitan akan melalui tiga fasa penyembuhan utama. Ia dimulai dengan fasa keradangan (inflammation), fasa percambahan (proliferation) dan fasa matang (maturation). Kegatalan boleh berlaku di antara fasa ini hasil interaksi saraf, pengeluaran histamine, pembinaan sel dan tisu baru pada luka jahitan.

Maka, jangan takut untuk ambil makanan daripada sumber ini kerana makanan daripada kumpulan sumber haiwan ini membekalkan protein dan pelbagai khasiat lain yang membantu proses penyembuhan luka selepas bersalin. Namun, sekiranya wanita sememangnya mempunyai alahan kepada makanan tertentu seperti sotong atau udang sejak sebelum hamil lagi, maka mereka dinasihatkan gantikan dengan sumber haiwan yang lain seperti ikan atau daging sebagai sumber makanan.

Paling penting, amalkan kebersihan diri dan tempat luka, elakkan menggaru kawasan luka jahitan dan utamakan makan makanan yang dibasuh bersih dan dimasak secukupnya bagi mengelakkan pencemaran dan jangkitan kuman.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 November 2021 @ 7:00 AM