VARIAN B1617 dikategorikan sebagai varian yang membimbangkan.
VARIAN B1617 dikategorikan sebagai varian yang membimbangkan.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


MALAYSIA dikejutkan dengan penemuan varian mutasi daripada India iaitu varian 1617.

Lebih membimbangkan, varian mutasi ini mempunyai kebolehjangkitan Covid-19 yang tinggi.

Pakar Mikrobiologi Klinikal Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Prof Madya Dr Nurul Azmawati Mohamed berkata, mutasi bermaksud berlaku perubahan pada jujukan genetik asid ribonuklik (RNA) atau asid deoksiribonukleik (DNA) sesuatu genom.

Menurutnya, mutasi mudah berlaku semasa proses replikasi atau pembiakan virus.

"Virus jenis RNA sebenarnya agak kerap mengalami mutasi kerana kumpulan virus ini tidak mempunyai kebolehan untuk mengenal pasti perubahan genetik semasa proses pembiakan.

"Oleh itu, virus baharu yang dihasilkan mungkin mempunyai susunan genetik sedikit berbeza daripada virus asal," katanya.

Beliau berkata, tidak semua mutasi menyebabkan virus menjadi lebih ganas.

Ada mutasi tidak memberi apa-apa kesan dan sebahagian mutasi yang menyebabkan virus menjadi lebih baik daripada sebelumnya.

"Varian B1617 mula dikesan di India pada Oktober 2020 dan tersebar ke lebih 30 negara.

"Varian B1617 digelar 'triple mutant' atau mutasi berganda. Ia mengandungi 13 mutasi, tetapi hanya dua mutasi yang penting iaitu membabitkan struktur protein spike.

KAJIAN terperinci varian B1617 sedang dijalankan
KAJIAN terperinci varian B1617 sedang dijalankan

"Mutasi ini mempengaruhi cara virus melekat pada sel manusia. Salah satu mutasi didapati sama dengan yang terdapat pada varian Brazil," katanya.

Jelasnya, mutasi itu juga menyebabkan varian berkenaan mempunyai kadar kebolehjangkitan yang tinggi berbanding varian lain.

"Mutasi ketiga pula masih dalam kajian, tetapi berkemungkinan mempunyai keupayaan untuk mengelak atau mengaburi sistem imuniti badan seseorang.

"Ada laporan menyebut varian itu gagal dikesan oleh teknik 'Polymerase Chain Reaction' (PCR) yang selama ini digunakan untuk mengesan virus SARS-CoV-2," katanya.

Dr Nurul Azmawati berkata, sebenarnya ia kurang tepat. Ini kerana ujian PCR Covid-19 mengesan lebih daripada satu gen yang terdapat virus.

TSUNAMI Covid-19 di India kerana penularan varian B1617.
TSUNAMI Covid-19 di India kerana penularan varian B1617.

"Contoh gen ialah gen S yang mengekod protein spike, gen E, gen Rdrp dan lain-lain.

"Kebanyakannya mengesan dua gen dan ada juga yang mengesan tiga gen. Ini untuk memastikan ketepatan ujian adalah tinggi," katanya.

Menurut beliau, jika terdapat mutasi pada gen Spike contohnya, ujian ini masih boleh mengesan gen E dan juga RdRp.

"Secara umumnya, ujian PCR digunakan mempunyai kadar keberkesanan yang tinggi (melebihi 80 peratus) dan ia adalah 'gold standard' untuk diagnosis Covid-19.

"Ini bermakna, ada kemungkinan 20 peratus ujian menunjukkan keputusan ralat negatif (false negative)," katanya.

DR Nurul Azmawati
DR Nurul Azmawati

Sementara itu, Pakar Perubatan Kesihatan Awam Usim, Prof Madya Dr Mohd Dzulkhairi Mohd Rani berkata, keputusan sebegini boleh dipengaruhi oleh beberapa faktor.

Beliau berkata, faktor pertama ialah sampel calitan diambil terlalu awal (semasa tempoh inkubasi) atau terlalu lewat.

"Pada masa ini, jumlah bebanan virus (viral load) dalam keadaan yang

sangat rendah. Jadi, PCR memberikan keputusan negatif.

"Tempoh terbaik untuk buat ujian calitan ialah sekitar hari ke kelima hingga ketujuh selepas terdedah kepada jangkitan Covid-19 atau sehari atau dua hari sebelum bermulanya gejala.

"Faktor kedua adalah cara pengambilan sampel tidak betul manakala faktor terakhir ialah faktor teknikal lain yang mempengaruhi keputusan ujian," katanya.

Menurutnya, beberapa hari lalu, Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) mengumumkan varian B1617 dikategorikan sebagai 'variant of concern' (VOC) atau varian yang membimbangkan.

"Ia adalah varian keempat termasuk varian United Kingdom, Brazil dan Afrika Selatan yang diklasifikasikan sedemikian.

"VOC ialah varian yang mempunyai sekurang-kurangnya satu daripada ciri-ciri seperti kadar kebolehjangkitan yang tinggi, menyebabkan jangkitan teruk, mengurangkan keberkesanan antibodi sedia ada di dalam badan atau menyebabkan kaedah rawatan dan vaksin menjadi kurang berkesan," katanya.

PUSAT Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Bersepadu 2.0
PUSAT Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Bersepadu 2.0

Menurut beliau, varian 1617 juga dilaporkan mempunyai kadar kebolehjangkitan yang tinggi.

"Namun, varian B1617 tidak menyebabkan kadar kematian yang tinggi, tidak mengganggu proses diagnosis dan tidak juga mengganggu atau mengubah kaedah rawatan pesakit Covid-19.

"Mengenai keberkesanan vaksin, kajian terperinci sedang dijalankan oleh pengeluar pelbagai jenis vaksin," katanya.

Dr Mohd Dzulkhairi berkata, setakat ini, dilaporkan terdapat vaksin efektif terhadap varian B1617 dan ada juga yang dilaporkan kurang efektif.

"Ini bermakna ada mendapat jangkitan varian ini selepas menerima vaksin Covid-19, contohnya yang berlaku di India.

"Akan tetapi, vaksin didapati melindungi dan mencegah mereka daripada mendapat jangkitan yang teruk," katanya.

Katanya, paling penting ialah asas pencegahan Covid-19 seperti penjarakan fizikal, membersihkan tangan, mengelakkan sentuhan fizikal dan pemakaian pelitup muka mesti diamalkan sepanjang masa.

PEMATUHAN prosedur operasi standard (SOP) dapat mengelakkan risiko jangkitan Covid-19.
PEMATUHAN prosedur operasi standard (SOP) dapat mengelakkan risiko jangkitan Covid-19.

"Jangan ambil ringan dengan kaedah pencegahan ini , walaupun kita semua kelesuan menghadapi pandemik Covid-19 sejak setahun lalu.

"Penemuan varian baharu sepatutnya tidak mematahkan semangat kita untuk terus berjuang menghadapi pandemik ini sehingga ia berakhir," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Mei 2021 @ 7:00 AM