TRAUMA akibat dera boleh kesan ketika dewasa.
TRAUMA akibat dera boleh kesan ketika dewasa.
Muhamaad Razis Ismail


MASYARAKAT Asia dikenali sebagai masyarakat yang suka memendam perasaan sehingga kurang bersuara, berbincang, mendengar dan menyatakan mengenai emosi dengan baik.

Oleh itu ramai yang berdepan trauma sejak kecil sehingga memberi kesan terhadap kesihatan mental dan fizikal ketika di alam dewasa.

Antara masalah yang dihadapi termasuk tekanan perasaan, kemurungan, mudah gelisah, sering alami mimpi buruk, serangan panik dan sebagainya.

Masalah ini berlaku berikutan impak trauma yang tidak ditangani sejak daripada kecil.

Pengamal Pendidikan Awal Kanak-kanak, Dr Putri Afzan Maria Zulkifli berkata, kanak-kanak yang didera umpamanya, proses pembinaan kecerdasan emosi (EQ) yang sepatutnya

dibina hampir 90 peratus pada usia enam tahun pertama akan terganggu.

"Antara komponen pecahan terbesar dalam 90 peratus pertama ini adalah perkembangan emosi dan perkembangan yang membabitkan hubungan positif antara anak serta ibu bapa.

"Keadaan ini akan mengakibatkan kekuatan dalaman lemah sehingga ia boleh jatuh pada bila-bila masa," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Beliau tidak menolak kemungkinan perkara ini berlaku berikutan stigma masyarakat terhadap masalah mental.

"Ramai yang mengabaikan keperluan untuk 'reach out' atas dasar takut dan malu. Amat penting untuk masyarakat hari ini faham bahawa tidak salah untuk kita bincangkan mengenai emosi secara terbuka.

"Masyarakat perlu tahu bagaimana untuk 'reach out' kepada mereka yang profesional dalam membantu mereka yang memerlukan," katanya.

Menurutnya, tanda-tanda trauma yang berlaku ketika masih kecil sememangnya boleh dilihat hari ini apabila dewasa.

"Ia tidak dapat dielakkan, kerana apa yang tersimpan dalam memori, jika ia tidak diselesaikan dengan baik, (ia) akan menonjol tanpa sedar," katanya.

DAPATKAN khidmat profesional untuk atasi trauma.
DAPATKAN khidmat profesional untuk atasi trauma.

Jelasnya, adalah penting untuk mengetahui dan mengenali jenis-jenis emosi itu.

"Sebagai contoh, marah adalah sebenarnya satu emosi yang baik, namun jika kita tidak belajar bagaimana untuk mengendalikan emosi marah itu dengan baik, bagaimana mungkin kita dapat meredakan dengan baik," katanya.

Beliau berkata, masalah panas baran hari ini mungkin disebabkan oleh keperluan melepaskan marah dengan cara yang tidak boleh diterima secara sosial.

"Ia boleh dikurangkan, jika kita selami apakah sebenarnya yang membuatkan kita marah sehingga ke peringkat 'panas baran.' Puncanya perlu dirawat," katanya.

Kesan terhadap emosi bukan hanya memberi kesan kepada mental tetapi memberi petunjuk secara fisiologi.

"Kita akan mula rasa ketegangan pada bahagian badan seperti bahu, tulang belakang, 'stiff muscle' pada kaki atau tangan, rasa tidak selesa dalam perut dan masalah membuang air besar.

KEMURUNGAN antara kesan trauma sejak kecil
KEMURUNGAN antara kesan trauma sejak kecil

"Ramai mungkin tidak menyedari ini berlaku dan menganggap ia biasa. Saya kaitkan ini dengan perkara utama dalam perkembangan tumbesaran kanak-kanak yang membabitkan aspek fizikal, mental, emosi dan sosial," katanya.

Justeru itu, beliau berpandangan, adalah sangat penting untuk tidak mengabaikan kesan yang dirasai dan mengambil langkah untuk 'reach out' dan meminta bantuan daripada pakar atau profesional.

"Paling mudah, jika ia sesuatu yang bukan normal dari diri kita, mungkin adalah permulaan kepada keperluan untuk mendapatkan bantuan.

 IMPAK kepada kesihatan mental.
IMPAK kepada kesihatan mental.

"Kita perlu belajar bagaimana untuk mengawal emosi dalam diri dan ini hanya boleh dilakukan jika kita ada asas yang kuat.

"Ia boleh dipelajari, tetapi kita perlu berhadapan dengan trauma atau emosi terpendam itu dahulu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Mei 2021 @ 7:00 AM