PAKAR yakin bahawa kebanyakan virus Corona tersebar secara aerosol (partikel lebih kecil atau ampaian zarah).
PAKAR yakin bahawa kebanyakan virus Corona tersebar secara aerosol (partikel lebih kecil atau ampaian zarah).
Fairul Asmaini Mohd Pilus


Sejak Covid-19 pertama kali dikenal pasti di Wuhan, China pada tahun 2019, dunia mendapati pelbagai mutasi virus itu.
Gelombang terkini ialah varian Delta yang menjadi perhatian pihak berkuasa kesihatan seluruh dunia.

Varian Delta dengan kadar transmisi yang tinggi (iaitu dua kali lebih mudah berjangkit berbanding varian Alpha), nampaknya semakin mengganas apabila kes dilaporkan di seluruh dunia kian meningkat.

Malaysia juga tidak terkecuali terlepas daripada menjadi sasaran varian Delta dengan mencatatkan peningkatan kes setiap hari.

Namun, kehidupan perlu diteruskan dan sektor ekonomi juga sedang dibuka semula secara berperingkat.

Keadaan itu menyebabkan ramai berasa kecewa dan bertanya, 'Bagaimana kita boleh sampai ke tahap ini?'

Pakar Perunding Penyakit Berjangkit dan Ketua Jabatan Perubatan, Pusat Pengajian Perubatan International Medical University (IMU), Profesor Dr James Koh berkata, mutasi virus adalah perkara yang biasa dan bukanlah benda baharu.

Ini kerana apabila virus memasuki sel di dalam badan, virus akan melepaskan bahan genetiknya ke dalam sel.

Kata Dr Koh, sel itu kemudiannya menggunakan bahan genetik terbabit untuk menghasilkan lebih banyak salinan virus.

"Apabila virus mereplikasi dengan pantas di dalam masyarakat iaitu ketika penularan besar-besaran, kadangkala berlaku kesilapan ketika proses replikasi itu.

TANGGAPAN bahawa hanya varian Delta yang tersebar melalui udara adalah salah sama sekali.
TANGGAPAN bahawa hanya varian Delta yang tersebar melalui udara adalah salah sama sekali.

"Salinan yang terhasil itu mungkin tidak tepat, ia seperti permainan pesanan kanak-kanak yang popular di mana pesanan disampaikan daripada seorang ke seseorang seterusnya melalui bisikan," katanya ketika menjelaskan varian Delta dalam siri webinar #NextNormal anjuran universiti itu, baru-baru ini.

Menurut Dr Koh, permainan itu bertujuan untuk melihat sama ada pesanan akan kekal dalam bentuk yang sama apabila ia sampai kepada orang terakhir.

Katanya, semakin panjang barisan iaitu semakin ramai yang menyampaikan pesanan, semakin tidak menentulah pesanan itu jadinya.

"Keadaan yang sama berlaku pada virus, apabila ia dipindahkan kepada lebih ramai orang, maka semakin tinggilah kebarangkalian untuk bermutasi.

"Setiap varian itu sudah menular ketika ledakan wabak dalam populasi yang berbeza seperti di United Kingdom, Amerika Selatan dan India," katanya.

Jelas beliau lagi, mutasi adalah satu proses semula jadi dan tidak semestinya ia membuatkan sesuatu virus itu menjadi lebih kuat atau lebih berbahaya.

JIKA kurang berjaga-jaga ia seolah-olah membiarkan pintu terbuka untuk kemunculan lebih banyak varian.
JIKA kurang berjaga-jaga ia seolah-olah membiarkan pintu terbuka untuk kemunculan lebih banyak varian.

Kata Dr Koh, biasanya mutasi itu tidak memberi sebarang faedah kepada virus, tetapi dengan masa dan peluang yang cukup, mutasi boleh berlaku selain menambah keupayaan kepada virus untuk bertahan.

"Ini bermakna, jika orang ramai kurang berjaga-jaga dan tidak mengawal penularan virus dalam masyarakat dengan sehabis baik termasuk melalui vaksinasi dan mematuhi posedur operasi standard (SOP), ia seolah-olah kita membiarkan pintu terbuka untuk kemunculan lebih banyak varian.

"Kemunculan varian Delta itu bermakna virus terbabit mempunyai kadar kebolehjangkitan yang lebih baik melalui mutasi," katanya.

Bagi memahami dengan lebih mendalam, Dr Koh berkata, masyarakat boleh melihat bagaimana virus berfungsi.

Untuk masuk ke dalam sel manusia, virus perlu melekatkan 'dirinya' pada reseptor yang ada di permukaan sel individu terlebih dahulu sementara dalam kes Covid-19, ia melekat pada sel respiratori dengan menggunakan spike protein.

"Sebaik melekat, virus ini akan memasuki sel dan boleh mereplikasi. Spike protein pada varian Delta ini mengalami pengubahsuaian yang membolehkannya masuk ke dalam sel-sel kita dengan lebih pantas dan dengan itu lebih cepatlah ia mereplikasi.

"Inilah yang menjadikan mengapa varian Delta lebih mudah menular berbanding varian lain," katanya.

FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.

Dalam pada itu ketika ditanya adakah bermakna varian Delta boleh melepasi tindak balas imun manusia yang terhasil daripada vaksin? Jawab Dr Koh, perlindungan vaksin terhadap varian itu memang tidak sekuat perlindungannya ke atas varian Alpha, Beta dan Gamma.

Kata beliau, apabila vaksin diperkenalkan, ia menyasarkan kepada spike protein virus yang asal dan kini dengan varian Delta, spike protein itu sudah berubah.

"Bagaimanapun, vaksin terbabit tetap memberikan perlindungan kepada kita. Vaksin yang ada sekarang masih dapat merangsang antibodi yang boleh mengesan spike protein varian Delta, walaupun ia mungkin tidak dapat meneutralkan virus berkenaan dengan berkesan seperti varian sebelumnya," katanya.

Mengulas lanjut, Dr Koh berkata, orang ramai tidak boleh menganggap bahawa proses mutasi yang menyebabkan varian Delta tersebar melalui udara.

Tegas beliau, tanggapan hanya varian Delta yang tersebar melalui udara juga adalah salah sama sekali.

Katanya, ketika awal permulaan pandemik dulu, pengetahuan yang diperoleh adalah berdasarkan virus-virus yang hampir sama kebanyakannya tersebar melalui titisan (cecair badan).

"Titisan ini adalah partikel besar yang jatuh ke tanah atau permukaan dengan cepat dan ia tidak tersebar jauh.

"Dengan ilmu pengetahuan yang kita dapat melalui penyelidikan, pakar sains cukup yakin bahawa kebanyakan virus Corona tersebar secara aerosol (partikel lebih kecil atau ampaian zarah)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 September 2021 @ 7:00 AM