Foto hiasan
Foto hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Empat sampel positif Covid-19 hasil saringan yang dijalankan di Parlimen menunjukkan mutasi pada 'spike protein' yang dikenal pasti wujud pada varian Delta atau Kappa.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) menerima empat sampel RT-PCR kes positif Covid-19 daripada saringan yang dijalankan di Parlimen untuk analisis jujukan genom penuh (whole genomic sequencing).

Menurutnya, sampel ini diterima daripada Makmal Kesihatan Awam Sungai Buloh.

"Hasil keputusan awal daripada PCR Genotyping Assay, kesemua empat sampel menunjukkan mutasi pada spike protein yang dikenal pasti wujud pada varian Delta atau varian Kappa.

"Namun berdasarkan varian membimbangkan (VOC) yang sedang menular dalam komuniti, ia berkemungkinan besar adalah varian Delta," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, kajian klinikal di luar negara dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan bahawa kes yang dijangkiti varian Delta mempunyai kandungan virus 1,200 kali lebih tinggi berbanding kes yang dijangkiti dengan varian biasa (non-VOC).

"Penjujukan genom penuh akan dijalankan bagi pengesahan selanjutnya," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Ogos 2021 @ 10:51 PM